BERSAMA SAYA

3 December 2011

SALAM DAN SENYUMAN PENGIKAT HUBUNGAN




Salam Penguat Silaturrahim

Lumrah kejadian manusia yang sentiasa inginkan teman didalam mewarnai kehidupan seharian namun, segelintir dari kita yang kadang-kadang tidak tahu bagaimana  cara yang terbaik untuk memulakan bicara maka, berikanlah salam sebagaimana yang disarankan oleh Baginda.

Sabda Rasulullah Sallallah Alaihi Salam yang maksudnya:

 “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” (Riwayat Al-Tabrani)

Jika kita melihat hukum asal pada salam adalah sunat dan hukum menjawabnya adalah wajib namun, salam juga merupakan asas bagi setiap  muslim yang perlu dijadikan amalan dan ucapan didalam pergaulan harian. Tauladan yang terbaik daripada Nabi dan para Sahabat yang perlu kita praktikan didalam kehidupan seharian.

Sabda Nabi Sallallah Alaihi Salam:

 " Wahai manusia, berikanlah salam, berilah makan, jalinkanlah silaturrahim solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat sejahtera (Riwayat Ahmad no 24513, Ibn Majah no 3374,al-Baihaqi dalam al-Syu’ab no 8490 )

Allah juga berfirman:

Dan apabila di ucap dengan satu ucapan maka balas olehmu dengan ucapan yang lebih baik daripadanya atau jawab secara yang elok. Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu.

Melalui ayat ini Allah menyuruh kita mengucapkan sesuatu yang baik dan bermakna seperti salam atau seumpanya yang menandakan penghormatan terhadap orang lain. Maka, hendaklah membalasnya dengan sebaik mungkin kerana Allah Maha Mengetauhi segala yang dilakukan hambaNya sama ada melalui amalan dan niat. Inilah yang di hitungkan ke atas hambaNya.
(Surah Al-Nisa : Ayat 86)

Rasululluah Sallallah Alaihi Wasallam menjelaskan melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah iaitu: 

Memberi salam oleh yang berkenderaan ke atas yang berjalan, yang berjalan ke atas ygang duduk, yang sedikit ke atas yang banyak dan pada satu riwayat “yang kecil ke atas yang besar”
(Riwayat Al-Bukhari)

Senyum itu anugerah.

Senyum seekor kambing mampu membahagiakan kepada sesiapa sahaja yang melihat, apatah lagi kita sesama manusia. Ukirkanlah senyuman buat teman-temanmu

Allah Subhanahu Wa Taala telah menganugerahkan senyuman kepada kita, maka lakarkanlah senyuman selalu sebagai tanda bersyukur di atas anugerah itu. Hidup ini menjadi lebih indah dan berseri sekiranya kita tidak kedekut dan mudah untuk melakar senyuman terutamanya kepada orang-orang tersayang dan teman-teman seperjuangan.

Banyak Hadis-hadis dari Nabi yang menyuruh kita agar memberi senyuman apatah lagi sesama muslim. Ini menunjukkan bahawa Islam itu mengalakkan kita dengan senyuman. Bayangkan hidup ini tanpa senyuman atau ketawa, mungkin kehidupan ini tidak seindah hari ini.

Sabda Rasulullah Sallallah Alaihi Salam :

” Senyum itu adalah sedekah”.

 Hadis yang ringkas namun, ia mampu  memberikan motivasi kepada kita bahawasanya senyuman itu umpama kita bersedekah. Paling mudah dan senang untuk dipraktikkan didalam kehidupan.Tetapi tidak semua mengetahui apakah rahsia disebalik senyuman itu terutama dari segi kesihatan. 15 Fakta Senyum Yang perlu kita ketahui

Dalam ajaran Islam, senyum mempunyai kedudukan yang setaraf dengan bersedekah.

Salah seorang dari sahabat Baginda bertanya:

“Wahai Nabi Allah apakah yang kami boleh sedekahkan.? Sedangkan kami tidak mempunyai harta dan kekayaan untuk kami berikan.

