BERSAMA SAYA

Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

10 January 2012

ISLAM ITU RAHMAT, BESARKAN JIWAMU WAHAI DA'IE


Barisan Artis yang dijemput bersama Ustaz Azhar di dalam program Sambutan Tahun Baru

Walaupun sudah 10 hari sambutan tahun baru berlalu. Namun, masih ada lagi yang bertanya dan menimbulkan persoalan terhadap Program Sambutan Tahun Baru yang di anjurkan oleh kerajaan Negeri Selangor yang menjemput  beberapa orang dari kalangan artis tanah air dan ustaz Azhar Idrus.

Apa yang menjadi persoalan pada program malam itu, adalah berkaitan dengan alat muzik yang dimainkan oleh ustaz Azhar Idrus bersama raja lawak Zizan. Sehingga sekarang, masih lagi diperkatakan oleh segelintir  “manusia” mengenai hukum ada juga yang menyebarkan gambar di laman maya dengan menyamakan ustaz Azhar dengan tokoh agama lain. Inilah penyakit ummat masakini yang akan mengundang timbulnya kekeliruan didalam masyarakat. Semoga Allah memberikan petunjuk pada kita semua.

Saya secara peribadinya, tertanya-tanya mengapa perkara sebegini  boleh dijadikan isu. Kita selaku orang yang ingin melihat Islam tertegak dan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat. Seharusnya, berjiwa besar serta memberi sokongan kepada program-program seumpama ini dan berlapang dada  didalam masalah khilafiah khususnya dikalangan penuntut ilmu.

Islam Itu Rahmat

Ramai dikalangan kita yang menimbulkan persoalan sepatutnya Islam itu yang harus diikuti oleh peredaran zaman, dan bukan islam yang perlu mengikuti  zaman. Ya, saya setuju dengan persoalan itu. Namun, perlu diigat bahawa Islam itu bukan agama yang melarang dan menyekat. Tetapi ia agama fitrah yang diwahyukan untuk membawa rahmat di sekalian alam. Islam itu juga  agama yang datangnya adalah untuk memandu fitrah kearah yang terbaik dan diredhoi olehNya.

Baginda Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menunjukkan teladan yang terbaik, banyak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat r.a menceritakan bagaimana Nabi berhadapan dengan perkara-perkara yang telah menjadi adat dan budaya masyarakat arab ketika itu. Nabi mengambil pendekatan mencantikkan  dari mencantas budaya dan adat masyarakat setempat baik pada syairnya, lagu-lagunya, muziknya, tariannya dan sebagainya. Pendekatan yang terbaik oleh Nabi  harus dijadikan teladan buat kita selaku da’ei yang bakal pulang kelak. Tidak dapat tidak antara sifat Da’ie itu adalah dengan memahami waqi’. Baca disini BUAT DA'IE YANG BAKAL PULANG

Islam itu agama yang berkembang dan sentiasa bersifat fleksibiliti dalam apa jua zaman itulah yang perlu para da'ei fahamkan agar semua lapisan masyarakat dapat menerima Islam itu dengan tenang dan senag  agar ia tidak dilihat jumud di kaca mata masyarat samada dikalagan orang-orang islam sendiri mahupun yang bukan islam.

Ikon anak muda, Ustaz Azhar yang mampu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat, walauapa latar belakangnya yang berbeza

Ustaz Azhar

Saya mula mengenali susuk tubuh beliau pada akhir tahun 2008, yang ketika itu hanya mendengar melalui piring-piring  CD  yang dijual di kaki lima masjid  pasar jumaat. Pendekatan beliau yang sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat baik dari kanak-kanak, anak-anak muda sehinggalah ke golongan orang lama menjadikan beliau makin dikenali ramai tambahan pula beliau mengekalkan identitinya sebagai anak jati Terengganu didalma penyampaianya. Kini, hampir seluruh Negara menjemput beliau untuk memberikan kuliah agama yang turut dihadiri oleh anak-anak muda. Ini suatu kejayaan buat da’ie seperti kita semua.

Namun, baru-baru ini yang menjadi isu oleh segelintir “manusia” yang kurang senang dengan beliau yang kononya telah menyalahi syara’ pada program yang diadakan di Shah Alam Selangor bersempena menyambut tahun baru 2012 baru-baru ini. Rintitan dari itu, ada juga segelintir dari mereka yang mempersoalkan kelulusan beliau, ada yang menyamakan beliau dengan tokoh agama lain dan yang paling sedih beliau didakwa membawa ajaran sesat.

