BERSAMA SAYA

1 March 2012

Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan Kali Ke-6 [PERTAMA]

24 Februari 2012 dan 25 Februari 2012, tarikh bersejarah yang menyaksikan satu lagi pencapaian membanggakan buat pelajar Malaysia di Jordan khususnya warga PERMAI selaku tuan rumah kepada PERTAMA VI.

Relatif dengan kepeningan ummah berkaitan isu ‘Media dan Hiburan’ PERTAMA VI gah tampil berani membawa persoalan, ‘Media Dan Hiburan; Urgensi Dan Cabaran’ dipimpin 3 panelis bergaya, 2 daripadanya diterbangkan dari tanah air, Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, Ustaz Nazrey Johani danUstaz Anhar Opir panelis jemputan dari Amman.

Majlis dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Jordan Dato' Abdul Malek Abdul Aziz, yang turut menyertai program dari jam 4 petang Jumaat hinggalah malamnya.

Apa yang nyata berkenaan sinergi ketiga-tiga panelis ialah, kebolehan mereka dalam melengkapi satu sama lain dalam memberikan input kepada para peserta. Profesor Madya Dr. Abu Hasan dengan ilmunya yang mendalam berkenaan sastera, media dan hiburan. Penerangan beliau yang mendalam tentang topik menjadikan peserta faham konsep asas media dan hiburan, sejarahnya di tanah air, perkembangannya, pengaruhnya dan pelbagai lagi.
Ustaz Nazrey Johani pula, seorang artis islami yang bukan sahaja terkenal di pelbagai negara malahan mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam industri hiburan berkongsi suka duka hikayat dakwah anak seni yang ikhlas membawa pembaharuan dunia hiburan ke arah hiburan yang murni dan diredhai ALLAH.

Tidak lupa juga Ustaz Anhar Opir, yang bertindak sebagai ‘panelis syariah’, menyampaikan sudut pandang islam, batas-batas yang ditetapkan dan beberapa perkara yang amat genting kepada anak muda yang berniat mengembangkan bakat-bakat seni dan mengislamkan dunia hiburan.

Nampak gaya setelah tamatnya PERTAMA VI, barisan panelis berjaya membuang jauh segala desas-desus akan kemungkinan gagalnya PERTAMA VI kerana ketiadaan panelis wanita, yang sebagaimana kita semua tahu, keterlibatan wanita dalam dunia hiburan adalah suatu isu perbahasan yang belum berakhir dalam komuniti islam. Persoalan-persoalan dan jawapan yang mereka paparkan kepada peserta cukup memuaskan untuk menampung kekurangan itu.
Turut menjadi tarikan utama di ‘Malam Appreseasi Seni Islam, PERTAMA VI’ ialah teater ‘Jejak Si Amanu’  yang tidak gagal menggamamkan seluruh isi dewan dengan berjaya secara halus mencela budaya egois agamawan dan kesombongan penggiat seni, dalam masa yang sama mencanangkan penyelesaian hebat untuk masalah itu.

Idea penulis skrip yang sangat kritis, mementaskan kisah hidup ‘Si Amanu’ yang berhempas pulas mencari maksud hidup, bertarung nafsu dan imannya, untuk mengisi sekeping hati dengan suatu makna. Perjalanannya itu telah membongkar segala kebobrokan hiburan-hiburan duniawi yang berjaya digambarkan dengan kreatif dan mengesankan. Tahniah buat pengarah dan para pelakon.

Selain beberapa persembahan lain pada ‘Malam Appreseasi Seni Islam’ Ustaz Nazrey Johani tidak ketinggalan menyanyikan nasyid-nasyid baru beliau dengan penuh syahdu, meninggalkan hadirin dengan kenangan yang indah.

Tidak ketinggalan juga, persembahan dari Duta Besar Malaysia ke Jordan sendiri, Dato Abdul Malik Bin Abdul Aziz yang menggamitkan suasana dengan nyanyian lagu klasik dengan suara dalam bak artis 80-an.

Kesimpulan yang dapat kami lakukan, PERTAMA VI adalah kejayaan yang membanggakan buat warga PERMAI kerana berjaya menyediakan khidmat baik, pengurusan masa dan layanan yang bagus serta pasukan AJK yang mantap.

Kami tinggalkan anda dengan anekdot titipan , Profesor Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah.

