BERSAMA SAYA

21 January 2012

PEMANGKU PRESIDEN MPPMJ




Assalamulaikum buat seluruh warga MPPMJ..

Bismillahirahmanirrahim.

Dengan ini, saya Muhammad Hussin bin Mohd Fauzi selaku Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan [MPPMJ]  akan bermusafir ke Mesir selama 10 hari yang bermula pada 22 Januari sehingga 1 Febuari  serta menghadiri beberapa program bersama PMRAM dalam tempoh ini. Sepanjang tarikh ini jawatan Presiden MPPMJ akan di pangku oleh Saudara  Mohd Arif Azfar Bin Md Ashaari Timbalan Presiden MPPMJ . Saya juga mewakili seluruh kepimpinan MPPMJ mengucapkan selamat bercuti buat seluruh warga MPPMJ yang dikasihi. Semoga cuti ini terisi dengan sebanyak mungkin manfaat.

Sekian dimaklumkan,

Terima Kasih

Yang Menjalankan Amanah,

MOHAMMAD HUSSIN BIN MOHD FAUZI

Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan [MPPMJ]
SESI 11/12

16 January 2012

JUNJUNGAN BESAR, KEKASIHNYA



Pada suatu hari yang hening
Hari Isnin tanggal 12 Rabiul Awal Tahun Gajah
Lahirlah seorang bayi di bumi yang barakah
Kedatangan disambut dengan keriangan
Lahirnya membawa ketenangan

Lahirnya kedunia membawa sinar bahagia
Menusuk kedalam hati manusia
Didalam gelap terus bercahaya
dari kejahilan kepada kebenaran 
itulah dia insan yang mulia

 Buat susuk tubuh yang banyak berjasa
Muhammad namanya beerti ‘terpuji’
Ujian yang datang tidak mengenal usia
Ayahdanya pergi dahulu meninggal dunia
Ketika dia didalam kandungan bondanya

Sekali lagi ujian menimpa
Bonda yang disanyagi pula meninggal dunia
Hiduplah baginda tanpa Ayahda dan bondanya
Pada waktu kecilnya terpaksa bekerja
Pada usia yang terlalu muda
Menjadi pengembala diwaktu muda

Kini baginda menginjak dewasa
Mencari rezeki dengan berniaga
Terkenal dengan sifat amanah lagi terpuji
Sehingga gelaran Al amin diberi

Baginda meneruskan kehidupan bersama Saidatina Khadijah
Dikurniakan 3 putera dan 4 puteri
Hidup baginda sangat bahagia
Bersama-sama keluarga tercinta

Ajaranya pula sering di sendakan
Namun, baginda tidak pula berputus asa
Kedatangan bersama agama baru
Diibaratkan sebutir permata
Walau berada didalam lumpur
Sinarnya tetap bergemelapan

Baginda pernah bersabda
Akan ada dikalangan Umat diakhir zaman
Mereka tidak pernah melihatku
Mereka tidak pernah bersamaku
Mereka juga tidak pernah hidup sezamanku
Namun, mereka sangat cintakanku
Maka, mereka juga layak menerima cintaku

Sudah tiba pada waktu ajalnya
Kerana makhluk tiada yang kekal abadi
Inilah tanda Islam sudah sempurna
Sebelum wafat baginda berkata
Ummatku.! Ummatku.! Ummatku.!
Tanda kasih pada ummatnya

Kita ummat Nabi Muhammad
Harus menjadi ejen penggerak
Agar Agama Islam luas bergerak
Dengan megah tanda kemenangan



10 January 2012

ISLAM ITU RAHMAT, BESARKAN JIWAMU WAHAI DA'IE


Barisan Artis yang dijemput bersama Ustaz Azhar di dalam program Sambutan Tahun Baru

Walaupun sudah 10 hari sambutan tahun baru berlalu. Namun, masih ada lagi yang bertanya dan menimbulkan persoalan terhadap Program Sambutan Tahun Baru yang di anjurkan oleh kerajaan Negeri Selangor yang menjemput  beberapa orang dari kalangan artis tanah air dan ustaz Azhar Idrus.