Sungguh kotor sifat manusia ini, yang tergamak menyamakan kedua tokoh ini.

Bagi saya sangat tidak adil jika dakwaan sekotor itu, dicalitkan pada beliau. Mengapa terlalu keras didalam perkara khilafiah, mengapa gelaran-gelaran yang sangat kotor dicalitkan pada beliau. Tapi, mengapa tidak melihat pada kejayaan beliau yang mampu menarik anak-anak muda masakini yang semakin hari semakin liar didalam dunia hiburan dan sosial.

Ada juga yang berhujjah dengan satu kaedah fiqh “ Matlamat tidak menghalalkan cara”. Ya memang ada kaedah ini didalam fiqh. Namun, perlu dilihat perkara ini (muzik) adalah khilafiah dikalangan ulama’ dan ia bukan perkara yang qat’ie. Kaedah ini terpakai pada perkara-perkara yang qat’ie pada pengharamannya oleh nas. Seperti berzina dan membunuh, walau bagaimana sekalipun keadaan ia tetap haram.

70 000 orang dapat dikumpulkan dari pelbagai latar belakang yang mewarnai dataran Merdeka Shah Alam, bukanlah untuk mendengar nyayian dari Justin Biebir atau Mary J. Blige, tetapi untuk bersama mendengar kuliah dan hiburan yang dipandu Islam. Ini suatu perkara yang baik dan harus kita banggakan. Saya katakan bahawa pendekatan beliau adalah antara yang terbaik didalam memenangi  hati masyarakat masakini. Baca disini KENAPA HIBURAN

Kehadiran yang mencecah 7000orang di Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi.

Ribuan yang turut hadir pada kuliah Ustaz Azhar, di Masjid Shah Alam pada 24 Julai 2011

70 000 yang hadir pada program sambutan Tahun Baru 2012 yang dianjurkan pada 31 Disember 2011 di Dataran Merdeka Shah Alam.

Hari ini, Islam dilihat jumud dan tidak sesuai pada zaman ini adalah dek kerana adanya golongan-golongan yang tidak meraikan keadaan masyarakat setempat dan terlalu keras didalam berhukum seolah-olah tidak menerima Islam itu agama yang berkembang dan sesuai didalam semua keadaan dan tempat. Ambillah pendekatan mencantikkan dari menghalang dan mencantas sesuatu perkara, sepertimana yang telah diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w

 Kita harus berjiwa besar didalam usaha merealisasikan Islam sebagai sebuah agama wahyu yang membawa rahmah untuk semua dan bukan agama yang hanya untuk beberapa kelompok. Saya terus menanti, semoga Islam dapat diterima oleh semua suatu hari nanti.

1 January 2012

WARKAH BUAT SAUDARAKU ANGGOTA POLIS

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,
Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja. Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Tugas Mulia
Saudaraku anggota polis,
Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas. Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Saudaraku anggota polis,
Tugas seorang anggota polis -sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu ‘Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran’. Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu ‘Mencegah Kemungkaran’. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum. Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya):
“Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda:
“Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).
Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.
Bahaya Kuasa
Saudaraku anggota polis,
Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya. Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya. Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.
Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara. Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri. Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan. Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa. Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi s.a.w:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya” (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain:
“Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Allah Tidak Lupa
Saudaraku anggota polis,
Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu. Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa. Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya ‘apakah salah saya?’. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.
Dunia Sementara
Saudaraku anggota polis,
Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan. Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).
Saudaraku anggota polis,
Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil. Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya. Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w:
“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga :
“Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Nasihati Hasan al-Basri
Saudaraku anggota polis,
Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan‘atasan’. Maka, mungkin ada yang berkata ‘kami hanya menjalankan tugas’. Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu ‘Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik. Kata ‘Umar bin Hubairah:
“Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama? Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit. Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid.
Wahai ‘Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat. Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai ‘Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor ‘Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa ‘Ibrah al-Yaqzan)
Saudaraku anggota polis,
Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat. Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.
Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.
Saudaraku anggota polis,
Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak. Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil. Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!

