BERSAMA SAYA

5 July 2011

SEMOGA HARI KALIAN LEBIH BERMAKNA DI DALAM MEMARTABATKAN ISLAM



بسم الله الرحمن الرحيم
                                             السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Semakin ramai ahli MPPMJ yang telah menamatkan zaman bujangnya dan yang akan menamatkan pada cuti semester ini. Jadi, saya mewakili seluruh kepimpinan MPPMJ 11/12 ingin mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru buat seluruh warga MPPMJ yang telah selamat di ijabqabulkan dan yang akan di ijabqabulkan  pada cuti semester ini, semoga Allah S.W.T. memberkati kalian.

Oleh yang demikian,saya ingin mengambil kesempatan mengajak ahli MPPMJ sekalian untuk  merenung hakikat sebenar perkahwinan. Sebagaimana menurut Abu Hurairah r.a. apabila mendoakan seseorang yang baru melangsungkan perkahwinan, Rasulullah s.a.w. akan menyebut, “
(Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan.)”[3]


Inilah doa buat pengantin yang diajarkan oleh Rasulullah agar pengantin mendapat kebaikan dan kebahagiaan di dunia (generasi demi generasi dan di akhirat lagi diberkati Allah). Kita doakanlah pengantin yang diraikan dengan doa ini.

Justeru, asas perkahwinan yang bagaimanakah yang paling membahagiakan? Hakikatnya, Semua perkahwinan mengharapkan kebahagiaan, tetapi berapa orangkah yang dapat menikmati kebahagiaan? Apakah asas perkahwinan yang membuahkan kebahagiaan berpanjangan?
· Jika asas perkahwinan adalah kerana seks, maka pasangan akan selalu bertengkar jika suasana di bilik tidur tidak memuaskan.

· Jika asas perkahwinan adalah kerana harta, maka pasangan bakal bercerai jika ekonomi dalam rumah tangga merudum dan muflis.

· Jika asas perkahwinan kerana kecantikan wajah dan tubuh badan, pasangan akan lari apabila rambut beruban, muka kerepot atau badan jadi gendut.

· Jika asas perkahwinan kerana cinta, hati manusia itu tidak tetap dan mudah terpikat pada hal yang lebih baik, tambahan pula manusia yang dicintai pasti mati atau pergi.

· Jika asas perkahwinan kerana ibadah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-Nya. Allah mencintai hamba-Nya melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada alasan apa pun di dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika pasangan menderhakai Allah.

Kebahagiaan dalam perkahwinan mesti dimulakan dengan langkah yang pertama iaitu pemilihan yang tepat! Pemilihan tepat perlukan kriteria pemilihan. Kita perlu bertindak dengan berhati-hati dan cermat dalam membuat pilihan agar tidak tersalah pilih. Ingatlah bahawa Allah memakbulkan permintaan kita menurut kehendak ‘niat’.


Jika kita menginginkan jodoh yang baik, mulailah daripada diri sendiri menjadi baik dan carilah di tempat baik pula. Bagaimana kita inginkan pasangan hidup yang baik sedangkan kita sebaliknya, bagaimana pula kita inginkan pasangan seorang yang bertaqwa dan bertanggungjawab sedangkan kita acuh dan sambil lewa dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Diriwayatkan daripada Umar bin Khattab bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Pahala perbuatan itu tergantung niatnya, setiap orang akan mendapat pahala sesuai dengan niatnya. Sehingga, sesiapa saja yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya bernilai di sisi Allah dan rasul-Nya, dan sesiapa saja berhijrah kerana keuntungan dunia atau kerana untuk menikahi wanita, maka yang diperolehnya hanya terbatas apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jika sebelum kahwin, kita adalah orang yang gemar dan tegar berhubung dengan perempuan dan sebaliknya, jadi jangan suatu hari nanti kita tertanya-tanya kenapa isteriku begini dan mengapa suamiku begini dan andaikata kita adalah insan yang tidak kenal dosa dan pahala, halal dan haram ketika bersama berlainan jantina maka janganlah suatu hari nanti anda tertanya-tanya jika ia berlaku dikalangan anak dan isteri kita.

“Dia adalah kawan lama sekolah saya, dia kawan sekampung saya, saya anggap dia sebagai abang/kakak, dia adalah tunang saya”, inilah selalu jawapan yang akan diberi jika ditanya kebanyakan pasangan-pasangan yang lupa halal haram dosa dan pahala yang diperolehi dari dewan kuliah. Ingatlah tiada sebab yang menghalalkan perhubungan antara dua jantina melainkan sesudah sahnya diijabkabulkan.

