BERSAMA SAYA

29 December 2011

KENAPA HIBURAN.?

“Ustaz apa pandangan ustaz dengan filem “Tahajud Cinta” yang baru keluar wayang kat Malaysia.? Dengar cerita dia macam memperlekehkan orang-orang macam kita ustaz.” Tanya salah seorang junior pada saya. “ Ustaz tak buat kenyataan membantah ke? Ataupun boikot je cerita tu biar dorang tau kita ni bukan jenis tu, nak buat cerita Islamic la konon tapi hampeh.” Tambah seorang lagi dari mereka. “ Dah ustaz ustazah tak nak buat filem, jadilah camtu”. Jawapan pendek saya untuk mereka

Teringat beberapa bulan yang lepas pernah ditanya soalan sedemikian oleh beberapa orang teman di Universiti. Namun hari ini, masih soalan yang sama ditanyakan mengenai sebuah lagi cerita "Ombak Cinta" mungkin jawapan saya sama seperti jawapan yang lepas. Apapun, kita selaku mahasiswa yang bakal pulang ke dalam masyarakat perlu bersedia  dan memandang jauh lebih kehadapan terhadap isu-isu yang bakal mendatang.

Walaupun ianya hanya kartun. namun, perwatakan yang dilakonkan mampu mempengaruhi anak-anak kecil

Media Massa & Hiburan

Kita tidak dapat nafikan bahawa media massa begitu berkait rapat dalam kehidupan seharian umumnya seperti  surat kabar, radio, television, dan filem yang berkaitan dalam bidang informasi, rekreasi, atau dalam istilah lain penerangan, pendidikan, dan hiburan. Jadi untuk menyebarkan maklumat, media massa  adalah platform yang terbaik dan mampu mempengaruhi sikap, pendapat dan prilaku masyarakat. 

Jika kita melihat pada dasarnya, hiburan merupakan satu benda yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan manusia itu sendiri dan dengan hiburan manusia mampu menghilangkan rasa tekanan terhadap sesuatu benda.
Pada umumnya hiburan sangat luas dan ia terdiri dari muzik, film, video, tarian opera, drama, membaca buku-buku  ataupun berupa permainan dan sukan. Wujud juga sesetengah orang tertentu yang menganggap dengan bekerja, mereka akan rasa terhibur berbanding duduk diam menonton atau membaca di suatu tempat.

Antara sifat seorang Da'ie adalah dengan mudah memahami kehendak mad'u dan haruslah kreatif didalam menyampaikan dakwahnya kepada mad'u

Da’ie

Seorang  da’ie yang melibatkan diri dalam masyarakat mestilah terlebih dahulu membuat beberapa persediaan awal sebelum menerjunkan dirinya ke dalam bidang dakwah ini. Ini kerana memandangkan ianya satu bidang yang memerlukan kepada seorang da’ie yang benar-benar mempunyai kefahaman , ketahanan diri dan bekalan-bekalan yang secukupnya untuk melicinkan kerja-kerjanya.

Pendapat Bakhial Khauli “ dakwah adalah satu proses menghidupkan peraturan-peraturan Islam dengan maksud memindahkan umat dari satu keadaan kepada keadaan lain”.

Pendapat Syekh Ali Mahfudz, “dakwah adalah mengajak manusia untuk mengerjakan kebaikan dan mengikuti petunjuk, menyuruh mereka berbuat baik dan melarang mereka dari perbuatan jelek agar mereka mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat”.

Pendapat ini juga bertepatan dengan pendapat Imam Al-Ghazali bahawa amar ma’ruf nahi munkar adalah perkara asas gerakan dakwah dalam membentuk masyarakat Islam.
Firman Allah :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai sekalian manusia! telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. oleh itu sesiapa Yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadaNya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa Yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan Aku pula bukanlah menjadi wakil Yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu". 

Platform ini boleh digunakan samada kearah kebaikan ataupun sebaliknya, siapakah yang akan menjernihkan ia dari terus dicemari ? kalau bukan kita.


Siapa Yang Perlu Menjernihkannya


ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ

ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ


"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk".[al-Nahl:125]

Ayat di atas jelas menunjukkan kita bahawa didalam menyampaikan dakwah tidak dapat tidak mestilah mengikut seperti yang disebut ‘ بِالْحِكْمَةِوَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ‘ dan cara kita menangani masyarakat setempat juga termasuk didalam apa yang disebut dengan hikmah dan pelajaran yang baik.