Seketika bersarapan dua sudu humus, sebiji zaitun jeruk, dan secawan teh tanpa gula, sambil menunggu lambaian akhir buat sahabat Irbid, dikarang anekdot ini:

Salam kasih yang paling buat Akhi Ustaz Hussin Presiden MPPMJ, Akhi Arif Hakimi Pengarah Persidangan, Akhi Syamil selaku 'adik yang membelanja', dan buat setiap sukma mahasiswa Malaysia di bumi Urdun; Irbid, Amman, Mu'tah, Mafraq terima kasih

Kerana menunjukkan ketinggiannya sikap pengetahuan peduli akan ilmu-ilmu filsafat, cultural studies, future studies dengan menjambataninya dengan usul fiqh, fiqh, bayan, usuluddin, syariah, qanun, perubatan, pergigian dan lain-lain, dan teguh seriusnya untuk mengembangkan fikiran-fikiran baru 'integrated intelligence' dan tidak konservatif pada satu disiplin sahaja,

Serta keminatan yang ajaib dalam mendengar dan membahas ilmu dan amal dalam dialog, seminar kerana telah lama tradisi dan kandungan intelektual ini bungkam di dalam atmosfera universiti tempatan.

Sekira kalian terus teguh dengan pengembaraan menuntut ilmu yang majemuk nyata subuh baru yang segar, bersih, indah dan makmur akan muncul di tanahair, dan harapan untuk melihat penghidupan sejahtera dan berkebajikan itu akan terjadi, dan sikap politik ancaman, permusuhan dan segala perilaku primitif baik di kalangan politikawan, agamawan, sutradara, aktor, seniman, mediawan, mediatalis, penghulu, guru-guru, profesor, dekan, naib canselor, setiausaha politik, ketua pengarah, ketua setiausaha, menteri dan pimpinan utama akan berubah.

Tanahair yang semakin malap akan terang benderang dengan akal rasa dan akal fikir jauhari lagi budiman. Itukan peradaban Islam yang telah menjadi mitos, namun di sukma jihad kitalah mitos itu perlu direalitaskan, dan ini harapan buat semua sarjana muda di bumi Urdun!

- Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah -


29 February 2012

BERILAH PELUANG PADA ANAK


Mahasiswa hari ini bakal menerajui masyarakat dan negara,
 berilah peluang dan keyakinan pada mereka

Mahasiswa perlu diberi peluang bagi membuat keputusan, apatah lagi berkaitan isu-isu mahasiswa itu sendiri.

1. Mahasiswa adalah antara golongan yang hampir dengan kalimah Ulul Albab, sepertimana yang disebut di dalam Al quran antaranya pada surah Az zumar :
Firman Allah Taala :

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

Golongan yang mendengar kata-kata, lalu mereka mengkaji,meneliti dan memilih antara yang terbaik. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah Ulul albab. Maka seharusnya diberikan kepercayaan

2. Mahasiswa adalah golongan pemuda, Didalam Al quran banyak memuji golongan permuda antaranya di dalam surah Al Kahf. Ashabul Kahf dan Ashabul Uhdud sebagai contoh. Begitu juga jika dilihat kebangkitan Islam dan sesuatu Negara adalah dari golongan pemuda. 
Firman Allah Taala :

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهاً لَقَدْ قُلْنَا إِذاً شَطَطاً

Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk. Dan Kami meneguhkan hati mereka diwaktu mereka berdiri, lalu mereka pun berkata, "Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran".

Sukarno, Presiden Indonesia suatu ketika dahulu juga pernah berkata, andai aku diberikan 10 orang pemuda, akan ku goncangkan dunia ini.

3. Mahasiswa juga adalah agen/aset yang bakal memimpin masyarakat.. Pemimpin yang terbaik bukanlah yang hanya pandai "menyapu dan mengampu' tetapi adalah mereka yang dilatih dan yang diberikan peluang berfikir dan membuat keputusan dari hasil kajian, perbincangan. 

Berilah kepercayaan dan peluang kepada mahasiswa khusunya mereka yang telahpun diberikan suara dalam perwakilan pelajar..

Pegawai dan kepimpinan bukan hanya yang pandai menyapu dan mengampu pihak atasan

- Ayah yang cerdik akan beri peluang kepada anak-anaknya membuat keputusan untuk mereka.

- Ayah yang cerdik akan bertindak sebagai penasihat dan bukan memaksa , memukul anak bahkan ia diberi peluang..

- Ayah yang cerdik akan terus member keyakinan , sokongan dan bukan mengongkong..



16 February 2012

MEMPERJUANGKAN KEPENTINGAN BANGSA


Sekadar Hiasan
Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;
1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)
“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:
“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).
5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)
“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)
6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.
7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.
8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.
9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...