Apa yang menjadi persoalan pada program malam itu, adalah berkaitan dengan alat muzik yang dimainkan oleh ustaz Azhar Idrus bersama raja lawak Zizan. Sehingga sekarang, masih lagi diperkatakan oleh segelintir  “manusia” mengenai hukum ada juga yang menyebarkan gambar di laman maya dengan menyamakan ustaz Azhar dengan tokoh agama lain. Inilah penyakit ummat masakini yang akan mengundang timbulnya kekeliruan didalam masyarakat. Semoga Allah memberikan petunjuk pada kita semua.

Saya secara peribadinya, tertanya-tanya mengapa perkara sebegini  boleh dijadikan isu. Kita selaku orang yang ingin melihat Islam tertegak dan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Seharusnya, berjiwa besar serta memberi sokongan kepada program-program seumpama ini dan berlapang dada  didalam masalah khilafiah khususnya dikalangan penuntut ilmu.

Islam Itu Rahmat

Ramai dikalangan kita yang menimbulkan persoalan sepatutnya Islam itu yang harus diikuti oleh peredaran zaman, dan bukan islam yang perlu mengikuti  zaman. Ya, saya setuju dengan persoalan itu. Namun, perlu diigat bahawa Islam itu bukan agama yang melarang dan menyekat. Tetapi ia agama fitrah yang diwahyukan untuk membawa rahmat di sekalian alam. Islam itu juga  agama yang datangnya adalah untuk memandu fitrah kearah yang terbaik dan diredhoi olehNya.

Baginda Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menunjukkan teladan yang terbaik, banyak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat r.a menceritakan bagaimana Nabi berhadapan dengan perkara-perkara yang telah menjadi adat dan budaya masyarakat arab ketika itu. Nabi mengambil pendekatan mencantikkan  dari mencantas budaya dan adat masyarakat setempat baik pada syairnya, lagu-lagunya, muziknya, tariannya dan sebagainya. Pendekatan yang terbaik oleh Nabi  harus dijadikan teladan buat kita selaku da’ei yang bakal pulang kelak. Tidak dapat tidak antara sifat Da’ie itu adalah dengan memahami waqi’. Baca disini BUAT DA'IE YANG BAKAL PULANG

Islam itu agama yang berkembang dan sentiasa bersifat fleksibiliti dalam apa jua zaman itulah yang perlu para da'ei fahamkan agar semua lapisan masyarakat dapat menerima Islam itu dengan tenang dan senag  agar ia tidak dilihat jumud di kaca mata masyarat samada dikalagan orang-orang islam sendiri mahupun yang bukan islam.

Ikon anak muda, Ustaz Azhar yang mampu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat, walauapa latar belakangnya yang berbeza

Ustaz Azhar

Saya mula mengenali susuk tubuh beliau pada akhir tahun 2008, yang ketika itu hanya mendengar melalui piring-piring  CD  yang dijual di kaki lima masjid  pasar jumaat. Pendekatan beliau yang sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat baik dari kanak-kanak, anak-anak muda sehinggalah ke golongan orang lama menjadikan beliau makin dikenali ramai tambahan pula beliau mengekalkan identitinya sebagai anak jati Terengganu didalma penyampaianya. Kini, hampir seluruh Negara menjemput beliau untuk memberikan kuliah agama yang turut dihadiri oleh anak-anak muda. Ini suatu kejayaan buat da’ie seperti kita semua.

Namun, baru-baru ini yang menjadi isu oleh segelintir “manusia” yang kurang senang dengan beliau yang kononya telah menyalahi syara’ pada program yang diadakan di Shah Alam Selangor bersempena menyambut tahun baru 2012 baru-baru ini. Rintitan dari itu, ada juga segelintir dari mereka yang mempersoalkan kelulusan beliau, ada yang menyamakan beliau dengan tokoh agama lain dan yang paling sedih beliau didakwa membawa ajaran sesat.