28 September 2011

KAMI MAHASISWA MENYELAR TINDAKAN PIHAK YANG MEMPERSENDAKAN HUKUM ALLAH


Karikatur yang mempersendakan hukum hudud

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) , Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan ( MPPMJ ) dan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) menyelar tindakan karikatur Utusan Malaysia yang diterbitkan pada hari ini membawa unsur mempersendakan hudud.

Karikatur Utusan tersebut jelas mempersendakan hudud apabila menggambarkan seorang ustaz yang memakai serban sedan berbaring mendengar muzik yang mengeluarkan bunyi hudud dan terdapat di sisi ustaz yang digambarkan tersebut album lagu yang tertulis hudud.
PMRAM , MPPMJ dan PPMS menyatakan pendirian secara tegas bahawa karikatur tersebut merupakan satu unsur yang membawa kepada fitnah serta persendaan kepada hudud yang merupakan hukum daripada Allah.



Sepatutnya tidak timbul karikatur seperti berikut walaupun isu hudud di Malaysia sedang hangat di perkatakan.

Ia seolah-olah menggambarkan rosaknya etika bagi media di Malaysia apabila secara langsung menyentuh sensitivitiyang berkaitan dengan agama Islam bahkan memperlihatkan begitu mudah agama Islam diperlekehkan melalui media.

"PMRAM bersama-sama dengan mahasiswa di Jordan melalui MPPMJ dan Syria melalui PPMS menyelar tindakan karikatur Utusan yang tidak bermoral apabila mempersendakan hudud secara umum. PMRAM dan PPMS mengharapkan isu hangat mengenai hudud di kalangan masyarakat umat Islam Malaysia tidak dijadikan sebagai bahan lawak atau persendaan bagi mana-mana pihak kerana ia menyentuh sensitiviti agama Islam," ujar Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman berhubung isu ini ketika dihubungi.

 “ Saya juga bersama teman-teman dari PMRAM dan PPMS mengharapkan agar isu seumpama ini tidak dimainkan, apatah lagi yang  menyentuh soal agama dan tidak dijadikan bahan gurauan dan tidak dijadikan isu oleh mana-mana pihak yang akhirnya akan mendatangkan banyak kekeliruan kepada masyarakat awam di Malaysia”. Ujar Presiden MPPMJ, Mohammad Hussin Bin Mohd Fauzi.

Justeru, PMRAM , MPPMJ dan PPMS menuntut agar Utusan Malaysia dapat menjaga etika dan adab supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama sekaligus mengundang fitnah perpecahan di kalangan masyarakat di Malaysia.


6 September 2011

MPPMJ Mengucapkan Takziah Buat Keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor



Perjalanan yang memakan masa hanya tiga minit menjadi detik tragis buat sebahagian petugas media yang menyertai misi bantuan ke Somalia. Siapa sangka dalam waktu yang begitu singkat,menjadi saat getir yang tidak dapat dilupakan seluruh rakyat Malaysia.


Di kala rakyat Malaysia bergembira menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, kesedihan menyelubungi keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, seorang jurukamera BernamaTV, yang juga ketua pasukan media yang bertugas dalam Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1 Malaysia ke Somalia.


“ Sebelum memasuki perkarangan hotel,saya terdengar bunyi tembakan dan sedar saya sendiri terkena tembakan di bahagian lengan kanan. Dalam kesakitan,saya memberitahu Noramfaizul bahawa kami diserang tetapi arwah tiba-tiba terkulai di bahu kanan saya. Saya dapat melihat bahu kanan arwah berlubang dan berda dalam kesakitan yang amat sangat,” kata Aji Saregar Mazlan,jurukamera TV3.


Sesungguhnya saat kematian tidak diketahui oleh manusia. Apabila tiba detiknya,ianya tidak akan diawalkan mahupun ditangguh walaupun sesaat. Sebagai hamba,sentiasalah kita menyeru ke arah kebaikan dan menjauhi larangan Allah s.w.t.  Semoga ketika tiba saatnya nanti,kita menghadap Pencipta dalam keadaan husnul khatimah dan dinantikan oleh penghuni langit.



SEBAK…Naemah Abdul Majid tidak dapat menahan kesedihan tatkala melihat gambar terakhir anaknya beberapa jam sebelum maut .