Lalu Baginda menjawab :

 “Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah.” (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

Sahabat Rasulullah Sallallah Alaihi Salam, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.”(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Maka ukirkanlah senyuman kerana dengan senyuman dapat menyerikan hidup kita sesama muslim

Untuk membina Ukhwah yang mantap maka, lazimilah ia dengan salam dan senyuman anda yang pastinya mampu membahagiakan

Khas buat teman-teman terjumpa tadi..:)

Smile will certainly make others happy.
Smile will make your face turn brighter.
Smile will make your soul cleaner.
And smile will make you lovelier by end of the day

Lagu yang sering saya dan kawan nyayikan..:)

Senyum seindah suria yang membawa cahaya.
Senyumlah dari hati.
Duniamu berseri.
Senyum umpama titian dalam kehidupan.
Kau tersenyum, ku tersenyum.
Kemesraan menguntum.
Senyum kepada semua.
Senyumanmu amatlah berharga.
Senyum membahagiakan.
DENGAN SENYUMAN, TERJALINLAH IKATAN.



Pinjam ayat ket ..:)

"Sekiranya ada jalan untuk TERSENYUM mengapa dipilih jalan untuk BERSEDIH "

30 November 2011

TAULADAN HIJRAH BUKAN SEKADAR LINTASAN SEJARAH



Bismillahirrahmanirrahim…

عن أمِيْرِ المُؤْمِنِيْنَ أبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ ا للهِصلى الله عليه وسلم یَقُولُ: (( إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ آَانَ تْهِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ وَمَنْ آَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا یُصِيْبُهَا أَوِ امْرَأَ ةٍیَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ)) . رواه إماما الحدثين أبو عبد الله محمد بن إسماعيل بنإبراهيم بن المغيرة بن بردزیة البخاري، وأبو الحسين مسلم بن الحجاج بن مسلم القشيريالنيسابوري في صحيحيهما اللذین من أصح الكتب المصنفة
maksudnya:


“Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”.

Alhamdulillahirabbil A’lamin. Setinggi-tinggi kesyukuran  kita rafa’kan  kehadrat Allah Taala,Tuhan yang mentadbir sekalian alam seterusnya selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Pertamanya dan selamanya marilah sama-sama kita mengucapkan syukur kepada Allah Azzawajalla atas nikmat  serta rahmat kasih dan sayangnya yang tidak terjangkau hingga kita masih diberi peluang untuk terus bernafas demi  merasai dan menghayati nikmat penghijrahan Rasulullah ke Madinah suatu ketika dahulu. Walaupun peristiwa hijrah sudah lama berlaku pada 1433 tahun yang lalu, signifikan dan impaknya masih kita hayati dan rasai dari tahun ke tahun. Bahkan penafsiran manfaat hijrah Rasulullah itu terus berkembang dan mampu diolah dan diceduk manfaatnya seiring peredaran masa dan zaman.

Seperti selalunya apabila tiba bulan Muharram  menziarahi ummat islam, tauladan dan kesan hijrah Rasulullah terus diperihalkan semua lapisan dan golongan. Masing-masing tampil mengolah dan menghuraikan makna hijrah mengikut cara dan kefahaman tersendiri. Adapun golongan intelektual memandang hijrah dalam konteks aplikasi moden mereka manakala muda mudi memandang hijrah sebagai satu lonjakan perubahan sikap dan pencapaian kearah yang lebih baik. Kita adalah mahasiswa yang sentiasa memaksimumkan  kerahan kudrat dan buah fikiran kita demi mempersiapkan diri menjadi pemimpin ummat. Setiap peristiwa dan sejarah yang senantiasa berulang tidak pernah berlalu melainkan kita menagambil ibrah daripadanya.