Sungguh kotor sifat manusia ini, yang tergamak menyamakan kedua tokoh ini.

Bagi saya sangat tidak adil jika dakwaan sekotor itu, dicalitkan pada beliau. Mengapa terlalu keras didalam perkara khilafiah, mengapa gelaran-gelaran yang sangat kotor dicalitkan pada beliau. Tapi, mengapa tidak melihat pada kejayaan beliau yang mampu menarik anak-anak muda masakini yang semakin hari semakin liar didalam dunia hiburan dan sosial.

Ada juga yang berhujjah dengan satu kaedah fiqh “ Matlamat tidak menghalalkan cara”. Ya memang ada kaedah ini didalam fiqh. Namun, perlu dilihat perkara ini (muzik) adalah khilafiah dikalangan ulama’ dan ia bukan perkara yang qat’ie. Kaedah ini terpakai pada perkara-perkara yang qat’ie pada pengharamannya oleh nas. Seperti berzina dan membunuh, walau bagaimana sekalipun keadaan ia tetap haram.

70 000 orang dapat dikumpulkan dari pelbagai latar belakang yang mewarnai dataran Merdeka Shah Alam, bukanlah untuk mendengar nyayian dari Justin Biebir atau Mary J. Blige, tetapi untuk bersama mendengar kuliah dan hiburan yang dipandu Islam. Ini suatu perkara yang baik dan harus kita banggakan. Saya katakan bahawa pendekatan beliau adalah antara yang terbaik didalam memenangi  hati masyarakat masakini. Baca disini KENAPA HIBURAN

Kehadiran yang mencecah 7000orang di Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Ribuan yang turut hadir pada kuliah Ustaz Azhar, di Masjid Shah Alam pada 24 Julai 2011

70 000 yang hadir pada program sambutan Tahun Baru 2012 yang dianjurkan pada 31 Disember 2011 di Dataran Merdeka Shah Alam.

Hari ini, Islam dilihat jumud dan tidak sesuai pada zaman ini adalah dek kerana adanya golongan-golongan yang tidak meraikan keadaan masyarakat setempat dan terlalu keras didalam berhukum seolah-olah tidak menerima Islam itu agama yang berkembang dan sesuai didalam semua keadaan dan tempat. Ambillah pendekatan mencantikkan dari menghalang dan mencantas sesuatu perkara, sepertimana yang telah diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w

 Kita harus berjiwa besar didalam usaha merealisasikan Islam sebagai sebuah agama wahyu yang membawa rahmah untuk semua dan bukan agama yang hanya untuk beberapa kelompok. Saya terus menanti, semoga Islam dapat diterima oleh semua suatu hari nanti.

5 January 2012

PERGINYA, MEMBERI SERIBU MAKNA


Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu pasti akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (Surah Jum’ah ayat 8 )

Benarlah kata-kata Robbul Izzati. Sesungguhnya, kematian itu pasti. Ia tidak mengenal pangkat, umur dan siapakah kita. Islam mengajar kita supaya menjadikan kematian itu sebagai suatu peringatan yang terbaik buat kita.

Suatu hari nanti, saat kita akan tiba juga. Mungkin hari ini, mungkin juga esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan sehinggalah seterusnya dan yang pasti kita akan merasai saat itu. Setiap hari, umur kita akan berkurang. Andai umur yang ditetapkan di Luh Mahfuz 25tahun maka, yang berumur 24tahun hanya tinggal setahun untuk hidup, begitulah seterusnya.

Namun, kematian itu tidak seorangpun yang tahu dan ia adalah antara perkara yang ghaib. Itulah antara hikmah yang begitu besar agar kita yang diberikan amanah sebagai khalifah dimuka bumi ini sentiasa bersedia untuk bertemu denganNya.

