BERSAMA SAYA

1 March 2012

Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan Kali Ke-6 [PERTAMA]

24 Februari 2012 dan 25 Februari 2012, tarikh bersejarah yang menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan buat pelajar Malaysia di Jordan khususnya warga PERMAI selaku tuan rumah kepada PERTAMA VI.

Relatif dengan kepeningan ummah berkaitan isu ‘Media dan Hiburan’ PERTAMA VI gah tampil berani membawa persoalan, ‘Media Dan Hiburan; Urgensi Dan Cabaran’ dipimpin 3 panelis bergaya, 2 daripadanya diterbangkan dari tanah air, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, Ustaz Nazrey Johani danUstaz Anhar Opir panelis jemputan dari Amman.

Majlis dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Jordan Dato' Abdul Malek Abdul Azizyang turut menyertai program dari jam 4 petang Jumaat hinggalah malamnya.

Apa yang nyata berkenaan sinergi ketiga-tiga panelis ialah, kebolehan mereka dalam melengkapi satu sama lain dalam memberikan input kepada para peserta. Profesor Madya Dr. Abu Hasan dengan ilmunya yang mendalam berkenaan sastera, media dan hiburan. Penerangan beliau yang mendalam tentang topik menjadikan peserta faham konsep asas media dan hiburan, sejarahnya di tanah air, perkembangannya, pengaruhnya dan pelbagai lagi.
Ustaz Nazrey Johani pula, seorang artis islami yang bukan sahaja terkenal di pelbagai negara malahan mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam industri hiburan berkongsi suka duka hikayat dakwah anak seni yang ikhlas membawa pembaharuan dunia hiburan ke arah hiburan yang murni dan diredhai ALLAH.

Tidak lupa juga Ustaz Anhar Opir, yang bertindak sebagai ‘panelis syariah’, menyampaikan sudut pandang islam, batas-batas yang ditetapkan dan beberapa perkara yang amat genting kepada anak muda yang berniat mengembangkan bakat-bakat seni dan mengislamkan dunia hiburan.

Nampak gaya setelah tamatnya PERTAMA VI, barisan panelis berjaya membuang jauh segala desas-desus akan kemungkinan gagalnya PERTAMA VI kerana ketiadaan panelis wanita, yang sebagaimana kita semua tahu, keterlibatan wanita dalam dunia hiburan adalah suatu isu perbahasan yang belum berakhir dalam komuniti islam. Persoalan-persoalan dan jawapan yang mereka paparkan kepada peserta cukup memuaskan untuk menampung kekurangan itu.
Turut menjadi tarikan utama di ‘Malam Appreseasi Seni Islam, PERTAMA VI’ ialah teater ‘Jejak Si Amanu’  yang tidak gagal menggamamkan seluruh isi dewan dengan berjaya secara halus mencela budaya egois agamawan dan kesombongan penggiat seni, dalam masa yang sama mencanangkan penyelesaian hebat untuk masalah itu.

Idea penulis skrip yang sangat kritis, mementaskan kisah hidup ‘Si Amanu’ yang berhempas pulas mencari maksud hidup, bertarung nafsu dan imannya, untuk mengisi sekeping hati dengan suatu makna. Perjalanannya itu telah membongkar segala kebobrokan hiburan-hiburan duniawi yang berjaya digambarkan dengan kreatif dan mengesankan. Tahniah buat pengarah dan para pelakon.

Selain beberapa persembahan lain pada ‘Malam Appreseasi Seni Islam’ Ustaz Nazrey Johani tidak ketinggalan menyanyikan nasyid-nasyid baru beliau dengan penuh syahdu, meninggalkan hadirin dengan kenangan yang indah.

Tidak ketinggalan juga, persembahan dari Duta Besar Malaysia ke Jordan sendiri, Dato Abdul Malik Bin Abdul Aziz yang menggamitkan suasana dengan nyanyian lagu klasik dengan suara dalam bak artis 80-an.

Kesimpulan yang dapat kami lakukan, PERTAMA VI adalah kejayaan yang membanggakan buat warga PERMAI kerana berjaya menyediakan khidmat baik, pengurusan masa dan layanan yang bagus serta pasukan AJK yang mantap.

Kami tinggalkan anda dengan anekdot titipan , Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Seketika bersarapan dua sudu humus, sebiji zaitun jeruk, dan secawan teh tanpa gula, sambil menunggu lambaian akhir buat sahabat Irbid, dikarang anekdot ini:

Salam kasih yang paling buat Akhi Ustaz Hussin Presiden MPPMJ, Akhi Arif Hakimi Pengarah Persidangan, Akhi Syamil selaku 'adik yang membelanja', dan buat setiap sukma mahasiswa Malaysia di bumi Urdun; Irbid, Amman, Mu'tah, Mafraq terima kasih

Kerana menunjukkan ketinggiannya sikap pengetahuan peduli akan ilmu-ilmu filsafat, cultural studies, future studies dengan menjambataninya dengan usul fiqh, fiqh, bayan, usuluddin, syariah, qanun, perubatan, pergigian dan lain-lain, dan teguh seriusnya untuk mengembangkan fikiran-fikiran baru 'integrated intelligence' dan tidak konservatif pada satu disiplin sahaja,

Serta keminatan yang ajaib dalam mendengar dan membahas ilmu dan amal dalam dialog, seminar kerana telah lama tradisi dan kandungan intelektual ini bungkam di dalam atmosfera universiti tempatan.

Sekira kalian terus teguh dengan pengembaraan menuntut ilmu yang majemuk nyata subuh baru yang segar, bersih, indah dan makmur akan muncul di tanahair, dan harapan untuk melihat penghidupan sejahtera dan berkebajikan itu akan terjadi, dan sikap politik ancaman, permusuhan dan segala perilaku primitif baik di kalangan politikawan, agamawan, sutradara, aktor, seniman, mediawan, mediatalis, penghulu, guru-guru, profesor, dekan, naib canselor, setiausaha politik, ketua pengarah, ketua setiausaha, menteri dan pimpinan utama akan berubah.

Tanahair yang semakin malap akan terang benderang dengan akal rasa dan akal fikir jauhari lagi budiman. Itukan peradaban Islam yang telah menjadi mitos, namun di sukma jihad kitalah mitos itu perlu direalitaskan, dan ini harapan buat semua sarjana muda di bumi Urdun!

- Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah -


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...