Sahabat-sahabat perjuangan yang saya kasihi sekalian,

Apabila kita menyingkap kembali sejarah hijrah Rasulullah dan ummat islam ke Madinah, kita kian menyedari betapa sikap thabat dan tidak berputus asa itu mesti ada dalam jiwa mahasiswa yang menggelarkan diri mereka pejuang islam. Hijrah membuktikan betapa pentingnya kekuatan rohani dan jasmani yang perlu ada dalam jiwa setiap pejuang  Islam. Rasulullah tetap membulatkan tekad baginda bersama sahabat setia Abu Bakar As-Siddiq mengharungi pelbagai mehnah dan halangan berhijrah ke Madinah demi menyelamatkan aqidah dan Islam yang nikmatnya terus kita rasai sehingga sekarang. Tentangan yang kuat didalam menyebarkan dakwah Islam selama 13 tahun di Mekkah sedikitpun tidak mengurangkan keazaman baginda yang pernah mencuba nasib ke Taif dengan harapan penduduk Taif menerima baginda namun, mereka menghalau bahkan mengejek serta melukakan baginda. Kita dapat menyaksikan,peristiwa tersebut tidak menjejaskan semangat baginda Rasulullah untuk terus membawa islam. Sikap dan semangat inilah yang harus ada dalam jiwa setiap pejuang islam yang bakal mewarisi kepimpinan akan datang.

Penghijrahan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif membabitkan perancangan strategi dengan melihat ruang dan peluang di tempat baru. Ummat islam bukan sahaja merancang bagaimanakah mereka dapat keluar dari Kota Mekah dengan selamat bahkan pemilihan Madinah sebagai tempat pembentukan negara islam pertama juga dibuat melalui pengkajian dan penelitian pelbagai aspek penting demi memastikan kejayaan hijrah dari segi agama, moral sosioekonomi dan politik selain ianya perintah dari Tuhan. Hakikatnya perisiwa hijrah juga telah mengajar kita peripenting merancang dan merangka strategi yang teliti demi memastikan sesuatu agenda itu berjalan sebaiknya. Oleh itu, pejuang Islam itu mestilah menjiwai siasah Rasulullah yang penuh teliti dan berstrategi dalam tindakannya kerana dialah yang akan bertanggungjawab setelah sesuatu tindakan itu dibuat.Hijrah dilakukan semestinya kerana Allah, demi mendapatkan keredaan-Nya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka orang yang berhijrah, yang diiusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Aku hapuskan kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah, pada sisinya pahala yang baik.” – (Surah Ali-Imran, ayat 195)

Hijrah dan perubahan yang dipimpin baginda Rasulullah bukanlah suatu agenda yang mudah, ummat islam yang tertindas di Mekkah harus dipindahkan ke Madinah dengan penuh strategi dan perancangan yang teliti agar ianya tidak dapat dihidu oleh kaum musyrikin Mekah. Hasilnya rombongan pertama seramai 70 orang yang dipimpin Abu Salamah bin Abd al-Asd selamat tiba di Madinah dalam kumpulan-kumpulan kecil yang telah disambut baik oleh penduduk Madinah.

Teman-teman yang saya kasihi sekalian,

Hari ini, cerita penghijrahan Rasulullah hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita-cerita sejarah yang lain, ibrah dari penghijrahan Rasulullah ke Madinah menjadi rakaman sejarah semata-mata. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi Islam.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” – (Hadis Riwayat Bukhari)

Sebagai pejuang yang mengimpikan gelaran penyambung mata rantai perjuangan Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kita haruslah berusaha untuk mewarisi ketabahan dan kebesaran jiwa baginda yang sanggup meninggalkan kampung halaman yang amat baginda sayangi demi menyelamatkan aqidah islam. Peranan utama yang dimainkan baginda setelah tiba di Madinah juga harus dijadikan tauladan dimana baginda telah Berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang telah lama bermusuhan diatas ukhuwah Islam. Kesatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar pula menjadi elemen yang terpenting dalam menjayakan misi pembentukan sebuah Negara islam. Dengan ini, Rasulullah sebenarnya telah mengajar kita betapa perpecahan itu mesti kita satukan demi merialisasikan impian sebuah kepimpinan islam.