Menjadi suami yang soleh dan isteri yang solehah merupakan idaman setiap pasangan yang berkahwin. Namun berapa ramai pula yang mampu untuk menjadi ayah dan ibu yang baik bagi anak-anak mereka? Oleh itu ilmu keibubapaan juga penting dalam melahirkan anak yang soleh dan solehah. Persediaan melahirkan anak yang soleh dan solehah bermula dari ibu bapa itu sendiri. Bukan selepas anak dilahirkan, tetapi sebelum berkahwin lagi perlu membuat persediaan.


Akhirnya, saya sekali lagi mewakili seluruh kepimpinan MPPMJ 11/12  mengucapkan selamat pengantin baru kepada semua pasangan yang selamat diijabkabulkan pada percutian semester kali ini.

Ya ALLAH, berkatilah mereka, himpunkanlah mereka dalam kebaikan dan kasih sayang yang berpanjangan dan kurniakanlah kepada mereka lidah yang lembut dan sentiasa menyebut nama-MU, hati yang bersih, iman dan ketaqwaan yang mantap, kesabaran dan pengorbanan yang tinggi, saling menyayangi, bertolak ansur dan memahami antara mereka serta hidup dalam kebahagiaan dan ketaqwaan.

                                                     “KITA SEMUA MPPMJ”

4 Sya'ban 1432 H / 5 Julai 2011 M

2 July 2011

KAMI RAKYAT MALAYSIA HAIRAN DAN KELIRU "HUKUM ORANG ATASAN"

SAYA TIDAK MENYEBELAHI MANA-MANA PIHAK CUMA SELAKU RAKYAT BIASA YANG MEMERHATI AGAK HAIRAN DENGAN TINDAKAN YANG DIAMBIL.
...GAMBAR BEBICARA ,ANDA ADALAH PENGADILNYA...
SUDAH 57 TAHUN SEMAKIN CANGGIH PAKAIAN ANAK MUDA..PERHATIKAN..

Di mana-mana sahaja anda mampu melihat pemakaian seperti ini..?
Bebas dijual dan dipamerkan dimana-mana sahaja tanpa sebarang sekatan..?

NAMUN,DALAM MASA 10 HARI HAMPIR 100 YANG DITAHAN

Mereka ditangkap kerana pakaian...???

Yang nih pakaian juga...???

????? 


Tertanya-tanya apa salah pakcik ni..?? dedahkan AURAT..???

Baju ini dilarang bahkan diHARAMkan memakainya...????

Berikut adalah pendapat mereka rakyat:

NONERodzi Baharom, 45 (arkitek):

“Selagi rusuhan masih belum berlaku, tindakan Hishammudin dilihat sebagai tidak wajar kerana perkara itu tidak mengancam (keselamatan) negara dan hanya berkaitan dengan pemakaian baju.

“Bukan baju tulis perkataan lucah. Perkara seperti ini tidak diambil perhatian (baju ada perkataan lucah). Kenapa yang berkaitan politik diambil perhatian?”
NONEMohd Zaki Mohd Simal, 19:
“Pemakaian baju-T berkenaan adalah lebih kepada kebebasan rakyat, malah perhimpunan tersebut turut disokong oleh majoriti rakyat menurut undian yang dilakukan oleh The Star. (Nota pengarang: Akhbar itu bagaimanapun membatalkan bancian itu dan mendakwa terdapat kepincangan dalam sistem undian berkenaan)


“Kalau budak-budak pakai baju BERSIH, takkan budak-budak itu hendak kena tangkap kot?” kata Zaki, yang juga mempersoalkan kebebasan untuk berpakaian.
NONELee Kah Kee, 19, pula merasakan perkara itu tidak wajar kerana baginya perhimpunan berkenaan bukanlah satu perhimpunan yang haram.

NONENorhuda Ali, 25 mempertikaikan tindakan 'pengharaman' baju-T itu dan mempersoalkan sama ada mereka yang memakai baju berwarna kuning akan turut ditahan sama.


“Kalau pakai baju kuning keluar jalan tak kan hendak kena (tangkap) juga?” katanya.
NONEBagi Banu Priya Tiagarajan, juga 19 yang sedang menuntut di salah sebuah institusi penerbangan perhimpunan itu hanyalah sekadar untuk berhimpun bersama.
“Bagi saya itu tidak adil, pakai baju BERSIH bukan salah,” katanya.
Sahahruddin Abdul Majid 53, berkata tujuan pihak tertentu membuat perhimpunan BERSIH ini adalah dijalankan secara aman bukannya haram, sekiranya mereka tidak membuat tindakan sebegitu rakyat mungkin tidak akan tahu perkara yang kerajaan buat.NONE
"Kita tengok 4 tahun lepas mereka tidak ganggu orang (dalam demo) kenapa perlu disembur dengan air, pakai baju kuning pun tidak buat apa kesalahan.
“Jika tidak ada pembangkang, kita (rakyat) tidak tahu apa yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.