Dalam masa sebulan ini, dua orang rakan saya terlebih dahulu  menemui  kekasihNya yang maha tinggi. Saudara Ilham  Ellani Bin Jamal yang lebih muda dari saya,  merupakan salah seorang pelajar tahun 3 perubatan JUST yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 3 Disember 2011, walaupun saya bukan kenalan rapat dengannya, namun pemergiannya amat terasa buat diri ini.

Awal buan ini pula Ustaz Abdul Aziz Bin Abdul Rahman rakan sajawat saya Presiden HPMI  merupakan pelajar Master semester akhir Universiti WISE dan juga seumur dengan saya, umur ketika Rasullullah menikahi Saidatina Khadijah. Namun, beliau lebih dulu pergi menemuiNya. Keperibadian beliau seorang yang peramah dan sangat tawaduk disenangi oleh rakan-rakan yang lain.


Beliau seorang yang sentiasa istiqamah memperbaharui wuduknya. Teringat ketika menziarahinya, rakan-rakan menceritakan bahawa beliau sangat berkeras untuk ke tandas mengambil wuduk setiap kali batal begitu juga dengan solat, beliau akan menunaikan solat walaupun keadaan yang kalau kita kira sudah boleh menggunakan ruhsoh solat menggunakan isyarat tanpa pergerakan tubuh sepenuhnya. Semoga Allah meletakkan beliau bersama orang-orang yang soleh, mudah-mudahan tempatnya seperti sahabat Nabi bilal bin rabah r.a pernah Rasulullah saw mendengar bunyi telapak kakinya di dalam syurga disebabkan amalannya yang istiqamah didalam berwudhu serta mengerjakan  solat sunat 2 rakaat selepasnya...

Ya Allah, mungkinkah ini peringatan buatku.. 


Jenazah Saudara Ilham Ellani Bin Jamal.. Semoga beliau ditempatkan bersama-sama orang yang soleh..

Ketika melawat hari ke 5 di Hospital, kagum dengan beliau walaupun dalam keadaan sakit beliau masih mampu mengukirkan senyuman kepada kami dan gagah untuk bersembang


Kami disambut dan dilayan dengan baik, walaupun dalam keadaan terbaring diatas katil

Selamat jalan sahabatku, moga Allah meredhai perjalananmu menuju padaNya, Kau adalah seorang pejuang yang  telah banyak menyumbang pada jalan AgamaNya. Ya Allah ampunkanlah dosa-dosanya,rahmatilah dia kasihanilah dia,redhailah dia,tempatkan dia bersama para anbia' dan para solihin...

2 January 2012

PERLAKON TERBAIK, 2012 PERMULAAN PERUBAHAN


Lembaran 2011, diakhiri dengan pelbagai isu yang sering menjadi topik perbualan harian masyarakat. Berpaksikan watak antagonis dan protagonis dan kita semua adalah pelakonnya, samada sebagai rakyat biasa, mahasiswa, para ilmuan sehinggalah kepimpinan tertinggi negara. Namun, ianya harus dikaji dalam dimensi yang pelbagai agar ianya sejajar dengan kehendak dan tuntutan Islam.

Walaupun angka 2011 sudah dua hari berlalu namun, jika kita melihat didada-dada akhbar mahupun diruangan alam maya Facebook, blog dan sebagainya masih sibuk diperkatakan lagi mengenai beberapa isu dan antara yang banyak  disebut “ Banglo & lembu” dan “wang zakat untuk peguam.? “ dan yang terbaru “kebangkitan mahasiswa,sambutan tahun baru”.