Oleh itu wahai sahabat-sahabat teman seperjuangan sekalian, marilah kita sama-sama menyahut seruan didalam membangunkan ummah serta mentajdidkan kembali semangat perjuangan kita agar terus subur sesubur peristiwa hijrah Rasulullah yang saban tahun kita raikan. Penghayatan hijrah yang sebenar mampu mengembalikan  kita ditempat yang sepatutnya setelah kita terhanyut sebentar dengan hitam putih dunia global. Saya percaya betapa kuasa dan semangat hijrah Rasulullah perlu diladeni oleh semua mahasiswa yang meyakini mereka adalah pejuang islam. Dengan hijrah yang lemah kembali tabah yang gagah terus terserlah, buktinya penyebaran aqidah islamiyyah menjadi mudah dengan penghijrahan Rasulullah ke Kota bercahaya Madinah al-Munawwarah.

27 November 2011

BUATMU PEMUDA



Pemuda,
Kau ibarat tiang yang teguh
Berdiri ditengah-tengah masyarakat sebagai pemangkin
Namun itu hanya sekadar harapan
Kerna engkau sekarang
 Ibarat tiang yang musnah dimakan anai-anai
Engkau terjerumus ke lembah yang dalam
Engkau sangat akrab dengan musuh
Musuh yang bernama nafsu
Nafsu yang hanya merosakkan jiwa

Pemuda, 
Engkau leka dengan hiburan dunia
Engkau lupa dengan pencipta yang agung
Tanggungjawab sebagai seoarang pejuang,
Kepada nafsu engkau hambakan

Pemuda,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang
Bangkitlah daripada dunia khayalanmu
Kembalilah kepada realiti hidup yang sebenar
Kembalilah kepada pencipta yang maha Esa


Pemuda,
Ingatlah engkau pada asal usulmu
Yang hanya terbentuk dari setitis air yang kotor
Menjadi segumpal daging
Dibentuk tulang, dan ditiupkan roh
Agar engkau menjadi seorang khalifah yang taat kepada penciptanya.

Pemuda,
Bangkitlah engkau dengan keinsafan
Jadilah engkau seperti matahari
Bukan membakar diri
Tapi menerangi alam dengan cahayanya
Dan jadilah seperti tanah
Tanah yang berbudi kepada tuannya.

Pemuda
Ingatlah
Engkau ibarat seperti tiang
Tiang yang berfungsi meneguhkan sebuah banggunan
Usah biarkan banggunan itu runruh
Runtuh terhumban ke tanah menyembah bumi.

30 October 2011

QORBAN : AGIHAN DAN UPAH


1. Ibadah korban marupakan salah satu daripada syi’ar Islam. Ia dilakukan sebagai ibadah tahunan pada mana-mana hari daripada Hari Raya Aidil Adha dan tiga hari Tashriq (11, 12 dan 13 haribulan) dalam bulan Zul-Hijjah. Ibadah ini mempunyai kaitan dengan sejarah pengorbanan nabi Ibrahim AS dan anaknya nabi Ismail semata-mata kerana menjunjung perintah Allah SWT. Peristiwa ini juga diabadikan sebagai manasik haji dengan pensyariatan melontar jamarat di Mina bagi para hujjaj simbolik pertentangan di antara manusia dan syaitan. 


 2. Sebab itu salah satu hikmah pensyariatan ibadah korban ialah sebagai memperingati nabi Ibrahim AS ketika mendapat wahyu dalam mimpinya bahawa nabi Ibrahim menyembelih anaknya nabi Ismail. Mimpi para nabi adalah wahyu dan wahyu wajib dilaksanakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Soffat ayat 102-107 bermaksud:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat salam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang ang sabar. Setelah kedua-duanya berserah (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

3. Nah lihatlah pengorbanan seorang ayah dan pengorbanan seorang anak dalam melaksanakan perintah Allah Azza wa Jalla. Melaksanakan perintah Allah SWT juga disebut sebagai ujian. Akhirnya Allah SWT menerima pengorbanan nabi Ibrahim AS dan anaknya yang ikhlas. Oleh itu, salah satu yang sangat penting dalam melakukan ibadah korban ini ialah keikhlasan dan ketakwaan.Elakkan daripada bermegah-megah dan riya' dalam ibadah korban yang dilakukan. Tidak menjadi halangan untuk melaksanakannya setiap tahun jika ada kemampuan, juga tiada masalah untuk berkorban dengan jumlah yang banyak jika punyai kelebihan harta, tetapi pastikan keikhlasan dan ketakwaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37 bermaksud:
Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