Kami saf kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) serta seluruh mahasiswa Malaysia di Jordan mengucapkan takziah buat keluarga Allahyarham. Harapan kami agar kejadian ini tidak melemahkan semangat rakyat Malaysia untuk terus membantu mangsa Somalia. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh dan dikasihi Allah.
Al-Fatihah..



24 July 2011

ANAK JANGAN NAKAL, BAPA JANGAN "TERLALU" GARANG



Alhamdulillah, sekian lama tidak menulis terasa kekok untuk menulis. Namun, apabila melihat beberapa isu sekarang yang melibatkan sensitiviti mahasiswa semakin kuat untuk mendorong saya menulis tajuk ini.

Bersempena dengan kedatangan Ramadhan yang penuh rahmah kali ini, saya mengajak seluruh mahasiswa Islam agar dapat  
mengambil ibrah dan intipati dari bulan kebesaran Islam ini sebagai pegangan hidup. Sifat kesatuan iaitu cintakan Islam perlu wujud dikalangan mahasiswa bagi membentuk diri mahasiswa yang mampu membuat perubahan ke arah kebaikan.


Melihat kepada peranan suasana dan keadaan mahasiswa kini yang begitu penting didalam jatuh bangunnya sesebuah negara, selaku mahasiswa perlulah menangani isu-isu yang mendatang dengan baik dan profesional. Mahasiswa juga perlulah diingatkan bahawa segala tingkah laku yang di lakukan menggambarkan keadaan mahasiswa itu sendiri. Andai sesorang itu yang bertitlekan mahasiswa sering menggunakan pendekatan dan bicara yang lebih emosional , saya yakin pandangan umum terhadapnya seperti ‘budak kecil yang baru hendak belajar’

Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan beberapa kumpulan mahasiswa yang suka mengambil tindakan terburu-buru lantas merosakkan imej kemahasiswaan mereka sendiri. Ingin berlagak hebat, tapi tidak pandai berstrategi. Bukankah itu ‘kurang cerdik’ namanya.

namun begitu,akhir-akhir  ini, mahasiswa seringkali diancam dan diugut sehingga membuatkan kadang-kadang mahasiswa ini tidak berani dan menjadi takut untuk menyatakan kebenaran walaupun ianya benar dan perlu disuarakan. Tahniah saya ucapkan kepada mahasiswa Jordan yang jelas membantah penyiaran filem “ Tahajud Cinta” yang bagi saya ini adalah peranan mahasiswa yang sebenar, yang benar katakan benar. 

Isu terbaru yang masih diperkatakan, melibatkan beberapa mahasiswa pengajian Islam di Mesir, sebenarnya tindakan mahasiswa tersebut bertepatan dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak besuara dan layak mengundi dalam pilihanraya. Bahkan bagi saya, ia adalah lebih kepada menuntut hak dan keadilan.

Saya ingin timbulkan beberapa persoalan, memandangkan majoriti mahasiswa adalah berumur 21 tahun, adakah perlembagaan 119(a) terbatal serta merta.? Saya juga sudah berumur 24 tahun dan saya juga masih memegang status sebagai seorang mahasiswa,adakah hak saya sepertimana yang di sebut 119(a) terbatal? kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan mengundi, mengapa mereka dihalang untuk besuara bagi menyatakan pendirian mereka terhadap mana-mana isu. Kita menguar-uarkan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun, mengapa mesti ada halangan terhadap mana-mana mahasiswa untuk mengamalkan hak demokrasi mereka?

Saya bersetuju dengan sekatan dan tindakan yang diambil atas mahasiswa samada IPT dalam mahupun luar sekiranya ia melibatkan keselamatan dan kerosakan pada Negara, namun apa yang saya lihat akhir-akhir ini mahasiswa yang ingin menyuarakan hak-hak mereka yang tidak ditunaikan dalam keadaan harmoni. Namun, ia dianggap suatu kesalahan yang besar.

Saya selaku mahasiswa beranggapan undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sangat tidak relevan pada masa ini, Saya kuat mengatakan bahawa dengan cara inilah kita mampu membentuk kepimpinan dan mematangkan mahasiswa yang mahasiswa ini kelak akn memimpin sebuah Negara. Mahasiswa perlu diberikan pendedahan mengenali lanskap dan apa itu politik, agar mereka kelak kenal dan mampu menangani isu-isu semasa dengan baik dan profesianal yang tidak mengikut hawa nafsu semata-mata. Apa yang berlaku hari ini, gejala aku tidakpedulisma ini semakin banyak dikalangan mahasiswa yang tidak mengambil tahu dan tidak tahu hal ehwal negara menyebabkan mahasiswa semakin menjadi pasif dan lesu didalam menangani beberapa isu.