 Seiring dengan perkembangan dunia globalisasi, peningkatan taraf hidup masyarakat  makin memerlukan hiburan yang menyebabkan banyak hiburan-hiburan baru  wujud baik dari bidang penulisan, perfileman, permainan dan sebagainya.

Peningkatan  hiburan  bakal mengundang gejala negatif di dalam masyarakat yang akan menyebabkan hilangnya moral dan akhlak didalam kehidupan. Hari ini sahaja, kita mampu melihat berapa banyakkah hiburan barat yang telah diserap masuk kedalam masyarakat khususnya anak-anak remaja samada baik ataupun sebaliknya.

Semua bentuk hiburan samada ianya adat yang ditinggalkan nenek moyang, atau baru diwujudkan atau  yang diterbangkan dari barat untuk masyarakat perlulah dikawal dan dicantikkan oleh golongan yang tahu ( agamawan )

Pendekatan yang diambil oleh Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri didalam adat hiburan masyarakat Arab. Seperti contoh,Syair Arab yang dulunya pada zaman Jahiliyyah ia lebih kepada pemujaan tetapi datangnya islam dengan mencantikkan syair dengan memuji kebesaran Allah,  kaum Ansar di  Madinah ketika majlis perkahwinan adalah menjadi adat dengan memainkan gendang, namun, Nabi tidak melarang bahkan menyuruh untuk dihiburkan dengan paluan gendang selagi mana tidak mengandungi unsur-unsur yang menyalahi syara’.

Begitu juga dengan beberapa ulama’ masakini yang mengambil pendekatan “mencantikkan” daripada “mencantas” hiburan tersebut. Kelantan merupakan antara negeri yang mempunyai banyak adat yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka seperti wayang kulit dan dikir barat. Ada golongan agamawan yang suatu ketika dahulu mengharamkan wayang kulit dan dikir barat atas dasar wujud unsur-unsur memuja dan melaghokan. Namun, kerajaan negeri Kelantan ketika itu tidak “mencantas”  tetapi  mengambil pendekatan “mencantikkan”  dengan memberi cadangan bahawa dikir barat dan wayang kulit bukanlah suatu yang menyalahi syara’ tetapi yang menyalahi syara’ jika mengandungi  unsur-unsur pemujaan selain Allah dan melaghokan jadi perlu ditukar kepada memuji Allah dan mengajak kepada kebaikan.


Indahnya hiburan, jika ia digunakan dengan baik dan diplopori oleh orang-orang yang tahu 

Dunia yang semakin canggih hari ini, kita selaku da’ie haruslah lebih bersikap kreatif didalam mengeluarkan pandangan dan kritikan terhadap sesuatu isu. Perkataan “haram dan tidak boleh” mungkin sudah tidak lagi sesuai diungkapkan pada zaman ini tapi  haruslah di gantikan dengan menyediakan inisiatif yang lain.

Sebagai contoh hari ini, masih ada golongan agamawan yang mengharamkan dari menonton filem-filem di television atas sebab tidak membawa faedah bahkan melalaikan. Begitu juga dengan filem-filem yang “kononnya” ingin membawa imej Islam dipersalahkan, dimaki hamun dan diboikot atas sebab lari dari konsep yang dianjurkan Islam. Namun, berapa ramaikah yang boleh membantu dengan menyediakan dan memberi  inisiatif kepada terhasilnya filem yang betul-betul menepati ciri-ciri filem Islam.

Satu persoalan yang selalu bermain di benak fikiran saya, jika di izinkan oleh tuan pemilik alam ini suatu hari Islam akan memerintah. Apakah industri hiburan ini akan terus di cantas ataupun di lenyapkan dari kehidupan dek kerana tiada yang mahir dan mendalami  bidang ini tanpa ada yang tampil dari golongan agamawan yang  berkemahiran di dalam bidang ini. Siapa yang bakal mengisi kekosongan ini..? kalau bukan kita seorang da’ie.

Jika saya ditanya apakah perlu mahasiswa  pengajian islam melibatkan diri dalam bidang perfileman. Saya akan katakan, bahawa ianya perlu dan menjadi tanggungjawab kepada kita apatah lagi ia merupakan platform yang terbaik pada masa ini didalam menyampaikan dakwah.