4. Tanpa membahaskan hukum ibadah korban sama ada sunat atau wajib bagi yang mampu, ibadah korban ini mempunyai fadhilat yang sangat besar di sisi Allah SWT. Selain bagi orang yang melakukan ibadah korban ini dan perlaksaannya yang dilakukan pada hari raya, ibadah ini menjadikan orang ramai khususnya faqir miskin bergembira pada Hari Raya Aidil Adha ini kerana mendapat bahagian daging korban. Sehingga hari Tashriqdikenal juga sebagai hari makan dan minum. Diriwayatkan nabi SAW bersabda tentang hari Tashriq sabdanya bermaksud:
Hari-hari Tashriq adalah hari-hari (untuk) makan dan minum serta mengingati Allah Azza wa Jalla. (Riwayat Muslim)

5. Terdapat hukum hakam feqh yang perlu dilihat dalam ibadah korban ini. Antaranya yang berkaitan dengan mereka yang ingin melakukan ibadah korban ini sebagaimana yang telah dituliskan dengan ringkas dalam catatan yang lalu. Begitu juga yang berkaitan dengan binatang korban dan syarat-syaratnya yang juga perlu diperhalusi agar korban yang bakal dilakukan diterima oleh Allah Azza wa Jalla bukan seperti nasib korban Qabil anak nabi Adam AS. Terdapat dua perkara yang perlu juga diambil berat dalam melaksanakan ibadah korban ini, iaitu berkaitan dengan agihan dan upah kepada pelaksana sembelihan korban.  

Agihan daging korban
6. Jika ibadah korban yang dilaksanakan dengan niat nazar maka hukum ibadah korban ini adalah wajib. Bagi ibadah korban kategori ini maka tuannya tidak boleh mengambil apa sahaja daripada binatang korbannya daripada daging, kulit dan sebagainya. Dia juga tidak boleh menjual mana-mana bahagian daripada sembelihan korbannya.

7. Jika orang yang bernazar telah memakan atau menjual korban nazarnya ini, maka dia perlu membayar semula nilainya itu dengan bersedekah kapada faqir miskin, kerana korban nazar adalah milik Allah Azza wa Jalla sepenuhnya.  

8. Bagi yang melakukan ibadah korban secara pilihan (tatowwu’) bukannya nazar pula, maka yang melakukan korban boleh makan daging korbannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud:
Dan Kami jadikan unta sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang, makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.

9. Al-Qurtubi (671H) ketika membicarakan ayat ini menyatakan:
Makanlah sebahagian daripadanya, merupakan perintah dengan maksud sunat. Dan semua para ulama’ menyatakan galakan kepada seseorang agar makan daging korbannya, dan padanya ganjaran dan menurut perintah. (al-Qurtubi, Jami’Li Ahkam al-Qur’an)

10. Nabi SAW juga menyuruh untuk memakan daging korban sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Waqid bahawa nabi SAW bersabda:
Maka kamu semua makanlah (daging korban), dan simpanlah, dan sedekahkanlah. (Riwayat Muslim)

11. Dia juga boleh menyimpan atau sedekahkan kepada faqir miskin. Tiada halangan juga untuk dia hadiahkan kepada rakan-rakannya walaupun mereka daripada kalangan orang berada. Mana-mana bahagian daripada binatang korbannya juga, seperti bulu dan kulit binatang boleh dimanfaatkan oleh yang berkorban. Dalam Mazhab Shafie dicadangkan agar diagihkan kepada tiga bahagian, iaitu satu bahagian untuk yang berkorban, satu bahagian lain untuk sedekah kepada faqir miskin, dan satu bahagian lagi untuk hadiah kepada rakan-rakannya. Imam al-Nawawi (676H) berkata:
Dan dia (Imam Shafie) berkata dalam (pendapat) baru: Dia (yang melakukan korban) makan satu pertiga, dihadiahkan satu pertiga, dan sedekahkan satu pertiga. (al-Nawawi, al-Majmu’, Dar al-Fikr, Beirut,  jld 8, hlmn 306)