Oleh itu, jangan sesekali beremosi tapi berstrategi ketika menangani isu dan ancaman serta bertindak mengikut arahan daripada pimpinan. Keselarasan pemikiran dan kesepakatan bekerja inilah yang diajar didalam kesatuan.

17 July 2011

SEORANG WANITA..SEMOGA PERGINYA MENINGGALKAN BANYAK SRIKANDI SEPERTINYA

YB DR LO' LO' BINTI MOHD GHAZALI SUMBANGAN BELIAU TARHADAP PEMBANGGUNAN MODAL INSAN DI MALAYSIA. SEMOGA LEBIH RAMAI AKAN MUNCUL SEPERTI BELIAU.. AL-FATIHAH
















14 March 2011

Terkini, Mengharapkan Yang Terbaik.

Malaysia, 9,575 rogol bawah umur dalam 5 tahun


kanak-kanak dibawah umur yang tidak berdosa menjadi habuan si nafsu binatang-gambar hiasan
Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur. 

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004," katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Fong ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan," katanya.

--Bernama



Kartun tsunami Berita Minggu cetus bantahan





















Akhbar Berita Minggu hari ini mencetuskan kontroversi apabila ia menyiarkan sebuah kartun mengenai kejadian tsunami di Jepun yang meragut nyawa ribuan rakyatnya.

Kartun lukisan Zoy yang disiarkan di muka dalam Berita Minggu - edisi 
hari Ahad Berita Harian - memaparkan superhero popular Jepun - Ultraman - lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan rasa kesal dan kemarahan mereka - melalui lamanweb sosial dan Twitter - terhadap Berita Minggu, malah ada yang menggesa supaya memboikot akhbar tersebut.

Satu laman petisyen online turut diwujudkan untuk membantah kartun tersebut, dan dalam beberapa jam sahaja, telah mengumpul 571 tandatangan.

Beberapa ahli politik dari kedua belah pihak turut mengecam kartun 
yang menurut mereka sebagai tidak sensitif.

Jepun, Korban mungkin lebih 10,000


Gelombang tsunami menghempas sebatang jalan di bandar Miyako, di timur laut Jepun selepas satu gempa berukuran 8.9 pada skala Richter menggegar Jepun, Jumaat lalu

TOKYO 13 Mac – Polis di Miyagi menjangkakan angka kematian di wilayah itu sahaja mungkin melebihi 10,000 orang, apabila bandar di timur laut Jepun itu musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda kelmarin.


Jangkaan itu juga dibuat berdasarkan penemuan lebih 600 mayat di sepanjang kawasan pantai Miyagi dan Iwate, lapor agensi berita Kyodo.
Jurucakap polis, Go Sugawara berkata, ketua polis wilayah itu memaklumkan pegawai bantuan kecemasan bahawa mangsa terbunuh dijangka melebihi 10,000 orang.


Ini berikutan kira-kira 10,000 penduduk di bandar Minamisanriku, Miyagi telah terputus hubungan.
Setakat ini, pihak berkuasa Jepun meletakkan angka kematian tsunami dan gempa bumi pada lebih 1,400 orang, tetapi jumlah itu dijangka meningkat.
Seorang pegawai perbandaran di bandar Futaba, wilayah Fukushima berkata, kira-kira 90 peratus rumah di tiga kawasan perumahan musnah selepas dilanda tsunami.


Agensi NHK melaporkan, kira-kira 390,000 penduduk telah meninggalkan rumah mereka dengan kebanyakannya mendapatkan perlindungan di lebih 1,400 tempat pemindahan sementara di sekolah-sekolah dan pusat komuniti.
Perdana Menteri, Naoto Kan hari ini menyatakan, Jepun sedang berhadapan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua apabila bilangan korban akibat bencana tersebut terus meningkat.