Dulu, mungkin kita katakan medan yang paling terbaik untuk mengajak kebaikan selepas sekolah, adalah masjid-masjid dan surau dengan kuliah agama. tapi, berapa ramai yang akan memenuhi ruang masjid mungkin yang betul-betul minat. Kemudian timbul pula dakwah melalui penulisan, maka pada masa itu ramai pendakwah yang mengambil inisiatif dengan menulis sebagai medan dakwah utama. Namun, hari ini kita boleh katakan hampir 95% masyarakat yang sudahpun mempunyai television dan tidak lepas dari menonton pengisiannya dan ia ditonton dari semua lapisan masyarakat tanpa batasan baik diperingkat umur, bangsa, agama dan mampu merentasi benua. Maka, saya katakan bahawa melalui media hiburan khususnya bidang perfileman adalah inisiatif dakwah yang terbaik buat masa ini. 

Antara sifat pendakwah yang harus ada adalah dengan memahami kehendak mad’u dan kreatif didalam menyampaikannya apapun jenis platform yang boleh dan mudah diterima mad’u maka itulah yang terbaik selagi mana tidak menyalahi tuntutan syara’. 


26 December 2011

BAGAIKAN AUR DENGAN TEBINGNYA



‘Umara dan Ulama’ dua perkataan yang sering didengar. Umara merupakan pemimpin didalam sesebuah masyarakat  samada yang dipilih oleh masyarakat itu sendiri  atau terlantiknya sebagai kepimpinan oleh  kerana ia adalah pewaris dan ia bergantung kepada sistem sesebuah tempat itu sendiri manakala Ulama pula adalah para ilmuan yang bukan dilantik oleh mana-mana pihak atau boleh diwariskan seperti kepimpinan tetapi ia adalah satu anugerah yang terhasil dari dalamnya ilmu pengetahuan.

Inilah dua golongan yang tidak boleh dipisahkan didalam membentuk dan jatuh bangunnya sesebuah masyarakat. Mengikut sejarah ketamadunan Islam jugs, golongan umara’ dan ulama adalah dua golongan yang dihormati masyarakat. Golongan ini sentiasa menjadi perhatian dan amat berpengaruh.

Terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menyatakan:

 “Sesungguhnya ulama adalah pewaris Nabi”.

Meskipun Ibnu Hajar al-Asqlani ahli hadis, beliau meragui kesahihan hadis ini, tetapi jiwa hadis ini sesuai dengan apa yang tercantum dalam al-Quran dalam surah Fathir ayat 32 yang bermaksud:

 “Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba kami…”

2 golongan ini cukup memainkan peranan yang besar seperti yang meriwayatkan daripada Abu Naim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ada dua kelompok manusia,jika kedua-duanya baik,maka masyarakat akan jadi baik,dan jika kedua-duanya rosak,maka masyarakat akan rosak,mereka itu ialah ulama dan umara’.”

Generasi ululalbab yang pernah disebut suatu masa dahulu, harus dibentuk dengan gandingan Ulama dan Umara

Jika kita menyelak  semula sirah perjuangan Nabi-nabi dan golongan ulama yang terdahulu akan kita dapati ada diantara zaman mereka yang berlakunya pertentangan antara ulama dan umara yang disebabkan bertentangan dengan syari’ah atau bertentangan dengan kepentingan  umum masyarkat. Sehingga kini seolah-olah menjadi tradisi ulama dan umara, ada ulama yang tegas dan berani menasihati menentang umara yang zalim, ada yang diam saja tanpa tindakan apapun  bahkan ada yang mengampu dan berdiri dibelakang umara sebagai pengikut tegar yang  menjadi penyandar kepada umara dengan mengeluarkan  fatwa yang mampu menjastifikasikan apa sahaja yang dilakukan golongan  umara untuk melancarkan aksi politik dan tindakan yang  bertentangan dengan syara’.

Allah telah memberikan  perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat yang diturunkan kepada rasul-Nya,dan berkata, dalam ayat 175 dan 177 Surah Al-A’raf, di mana firman Allah SWT yang bermaksud:

  “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat..”

“Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir”.

“Amat buruklah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan kepada diri mereka sendirilah mereka berbuat zalim”.

Ramai yang mendifinasikan bahawa golongan ulama hanya berperanan kepada masyarakat untuk memahamkan  5 rukun Islam itu sahaja didalam kehidupan. Namun, perlu jelas bahawa peranan ulama sangat penting didalam mendidik dan menyebarkan syariat Allah kepada manusia, membimbing masyarakat serta melakukan tanggungjawab sosial, politik, ekonomi dan sebagaimana sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW Bukan sekadar itu sahaja, ulama juga harus peka terhadap isu-isu terkini, dan peranan mereka tidak sekadar menjelaskan dan menyuarakan terhadap sesuatu isu,  juga sekali gus memberi contoh pelaksanaan dan sosialisasinya.

