BERSAMA SAYA

31 January 2011

PERKEMBANGAN DARI MESIR

Telefon bimbit ku berbunyi. ‘ Assalamulaikum, ana shahid ni. Ana ingin maklumkan yang kemungkinan besar ana dan beberapa sahabat yang lain tidak dapat pulang dalam masa terdekat, kerana rusuhan yang berlaku di Bandar Qaherah semakin merunsingkan dan telah pun keluar perintah berkurung’ tidak sempat untuk bertanyakan keadaan disana perbualan terputus. Panggilan dari Shahid Azim mewakili sahabat-sahabat yang lain, beliau juga merupakan Setiausaha agung PERMATA sesi 10/11. Semoga Allah memelihara kalian.
Rusuhan yang berlaku di Mesir  merupakan rentetan rusuhan yang berlaku di Tunisia dan ia merupakan faktor besar didalam tercetusnya rusuhan di Mesir. Di Tunisia rusuhan yang berlaku adalah bertujuan untuk menggulingkan pemerintahan Kuku Besi  Ben Ali  dan juga isterinya Leila Trabelsi yang telah banyak menghabiskan wang Negara. Rusuhan di Tunisia Berjaya menggulingkan pemerintahan kuku besi Ben Ali. Penganalisis Politik dunia telah meramalkan faktor yang sama berlaku ke atas Mesir yang berada di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.
Sistem pemerintahan Mesir dibawah rejim Hosni Mubarak tiada bezanya dengan kerajaan Tunisia sebelum ini. Mereka melakukan penindasan terhadap rakyat, penipuan dalam pilihanraya, rakyat mesir terus tertekan dengan kehidupan di sana.

Kini kesabaran sudah sampai waktunya. Kemarahan rakyat Mesir semakin meluap-luap dan sudah mencapai kemuncak demontrasi untuk tuntutan bagi mengembalikan pemerintahan yang lebih adil kepada mereka. Yang pastinya rakyat Mesir mahukan Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai orang nombor satu didalam Mesir.
Sehingga kini  rusuhan ini dikatakan sebagai menuntut kerajaan  yang lebih baik dan adil berbanding  Presiden Hosni Mubarak dikatakan pemerintahan  kuku Besi yang telah banyak menindas rakyatnya selama 30 tahun lamanya. Al-Jazeera menganggarkan bahawa lebih 40 juta daripada 88 juta rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Kadar pengangguran juga yang tinggi dan juga mengkambing hitamkan pihak berkuasa seperti polis dan askar untuk membataskan pergerakan rakyatnya. Sehingga kini dilaporkan hampir ratusan yang terkorban termasuk anggota keselamatan dan orang awam  dalam rusuhan ini sejak hari pertama revolusi ini dilancarkan.Rusuhan dikatakan semakin hebat apabila Hosni Mubarak tidak mendengar permintaan rakyat. Apa yang dibuatnya hanya perubahan melibatkan beberapa individu sedangkan rakyat bercakap tentang perubahan rejim.

"Rakyat Mesir menyatakan satu suara, mereka mahu Presiden Mesir berundur," kata ElBaradei, 68, yang menyifatkan pelantikan itu sebagai tidak berguna kepada televisyen Al-Jazeera semalam.

Bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menyeru pembentukan sebuah kerajaan peralihan baru supaya satu pilihan raya adil dapat dilaksanakan.

ElBaradei berkata, beliau juga mungkin bertanding pada pilihan raya Presiden sekiranya perubahan Perlembagaan dilakukan.

"Saya hormatkan Suleiman dan Shafiq tetapi menggantikan individu tertentu tidak cukup.

"Saya mahu Mubarak dan rejimnya meninggalkan Mesir secepat mungkin. Itu yang terbaik bagi Mesir dan mereka," katanya.

Reformis Mesir itu menegaskan tindakan kerajaan yang cuba menidakkan kemahuan orang awam hanya akan memburukkan lagi keselamatan negara dan Mubarak perlu dipertanggungjawabkan di atas keadaan itu.

"Presiden perlu dipilih oleh rakyat. Sudah tiba masanya untuk sesuatu rejim berundur sekiranya ia tidak memahami kehendak rakyat. Rakyat mahukan pemerintahan baru, jika tidak Mesir akan tumbang.
Sumber utusan Malaysia

Maklumat terbaru juga Kedutaan di Amman, Riyadh dan Tripoli digesa bantu 11,000 warga Malaysia. Pelajar Malaysia di Mesir juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan situasi ini. Perintah berkurung telah diberi kepada seluruh warga yang berada di Bandar-bandar yang menjadi tumpuan utama rusuhan. Terbaru, laman web twitter dan facebook telah disekat  penggunaannya. Akses untuk memasuki kedua-dua laman web ini terputus. Diramalkan mungkin penggunaan internet dan juga telefon disekat untuk suatu tempoh tertentu. Namun setakat ini penggunaan telefon masih dibuka penggunaannya.

Semoga teman-teman dapat bersama mendoakan agar saudara dan sahabat handai kita yang berada disana dipelihara oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan sama-sama kita doakan agar yang berlaku itu adalah yang terbaik buat negara Mesir.