Beliau hari ini turut menggandakan jumlah askar yang dihantar ke kawasan terbabit kepada 100,000 orang ketika pekerja penyelamat sukar tiba ke kawasan terjejas ekoran keadaan jalan yang terputus hubungan. – Reuters/Dpa

Yaman, Lima maut pertempuran di Yemen


Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan semasa bantahan menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh selepas pertempuran berlaku di Sanaa, Yemen, 

SANAA 13 Mac - Seorang penunjuk perasaan maut hari ini akibat cedera ditembak dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di bandar Aden.


Terdahulu, empat orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera di beberapa bandar di negara ini semalam dalam pertempuran yang berlaku sejak bantahan bermula di negara ini pada Januari lalu.


Seorang lelaki ditembak mati di bandar Aden, dua orang lagi dibunuh di Sanaa dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun pula maut di Mukalla.
Pertempuran turut dilaporkan di dua lagi bandar ketika protes terhadap pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh bertukar menjadi ganas.
Di ibu negara, beratus-ratus polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah khemah penunjuk perasaan pada awal pagi bagi membendung demonstrasi bantahan daripada semakin meluas.


Penunjuk perasaan bertindak melempar batu dan melepaskan tembakan. Mereka yang cedera dibawa ke sebuah masjid yang dijadikan pusat perubatan sementara.


Doktor berkata, seorang kanak-kanak lelaki ditembak mati. Seorang lelaki turut ditembak mati ketika dia melihat satu pertempuran dari tingkap pejabatnya.
Kementerian Dalam Negeri menuduh penunjuk perasaan melepaskan tembakan selain mengatakan sebanyak 161 anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.


Berpuluh-puluh penunjuk perasaan menjadi lemas apabila gas pemedih mata itu dilepaskan ke arah mereka dan kebanyakannya pengsan.
“Gas yang digunakan oleh polis itu ganjil. Ia menyebabkan kekejangan dan mengganggu sistem saraf,’’ kata seorang doktor yang membantu mereka yang cedera, Bashir al-Kahli.


Kementerian Dalam Negeri menafikan polis menggunakan sebarang gas saraf. – Reuters

Sudan, 34 maut pertemputan tentera, militia di Sudan


Seorang penunjuk perasaan memberanikan diri melempar batu ke arah polis yang mengawal


JUBA, Sudan 13 Mac - Sekurang-kurangnya 34 terbunuh apabila tentera awam militia yang menentang kerajaan selatan Sudan melancarkan satu serangan di sebuah bandar, lapor tentera dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Pertempuran antara Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA) dengan militia yang diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai Kapten Olonyi itu bermula awal pagi semalam di luar ibu negara yang kaya dengan minyak, Upper Nile.
Jurucakap PBB, Hua Jiang berkata, tentera selatan Sudan berjaya menangkis serangan di Malakal dan sekurang-kurangnya 30 orang pemberontak dan empat orang askar kerajaan terbunuh. - AP

9 February 2011

Kami Mahasiswa Mengucapkan Jutaan Terima Kasih Buat Kerajaan MALAYSIA..

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri kabinet menyambut ketibaan kumpulan pertama pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, 7 Feb 2011


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa menteri kabinet menyambut ketibaan  pelajar Malaysia 7 Feb 2011


SEBAHAGIAN pelajar Malaysia dibawa pulang dari Mesir berikutan konflik di negara tersebut, memegang sepanduk menyatakan penghargaan mereka kepada kerajaan yang prihatin terhadap keselamatan mereka, selepas tiba di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, 7 Feb 2011


PRESIDEN Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (tengah) melaungkan slogan 1 Malaysia bersama sebahagian pelajar sekolah Asrama Darul Rahim Mahad Buuth Kaherah dan Markas Nin Al-Azhar yang tiba dari Jeddah dengan penerbangan Saudi Airlines 6254 jam 10.35 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA,Sepang. 9 Feb. 2011


DUA model seksi bersama jentera terbaru pasukan Mercedes GP Petronas yang bakal digunakan pada perlumbaan Formula Satu musim 2011 yang akan bermula bulan depan, pada majlis pengenalan jentera itu di hadapan Menara Petronas, Kuala Lumpur, 7 Feb 2011


Mary J. Blige penyayi seksi Holywood, di Kuala Lumpur Convention Centre, 8 Februari 2011.



KONSERT penyanyi antarabangsa, Mary J. Blige, di Kuala Lumpur Convention Centre, 8 Februari 2011.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...