Tambahnya, pemakaian baju kuning tidak menganggu orang ramai tetapi logo baju tersebut mungkin menyebabkan mereka ditangkap dan didakwa oleh pihak kerajaan.


"Memang tidak salah (pakai baju-T BERSIH) dia tidak kacau orang, cuma logo yang jadi masalah, dianggap mengkritik kerajaan... Bagi kerajaan semua mereka buat betul, pihak lain tidak betul," katanya.
NONEManiammah Masilamani, 22 pula merasakan tindakan Hishammuddin sebagai tidak wajar kerana demonstrasi itu sendiri masih belum berlaku dan negara masih dalam keadaan yang aman.
“Semua kedai lepas ni tidak boleh letak (cat) warna kuning ke?” soalnya.
NONEMeghala Balasubramaniam, 29, berkata pemakaian baju-T BERSIH tidak patut diharamkan kerana ia hanya dianggap perkara lazim.

"Tidak perlu diharamkan baju BERSIH, itu hanya perkara biasa dan bukannya salah pun, kerajaan patut bertimbang rasa" katanya.
NONENuruddin Mohamad, 28, berkata baju bukanlah satu masalah tetapi kerajaan 'mengharamkan' pemakaian baju-T tersebut berkemungkinan disebabkan kebimbangan kerajaan terhadap perhimpunan yang akan berlangsung

“Tidak wajar (pengharaman), sebab itu pakaian, bukan tindakan,” katanya.
NONEGraduan lepasan Universiti Michigan, Caryn Kong, 23, berkata larangan permakaiaan baju itu tidak wajar kerana perkara itu menunjukkan pemikiran rakyat bukan di dalam negara yang sudah mencapai pembangunan.

"Saya rasa tidak wajar, kerana sampai bila mereka patut didakwa, perkara tersebut tidak akan menunjukkan rakyat dalam negara ingin membangun," katanya.
NONENamun terdapat juga kumpulan yang merasakan tindakan Hishamuddin adalah sesuatu yang wajar dengan tujuan untuk menjaga keamanan negara.
Bagi Syaza Jamaluddin, 23 berkata menerusi pengalamannya sebelum ini yang pernah menyaksikan demonstrasi, tindakan 'pengharaman' berkenaan adalah wajar.
“Kalau untuk mengelakkan berlaku rusuhan lagi memang wajarlah (pengharaman t-shirt BERSIH),” katanya.
Bagi pegawai bank, Nurhusna Abu Mansor, 29, tindakan tersebut wajar dilakukan sebelum huru-hara berlaku di dalam negara yang disebabkan oleh perhimpunan tersebut.
“Kalau benda itu menimbulkan huru-hara, wajarlah (pengharaman t-shirt),” katanya.
NONEMuhd Syahril Syarifudin 26, pula bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa membuat tangkapan dan rampasan ke atas mereka yang memakai dan memiliki baju-T BERSIH 2.0 sekiranya perkara itu menunjukkan ia didalangi sesebuah parti politik.
"Rampaslah t-shirt tu sekarang, kalau itu merupakan simbol dari parti mereka sendiri," kata Syahril.

Namun, beliau meluahkan rasa tidak senang dengan iklim politik yang berlaku sekarang kerana kekecohan ditimbulkan hanya dengan warna baju yang dipakai oleh seseorang.
NONERoslan Mohamad 25, berkata sekiranya mereka yang memakai baju-T BERSIH membuat kekecohan, mereka memang patut ditangkap.
"Kalau mereka pakai baju-T BERSIH berwarna kuning tu, buat kecoh memang bolehlah ditangkap" katanya.

Tambahnya lagi, perhimpunan BERSIH yang akan diadakan 9 Julai ini adalah satu cara pihak penganjur untuk menyatakan hasrat mereka kepada kerajaan.

"Mereka nak memimpin dalam kerajaan, tetapi mereka tidak boleh bersuara," katanya.
http://malaysiakini.com/news/168662


27 June 2011

SUARA SEORANG SASTERAWAN NEGARA



“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.
Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?
Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.
Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.
Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.
Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.
Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.
Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.
Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.
Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.
Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

19 June 2011

MENGECAM PENYIARAN KARIKATUR UTUSAN MALAYSIA YANG MEMPUNYAI UNSUR MENGHINA HUKUM JENAYAH DI DALAM ISLAM.