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama dan umara’ pada zamannya menyatakan:

“Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama melakukan kerja amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengira sangat kekejaman pemerintah. Mereka percaya Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid jika ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah ulama menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa dicakapkan “.

Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.”

Golongan umara seharusnya bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan pandangan serta mampu membina kerjasama baik dengan mana-mana pihak. Ingatlah, hubungan ulama dan umara tidak boleh dipisahkan apatah lagi didalam mentadbir sesebuah masyarakat . Perkongsian idea dan pandangan mereka akan membawa rahmat kepada masyarakat dan Negara.



Inilah hakikat yang perlu difahami dan ditekankan untuk memperjelaskan kedudukan sebenar bagi menanggani kecelaruan pemikiran dalam masyarakat kita hari ini, sehingga budaya kebencian dan permusuhan disebarkan begitu meluas dalam masyarakat dengan berbagai-bagai fitnah dan propaganda yang menakutkan. Lebih menyedihkan daripada itu mereka melekehkan peranan ulama dan melebelkan  ulama dengan pembawa ajaran sesat.

Imam Al-Ghazali telah membahagikan ulama kepada dua kelompok, iaitu ulama dunia dan ulama akhirat. Ulama dunia adalah orang yang mencari kedudukan, kehormatan dan kesenangan duniawi dengan menggunakan ilmunya. Adapun ulama akhirat bersikap sebaliknya.



3 December 2011

KEMATIAN ITU PASTI, SETIAP KITA AKAN MERASAINYA, CUKUPLAH IA MENJADI PERINGATAN BUAT KITA BERSAMA


Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh .

Sekali lagi kita dikhabarkan dengan berita mengenai kematian, tetapi kali ini melibatkan pelajar tahun 2 JUST Saudara Mohd Ilham Ellani Bin Jamal yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 3.15 petang tadi [waktu Jordan ] 3 Disember 2011  Sehubungan dengan itu, pihak kepimpinan MPPMJ dan seluruh warga MPPMJ merakamkan ucapan takziah dan semoga Allah Subhanallah Wa Taala. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan dihimpunkan bersama golongan orang-orang yang soleh. Semoga Allah memberikan ganjaran dan kekuatan buat kalian sepertimana kuatnya para syuhada Mutah..


أُولَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِن رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُهْتَدُونَ

Bermaksud: Sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun” (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan hanya kepada-Nya kami kembali) . Mereka itulah orang-orang yang mendapat shalawat dan rahmat dari Rabb mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.(Al-Baqarah : 155-157)


Oleh yang demikian,saya ingin mengambil kesempatan mengajak warga MPPMJ untuk   bermuhasabah diri dalam  mengingati hakikat kehidupan. Sebagaimana baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. telah berwasiat kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi:
“Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir ataupun sebagai pengembara.” (Matan Ar-Baien,Imam nawawi)

Tambahan pula, Ibnu Umar pernah berkata:

 “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati”.(Matan Ar-Baien,Imam nawawi)

Maka, wasiat tersebut mengingatkan kita bahawa hakikat musafir  di dunia ini pasti ada penghujungnya  Justeru,  apakah persiapan  yang telah kita lakukan untuk bertemu Allah S.W.T pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?



Nabi bersabda kepada utusan anak perempuan baginda yang menyampaikan berita kematian cucu baginda, lalu baginda bersabda  :
” Pulanglah kepadanya dan khabarkan  sesungguhnya Allah berhak mengambil dan memberi kepunyaanNya, setiap perkara sudah ada ajalnya disisi Allah, maka suruhlah dia bersabar dan mengharap ganjaran kepada  Allah”.(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saya sekali lagi  mewakili seluruh kepimpinan dan warga MPPMJ, ingin merakamkan  takziah dan berharap agar seluruh ahli keluarga dapat bersabar atas  ketentuan Allah Subhanallah Wa Taala ini. Semoga Allah Subhanallah Wa Taala. melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama roh para solihin dengan izin Allah Subhanallah Wa Taala,  InshaAllah. Al-Fatihah


MUHAMMAD HUSSIN BIN MOHD FAUZI
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan sesi 2011/2012


SALAM DAN SENYUMAN PENGIKAT HUBUNGAN




Salam Penguat Silaturrahim

Lumrah kejadian manusia yang sentiasa inginkan teman didalam mewarnai kehidupan seharian namun, segelintir dari kita yang kadang-kadang tidak tahu bagaimana  cara yang terbaik untuk memulakan bicara maka, berikanlah salam sebagaimana yang disarankan oleh Baginda.