12. Pemberian daging korban kepada faqir miskin adalah atas dasar pemilikan berbeza dengan rakan-rakan yang berada atas dasar hadiah. Maka orang yang berada tidak boleh menjual daging korban yang dia dapat. Adapun pemilikan kepada faqir miskin membolehkannya dia menjual daging korban yang dia perolehi. Di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji menyebut:
Dan sesungguhnya apa yang diberikan kepada orang kaya daripadanya (daging korban) adalah atas dasar hadiah untuk dimakan, mereka tidak boleh menjualnya. Manakala apa yang diberikan kepada orang faqir adalah atas dasar pemilikan, maka dia boleh memakannya atau melakukan apa sahaja yang dia kehendaki. (al-Feqh al-Manhaji ‘ala Mazhabi al-Imam al-Shafie, Dar al-Mustafa, Dimasyq, hlmn 140)

Upah korban
13. Bagi yang mengupah orang lain untuk menyembelih dan melapah binatang korbannya, maka upahnya tidak boleh daripada mana-mana bahagian binatang korbannya. Ia hendaklah daripada harta yang lain dan bukannya binatang korban. Diriwayatkan daripada Ali RA katanya:
Rasulullah SAW telah menghantar kepadaku unta korban, sabdanya: Jangan engkau berikan kepada penyembelih walau sedikitpun daripadanya. (Riwayat Ahmad)

14. Begitu juga bagi yang melakukan korban tidak boleh menjual kulit binatang korbannya, kerana dia telah meniatkannya untuk Allah SWT. Apabila demikian keadaannya maka dia tidak boleh mengambil sebarang ganti daripadanya yang boleh mengurangkan nilai korbannya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiada korban baginya. (Riwayat al-Baihaqi)

15. Menjual kulit binatang korban boleh menafikan korban seseorang. Maka rugilah dan sia-sia ibadah korbannya. Al-Shaukani (1255H) menyatakan:
Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa dagingnya (binatang korban tidak boleh dijual, begitu juga dengan kulitnya. (al-Shaukani, Nailu al-Autor)

16. Kesimpulannya, hidupkanlah syi’ar ibadah korban ini bagi yang mampu dengan menjaga hukum hakam yang berkaitan dengannya. Semoga korban kita diterima oleh Allah SWT.


Anhar Opir
2 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman

29 October 2011

BESARKAN JIWAMU



Teman-teman kepimpinanku..

Semoga dengan taklifan kepimpinan ini menjadi wasilah tarbiah yang terbaik untuk  kita selaku hamba dalam mendekatkan diri pada Allah Azzawajalla.

Jadikan taklifan dan Persatuan sebagai salah satu medan latihan didalam menabur bakti dan kerja-kerja dakwah, juga jadikan ianya sebagai peluang untuk kita menambah amal kebajikan semoga kelak dapat menjadi hujjah dihadapan Sang Pencipta.

Teman-temanku..

Derita perjuangan bukanlah suatu bebanan, tapi ianya adalah satu latihan.. Gundah didalam perjuangan bukan suatu ancaman, tapi ianya satu didikan.. Mehnah perjuangan juga  bukanlah suatu kegusaran buat kita selaku perjuang, tapi ia adalah kekuatan.

Walau perit manapun perjuangan, sesukar manapun perjalanan, sepahit manapun ujian ,Kita adalah Pejuang, Kita juga adalah Mata Rantai perjuangan Islam…

Kita teruskan perjuangan, Tabahkan hati, Kuatkan diri, Besarkan jiwa, hadapi segalanya dengan tenang dan penuh pengharapan padanya..

Kita ada Sang Pemilik Hati yang berkuasa, mengadulah padaNya…

“Serahkan diri sepenuh hati padanya, dengan itu ia akan memberikan kekuatan sebagai ganti dari kelemahan” – Yusuf Al-Qaradhawi-

" SENYUM DAEI MENUJU SYAHID "

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...