Kartun yang dikeluarkan Utusan boleh mengelirukan masyarakat Malaysia khususnya non muslim mengenai agama Islam

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [PMRAM] , Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia [GAMIS , Persatuan Pelajar-pelajar Malaysia Syria [PPMS] & Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan [MPPMJ]  mewakili suara seluruh mahasiswa Malaysia yang berada di segenap dunia mendesak agar kartunis Miki serta pihak Utusan Malaysia meminta maaf secara terbuka atas penyiaran karikatur yang menghina serta mempersendakan hukum jenayah di dalam Islam.



Bahkan penyiaran tersebut telah mengguris hati seluruh masyarakat Islam Malaysia kerana agama Islam yang suci ini dikarutkan dengan karikatur yang tidak sepatutnya.


Penyiaran karikatur tersebut mengundang kekeliruan ke dalam masyarakat awam dengan senario kes yang dipampang.


Secara tidak langsung, menggambarkan hukum jenayah dalam Islam begitu kolot bahkan seakan-akan "kuno" dalam menjaga keselamatan manusia amnya.


Kesan buruk yang mungkin akan timbul adalah undang-undang berkaitan jenayah Islam akan diragui terutama yang melibatkan hudud.


Justeru, PMRAM, GAMIS, PPMS & MPPMJ memandang penyiaran karikatur ini bukan hanya boleh merosakkan akidah kartunis, pihak penyiaran surat khabar bahkan masyarakat awam yang tidak mengerti dengan mendalam akan selok belok agama Islam apatah lagi masyarakat non muslim akan memandang serong terhadap hukum jenayah di dalam Islam.


Sehubungan itu, PMRAM, GAMIS, PPMS & MPPMJ mempersoalkan kredebiliti Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi kerajaan dalam isu penerangan.
PMRAM, GAMIS, PPMS & MPPMJ mengutuk kredebiliti Utusan Malaysia ekoran penyiaran karikatur tersebut. Bahkan sebelum ini pihak Utusan Malaysia juga menimbulkan kemarahan masyarakat dalam mempersoalkan agama rasmi Malaysia iaitu Islam apabila mendatang isu berkaitan "Kristian Agama Rasmi" sekiranya DAP memerintah negara Malaysia.


Jelas, pihak Utusan Malaysia sudah tidak berkredebiliti dalam menjalankan tugas dalam memberikan keterangan maklumat serta berita kepada msyarakat.


Justeru, PMRAM, GAMIS, PPMS & MPPMJ mendesak pihak yang selayaknya memberikan tindakan yang sewajarnya kepada pihak Utusan Malaysia serta 'rebranding' semula struktur jawatankuasa yang terdapat di dalam pihak Utusan Malaysia sebelum surat khabar Utusan Malaysia 'didenda' oleh rakyat.


Secara jelas dalam isu karikatur ini, 3 kesalahan yang dipandang oleh PMRAM, GAMIS, PPMS & MPPMJ :
- karikatur menghina hukum Islam
- penyiaran karikatur mengelirukan masyarakat awam
- imej buruk kredebiliti pihak Utusan sebagai media penerangan
Justeru, 3 tuntutan yang diletakkan oleh PMRAM, GAMIS, PPMS & MPPMJ iaitu :
- kartunis serta pihak Utusan minta maaf secara terbuka
- kartunis serta pihak Utusan bertaubat serta berjanji secara umum tidak akan melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti agama
- Surat khabar Utusan Malaysia mesti dikenakan tindakan bagi memulihkan semula kredebiliti pihak Utusan


Muhamad Zuhaili bin Saiman
Presiden PMRAM
Ahmad Syazwan bin Muhammad Hassan
Presiden GAMIS
Muhammad Hazuanuddin bin Sofuan
Presiden PPMS
Mohammad Hussin Bin Mohd Fauzi
Presiden MPPMJ

15 June 2011

HIBURAN MENGIKUT PANDANGAN SYARA'

                             Perkembangan dunia yang semakin hebat dan pesat
Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair mahupun secara globalnya di seluruh  dunia. Malah lebih malang lagi apabila isu ini sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di Timur Tengah ini. Sememangnya perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya hidup remaja dan belia masa kini.
Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.


Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap zaman dan tempat walau dimana kita berada.


Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.


Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang bermaksud:
"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka berilah kepada yang miliki hak tersebut."


Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaimana Imam Tarmizi telah meriwayatkan daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:
"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."
Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan.


Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.


Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.


Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.


Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.


Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.


Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.


Kesimpulan:
Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat.


Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.


Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh agama kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...