Anak-anak itu perlu disayangi, jangan pula dikasari takut kelak melawan diri

Kebangkitan Mahasiswa

“Saya secara peribadi mengutuk dan mengecam sekeras2nya tindakan tidak bertamadun yg di lakukan oleh pasukan keselamatan Malaysia terhadap saudara Safwan Anang serta rakan2 mahasiswa yg lain sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap mereka..Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh rakan2 mahasiswa di seluruh pelusuk dunia agar menyatakan sokongan moral serta mendoakan keselamatan mereka yg terlibat selamat dan di jamin oleh perlembagaan malaysia 100%..saya juga meminta agar siasatan segera di jalankan secara telus tanpa ada bias kpd mana2 pihak, agar tindakan tegas dapat di ambil dengan pantas ke atas mereka yg terlibat dalam 'sesi drama' tidak bermoral dan bertamadun ini serta bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian yg berlaku di UPSI ini..~Salam Keramat dari dataran Syam!!~” dari fb saya

Sehingga saat ini, saya masih dengan kenyataan saya tempoh hari. Isu yang sama berlaku pada rakan-rakan saya di Mesir  pada Julai 2011 yang lepas. klik disini "ANAK JANGAN NAKAL, BAPA JANGAN "TERLALU GARANG"

Saya sangat berharap agar pihak yang bertanggungjawab dapat berbincang dan menyediakan satu modul ataupun jalan penyelesaian yang terbaik didalam menyelesaikan isu-isu yang berkaitan mahasiswa dan bukan mengambil jalan mudah dengan tindakan “sepak terajang“ untuk menangani isu mahasiswa ini.

Ambillah pendekatan seperti kasih sayangnya  antara “bapa kepada anak” itulah yang terbaik. Biasanya anak akan menangis dan meronta-ronta jika kemahuan dan tuntutannya tidak dipenuhi, Bapa pula janganlah buat-buat tak tahu bahkan jangan pula menambahkan lagi tangisan dan teriakan si anak, Tapi, dekat, nasihat dan sayangilah si anak itu agar lembut dan mudah perjalanan tumbesaran si anak.

Kalau dulu berdiri  melompat-lompat, tapi sekarang duduk rapat-rapat. Kalau dulu disudahi dengan ayat-ayat cinta, tapi sekarang disudahi dengan doa pengampun dosa.

Sambutan Tahun Baru

Tahniah dan syabas saya ucapkan pada penganjur program Countdown 2012 di Dataran Merdeka, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan pada 31 Disember 2011 baru-baru ini. Program yang saya kira adalah suatu kejutan buat semua.

Program menyambut tahun baru ini telah menjadi  suatu tradisi dalam masyarakat, pelbagai gaya dan cara dipersembahkan oleh anak-anak muda di Malaysia, ada pula yang menjadikan antara acara isian sambutan tahun baru ini dengan tarian antara lelaki dan perempuan, minum arak dan sebagainya yang akhirnya disudahi dengan bacaan ayat-ayat cinta yang membawa kepada syurga syaitan di celah-celah rumah buangan.

Saban tahun, pergaduhan dan tangkapan khalwat adalah antara halwa telinga yang akan dijadikan hidangan pada setiap 1 Januari kepada masyarakat melalui khabar media sempena sambutan tahun baru.

Namun, pada tahun ini sedikit berbeza dengan memecahkan tradisi sambutan tahun baru yang dimulakan majlis dengan bacaan ayat suci Al Quran, diisi dengan soal jawab agama, diselangi nasyid menghibur  jiwa manusia, disudahi dengan alunan asma’ husna dan diiringi bacaan doa. Program seumpama ini perlu diteruskan didalam membentuk Ulul Albab yang pernah suatu ketika dahulu cuba di bawa oleh gagasan kepimpinan Tun Abdullah Badawi.

70 000 orang, saya kira mungkin ia adalah suatu angka keramat sebagai  penentu generasi Wawasan 2020 akan datang. Semoga Islam yang dijulang kian mendapat tempat di hati masyarakat.


1 January 2012

WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,
Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Tugas Mulia
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.
Bahaya Kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Allah Tidak Lupa
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Dunia Sementara
Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:
“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga :
“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Nasihati Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...