30 January 2011

MAKLUMAT TERKINI MELALUI BERITA HARIAN

Kedutaan di Amman, Riyadh dan Tripoli digesa bantu 11,000 warga Malaysia


KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia di Mesir akan dibawa keluar sementara ke tiga negara jiran jika keselamatan mereka terancam susulan keadaan yang semakin tegang di negara itu.
Persetujuan sudah dicapai bagi rakyat Malaysia dibawa ke Amman, Jordan; Riyadh, Arab Saudi dan Tripoli, Libya sebagai pelan kecemasan, manakala lokasi berhimpun sebelum pergerakan ditetapkan di bandar Panta, di selatan Kaherah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Katanya, kakitangan kedutaan di tiga negara berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan bersedia membantu pergerakan keluar rakyat Malaysia kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di Mesir dengan sebahagian besarnya pelajar.
“Ini adalah keputusan terkini mesyuarat pelbagai jabatan yang memantau rapi perkembangan di Mesir dan akan dilaksanakan jika senario mencapai tahap kritikal. Kedutaan Malaysia di tiga negara terbabit akan menyelaras isu berkaitan tempat tinggal dan makanan jika keadaan memaksa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Anifah menegaskan, kerajaan tidak mempunyai halangan jika ada rakyat Malaysia yang mahu meninggalkan Mesir secara sukarela dan atas perbelanjaan sendiri berikutan keadaan huru-hara susulan krisis kepemimpinan di negara itu yang bermula Selasa lalu.

“Bagaimanapun, kita harap semua rakyat Malaysia menghubungi pihak kedutaan di Kaherah supaya kita mengetahui bilangan sebenar mereka di sana. Perangkaan tepat akan memudahkan usaha membawa keluar jika perlu," katanya. 
Anifah berkata, perkembangan di Mesir diklasifikasikan pada tahap ‘amaran jingga’ iaitu persediaan membawa keluar rakyat Malaysia dan akan digerakkan sebaik situasi tegang bertukar menjadi ‘amaran merah’ iaitu pemindahan bagi tujuan keselamatan.

Beliau menasihatkan semua pihak bertenang dan menghubungi talian yang disediakan Wisma Putra bagi mengetahui perkembangan ahli keluarga masing-masing dan kerajaan memandang serius tanggungjawab memelihara keselamatan warga Malaysia di luar negara dalam keadaan genting seperti sekarang.

Gelombang kebangkitan menggulingkan Presiden Hosni Mubarak yang mula tercetus pada 25 Januari lalu dilaporkan semakin tegang apabila perintah berkurung dilaksanakan di beberapa bandar utama di Mesir.

Bantahan besar-besaran di Kaherah, Iskandariah, Suez, Dumiyat, Tanta dan Mansoura menyebabkan puluhan menjadi korban manakala ribuan lagi ditangkap dan dilaporkan cedera susulan pertempuran dengan pihak berkuasa.


Sumber:http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TinggalkansementaraMesir/Article


MOHON DOA KESELAMATAN SAHABAT- SAHABAT KITA DI MESIR



Terpampang di dada-dada akhbar berkenaan laporan berita apa yang sedang berlaku di Negara Mesir, keadaan masih lagi panas dek demontrasi jalanan yang berlanjutan sehingga ke hari ini. Berita terbaru yang diperolehi daripada sahabat saya yang berada di Mesir, demontrasi tersebut hampir merebak ke kawasan kediaman pelajar Malaysia dan boleh mengancam keselamatan pelajar bila-bila masa.
Untuk pengetahuan kita semua juga, seramai 15 orang sahabat kita daripada Mu’tah masih lagi berada di sana. Berkemungkinan tidak dapat bertolak balik ke Jordan disebabkan keadaan yang semakin meruncing.  Semoga mereka dapat pulang dengan selamat.
Marilah sama-sama kita berdoa keselamatan sahabat-sahabat kita yang berada di Mesir.  Semoga mereka dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Tidak lupa juga solat hajat  untuk mereka supaya dipermudahkan segala urusan.  Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: " Cukuplah Allah menjadi pelindung kepada kami dan Dia sebaik-baik pelindung" Surah Al Imran Ayat 173

29 January 2011

PENDAHULUAN



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang telah melestarikan seluruh alam ini dengan nikmat Iman dan nikmat Islam yang tidak terhingga. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wa Sallam, kaum keluarga, para sahabat  dan seluruh  pejuang-pejuang Agama Allah yang dikasihi sekalian.

Syukur tidak terhingga kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala yang memberi kekuatan untuk saya mewujudkan blog saya sendiri bertujuan untuk menyampaikan informasi dakwah dalam sudut penulisan. Sesuai dengan perkembangan dunia yang berkembang pesat dari sudut teknologi maklumat. Hampir keseluruhan maklumat boleh didapati dengan bersumberkan internet. Jesteru saya mengambil inisiatif untuk menggunakan medium ini untuk menyebarkan maklumat.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat  yang banyak membantu saya untuk menyiapkan blog ini. Tanpa mereka mungkin saya terkapai-kapai untuk menyiapkannya. Inilah hikmah ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala menyuruh kita berkerjasama dalam melakukan kebaikan. Firman ALLAH yang mafhumnya ; "Bertolong-tolonglah kamu dalam kebaikan dan janganlah kamu menolong dalam perkara mungkar".Surah Al Maidah Ayat 2.

Akhir kalam, saya berharap dan berdoa agar diberikan kekuatan untuk istiqomah dalam meng'update' blog ini.  Semoga perkongsian buah fikiran dan maklumat yang disampaikan ini dapat memberikan input yang terbaik  khususnya kepada mahasiswa Mu’tah dan  umumnya kepada masyarakat luar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...