Sabda Rasulullah Sallallah Alaihi Salam yang maksudnya:

 “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” (Riwayat Al-Tabrani)

Jika kita melihat hukum asal pada salam adalah sunat dan hukum menjawabnya adalah wajib namun, salam juga merupakan asas bagi setiap  muslim yang perlu dijadikan amalan dan ucapan didalam pergaulan harian. Tauladan yang terbaik daripada Nabi dan para Sahabat yang perlu kita praktikan didalam kehidupan seharian.

Sabda Nabi Sallallah Alaihi Salam:

 " Wahai manusia, berikanlah salam, berilah makan, jalinkanlah silaturrahim solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat sejahtera (Riwayat Ahmad no 24513, Ibn Majah no 3374,al-Baihaqi dalam al-Syu’ab no 8490 )

Allah juga berfirman:

Dan apabila di ucap dengan satu ucapan maka balas olehmu dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau jawab secara yang elok. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.

Melalui ayat ini Allah menyuruh kita mengucapkan sesuatu yang baik dan bermakna seperti salam atau seumpanya yang menandakan penghormatan terhadap orang lain. Maka, hendaklah membalasnya dengan sebaik mungkin kerana Allah Maha Mengetauhi segala yang dilakukan hambaNya sama ada melalui amalan dan niat. Inilah yang di hitungkan ke atas hambaNya.
(Surah Al-Nisa : Ayat 86)

Rasululluah Sallallah Alaihi Wasallam menjelaskan melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah iaitu: 

Memberi salam oleh yang berkenderaan ke atas yang berjalan, yang berjalan ke atas ygang duduk, yang sedikit ke atas yang banyak dan pada satu riwayat “yang kecil ke atas yang besar”
(Riwayat Al-Bukhari)

Senyum itu anugerah.

Senyum seekor kambing mampu membahagiakan kepada sesiapa sahaja yang melihat, apatah lagi kita sesama manusia. Ukirkanlah senyuman buat teman-temanmu

Allah Subhanahu Wa Taala telah menganugerahkan senyuman kepada kita, maka lakarkanlah senyuman selalu sebagai tanda bersyukur di atas anugerah itu. Hidup ini menjadi lebih indah dan berseri sekiranya kita tidak kedekut dan mudah untuk melakar senyuman terutamanya kepada orang-orang tersayang dan teman-teman seperjuangan.

Banyak Hadis-hadis dari Nabi yang menyuruh kita agar memberi senyuman apatah lagi sesama muslim. Ini menunjukkan bahawa Islam itu mengalakkan kita dengan senyuman. Bayangkan hidup ini tanpa senyuman atau ketawa, mungkin kehidupan ini tidak seindah hari ini.

Sabda Rasulullah Sallallah Alaihi Salam :

” Senyum itu adalah sedekah”.

 Hadis yang ringkas namun, ia mampu  memberikan motivasi kepada kita bahawasanya senyuman itu umpama kita bersedekah. Paling mudah dan senang untuk dipraktikkan didalam kehidupan.Tetapi tidak semua mengetahui apakah rahsia disebalik senyuman itu terutama dari segi kesihatan. 15 Fakta Senyum Yang perlu kita ketahui

Dalam ajaran Islam, senyum mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bersedekah.

Salah seorang dari sahabat Baginda bertanya:

“Wahai Nabi Allah apakah yang kami boleh sedekahkan.? Sedangkan kami tidak mempunyai harta dan kekayaan untuk kami berikan.

Lalu Baginda menjawab :

 “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

Sahabat Rasulullah Sallallah Alaihi Salam, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.”(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Maka ukirkanlah senyuman kerana dengan senyuman dapat menyerikan hidup kita sesama muslim

Untuk membina Ukhwah yang mantap maka, lazimilah ia dengan salam dan senyuman anda yang pastinya mampu membahagiakan

Khas buat teman-teman terjumpa tadi..:)

Smile will certainly make others happy.
Smile will make your face turn brighter.
Smile will make your soul cleaner.
And smile will make you lovelier by end of the day

Lagu yang sering saya dan kawan nyayikan..:)

Senyum seindah suria yang membawa cahaya.
Senyumlah dari hati.
Duniamu berseri.
Senyum umpama titian dalam kehidupan.
Kau tersenyum, ku tersenyum.
Kemesraan menguntum.
Senyum kepada semua.
Senyumanmu amatlah berharga.
Senyum membahagiakan.
DENGAN SENYUMAN, TERJALINLAH IKATAN.



Pinjam ayat ket ..:)

"Sekiranya ada jalan untuk TERSENYUM mengapa dipilih jalan untuk BERSEDIH "

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...