Logo KARISMA IV yang bertemakan 'Kualiti Kejuaraan Inspirasi Bersama'
Logo KARISMA IV
Setinggi-tinggi kesyukuran buat Pemilik seantero alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kerana masih lagi dikurniakan nikmat kehidupan dan kesempatan menikmati iman dan islam.
Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk mengisi ruangan blog yang hampir menerima kunjungan si labah-labah. Saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah buat pengarah KARISMA ke-IV dan seluruh AJK perlaksana program yang bertungkus lumus membanting tulang di dalam menjayakan program seumpama ini. Tidak dilupakan juga, ucapan syabas dan tahniah buat atlet-atlet yang mewakili mantiqah masing-masing, antaranya PPMA (zon Amman),PRISMA (zon Mafraq), PERMAI (zon Irbid) dan PERMATA (zon Mutah) serta seluruh ahli yang turut membantu secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah memberkati usaha kita bersama.
Pengalaman dua hari bersama,banyak mengajar saya mengenali erti persahabatan sepanjang perjalanan mahupun di medan perlawanan. Hati ini bertambah teruja apabila disentuh dengan murninya ukhuwah bersukan terutama ketika bersama skuad Bola Sepak Mutah. Syabas di atas kemenangan yang kalian perolehi sekali gus mengekalkan kejuaraan enam kali berturut-turut. Percayalah, kejuaraan ini bukanlah satu kebetulan tetapi adalah ketentuan-Nya. Bertambah terharu apabila gandingan usaha, toleransi dan semangat berpasukan wujud pada setiap atlet dan tidak dilupakan juga, buat penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan yang padu kepada pemain.
Bergambar bersama Dato' Abdul Rahim, Dato' Duta selepas bergelar juara.
Skuad Bola Sepak Mutah bersama Piala Pusingan Duta
Kredit buat Ketua dan Timb Biro BKDS PERMATA yang menjadikan tema ‘Kami Datang Kerana Ukhwah’ sebagai tema pada KARISMA kali ini, telah menjadikan keakraban sebagai hadiah utama. Oleh yang demikian, mampu saya katakan bahawa ukhuwah yang terbina lebih kukuh dipatri. Masih terbayang suasana perjalanan pulang ke Mu’tah, kami terkesiap dengan khabar bayaran pengangkutan yang masih lagi tertangguh. Keadaan agak merunsingkan ketua kontijen, bayaran mencecah JD 1440 dengan kadar tukaran semasa RM 6048, perlu dilunasi kepada pemandu bas. Namun, setelah khabar tersebut diwara-warakan, ramai yang menghulurkan bantuan hatta melebihi kecukupan. Semoga hubungan persahabatan di antara kita terus mekar dan sentiasa di redhai-Nya.
KARISMA ke-IV , bertemakan ‘Kualiti Juara Inspirasi Bersama’ adalah antara program yang terbaik di seluruh Jordan dan seterusnya Mu’tah akan menjadi tuan rumah KARISMA ke-V dan saya mengharapkan agar ianya lebih cemerlang.
Sekali lagi ucapan jutaan terima kasih buat penganjur yang sudi menerima kami sebagai tetamu di Irbid, seterusnya seluruh wakil mantiqah lain yang turut serta dan tidak dilupakan juga buat seluruh ahli PERMATA serta HELWANIS yang menjadi kebanggaan Mu’tah dengan prestasi akhlak yang dipamerkan sepanjang program KARISMA kali ini. Kalian adalah yang terbaik, semoga kalian terus menjadi permata.
Semoga dengan pertemuan ini, dapat menambahkan lagi kasih persahabatan di antara kita dan seterusnya mendapat keredhaan daripada Pemilik hati, Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
No comments:
Post a Comment