BERSAMA SAYA

21 July 2012

SEDIKIT SANTAPAN BUAT KALIAN



Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi Tuan Pemilik seluruh perancangan diatas segala penyusunanNya. Hari yang kedua di bulan Ramadhan di dataran Mutah Jordan, jika di Malaysia, hari ini adalah hari pertama menyambut kedatangan Ramadhan.

Dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh barakah dan pengharapan ini, jangan pula kita lupa sahabat dan saudara-saudara seaqidah kita yang sedang diuji, baik dengan peperangan dan ujian-ujian yang lain. Ambillah peluang untuk perbanyakkan doa terutamanya doa ketika hampir berbuka puasa bagi mendoakan kesejahteraan mereka dan kemenangan buat Islam. Namun walaubagaimanapun keadaan kita dan dimanapun kita semoga Allah merahmati kita semua.

Dr. Abdullah Fawwaz merupakan tenaga pengajar di Universiti Mutah Jordan dan beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Dekan Kuliah Syariah

Sedikit ringkasan yang saya ingin konsikan bersama kalian dari pengisian Ramadhan yang dianjurkan oleh persatuan pelajar disini dan disampaikan oleh Dr Abdullah Fawwaz, yang merupakan Ketua Dekan Kuliah Syariah, Universiti Mutah pada kami.

Saya dan teman-teman lain juga sempat bertanyakan beberapa soalan berkaitan Fiqh Mar’ah dan muasarah.

1.       Hukum bagi seorang wanita yang ingin mengambil pil ataupun sebarang jenis ubat bagi melambatkan kitaran haid diatas sebab ingin bersama menyempurnakan ibadah puasa adalah harus.

Namun, yang lebih baiknya (afdhol) adalah tidak mengambilnya, ini kerana adalah fitrah kejadian kaum hawa itu dengan adanya kitaran haid apatah lagi puasa itu dibenarkan untuk diqodhokan pada 11 bulan yang lain.

Begitu juga dengan hukum bagi wanita yang ingin mengambil ubat untuk menunaikan ibadah Umrah dan Haji. Wallahu A’lam.

2.       Kita di Jordan lebih awal sehari berpuasa berbanding Malaysia, persoalan yang timbul apakah hukum bagi kita yang berpuasa awal sehari bermusafir ke Malaysia dalam masa yang sama Malaysia berpuasa sebanyak 30 hari dan sekiranya kita turut berpuasa bermakna kita berpuasa sebanyak 31 hari.

Bilangan didalam bulan Islam hanyalah 29 atau 30 hari sahaja, jika berbalik pada permasalahan yang timbul, kita dibenarkan untuk berbuka dihari yang ke 31 dengan syarat cukup bilangan sebelumnya 30hari dan berbuka puasa itu tidak pula dijaharkan pada umum.

Jika bilangan cukup 30hari dan tidak melebihi 30hari maka wajib diatas kita untuk turut berpuasa hari yang ke 30 itu dan tiada pilihan baginya untuk tidak berpuasa walaupun pada asalnya bulan Islam itu samada 29 atau 30 hari.


Jika berlaku sebaliknya, iaitu yang bermusafir itu adalah dari Malaysia ke Jordan dan mereka berpuasa lewat sehari dari Jordan manakala di Jordan pula berpuasa hanya 29 hari dan hari yang ke 30 adalah raya, maka wajib bagi yg bermusafir itu untuk turut menyambut raya pada 1 syawal dan puasa bagi yang bermusafir dari Malaysia itu masih belum cukup 29 hari maka wajib ia menggantikan sehari lagi selepas 1 syawal, ini kerana haram berpuasa di 1 syawal...Wallahu A’lam.

3.       Hukum membaca Al Quran bagi seorang wanita yang haid sepakat Ulama, adalah haram kecuali pada keadaan-keadaan yang darurat seperti peperiksaan dan sebagainya.

Jemputan majlis khatam Al quran seumpamanya tidak dikira darurat, maka tetap tidak dibolahkan ia dari membaca Al Quran.


Bagi mereka yang menghafal Al Quran juga tidak dibolehkan mengulang hafalannya dengan lafaz sepanjang fatrah kedatangan haid ittifaq 4 mazhab kecuali imam ibnu taimiyah membenarkan mengulang dengan lafaz dan suara, adapun imam 4 mazhab mengharamkan dengan berdalilkan Rasul s.a.w melihat saidatina aisyah mengulang hafalan Al-Quran hanya dengan menggerakkan lidah,tanpa mendengar suara dan lafaz.Wallahu a’lam..

4.       Hukum bagi seorang wanita yang ingin bermusafir (bukan pada jalan maksiat) adalah harus dengan syarat ia selamat dari segalah fitnah.

Walaupun ada hadis yang menegah wanita dari bermusafir, namun jika dilihat pada zaman kita ini (muasarah) lebih selamat dan mudah dikawal keadaannya berbanding dulu yang agak sukar untuk berhubung dan sebagainya. Wallahu A’lam.

5.       Pada hukum asal seorang saksi lelaki menyamai dua orang saksi wanita. Namun, ada beberapa keadaan didahulukan saksi wanita berbanding saksi lelaki.

Antaranya adalah dalam isu menentukan nasab keturunan dan dalam menentukan seseorang wanita itu masih dara atau tidak. Ini adalah kerana didalam penentuan ini yang lebih berhak adalah sesame wanita.

Ini juga dijadikan hujjah bahawa Islam itu bukan hanya mengangkat darjat lelaki bahkan, Islam  juga mengangkat darjat wanita didalam beberapa keadaan. Wallahu A’lam.

6.       Hukum mengundi atau mencalonkan wanita sebagai ahli Parlimen atau sebagainya adalah harus dengan syarat ia tidak memudoratkan dan bukanlah dicalonkan sebagai Ketua sebuah Negara. Wallahu A’lam.


Sedikit perkongsian yang saya dapat konsikan bersama kalian, bagi yang turut sama dalam penyampaian tadi minta betulkan ya jika ada kesilapan dalam memahami penerangan Dr. tadi.

Semoga perkongsian yang sangat ringkas ini, bermanfaat buat kita semua… Wallahu A’lam.




15 July 2012

DATARAN MU'TAH



Dataran Mu'tah, 
Yang dahulunya tenang kian terancam
Saban hari kulihat asap-asap hitam beterbangan di awangan,
Nafsu amarah kabilah-kabilah kian liar mencari lawan,
Batu-batu menjadi senjata dan mulai bertaburan dijalanan,

Dataran Mu'tah
Polis yang dulunya menjaga keamanan,
telah dihalau oleh samsing-samsing jalanan,
Pondok polis yang dulunya tempat memberi aduan,
Telah dibakar oleh samsing-samsing yang tidak punya perasaan.

Dataran Mu'tah
Kesusahan masyarakat disekeliling hampir saja tidak diendahkan,
Semua yanag dihadapan mata menjadi sasaran,
Harta benda dan barangan musnah tiada pula gantian,
Polis kerajaan tidak lagi menjadi hirauan,
Bahkan dijakan sasaran untuk turut dijadikan lawan,

Saat ini,
Rakyat seolah-olah hilang ketemadunan dan kewarasan,
Persoalan yang timbul, dimanakah para kepimpinan sebuah kerajaan agong yang dijulang masyarakat awam,
Usah dibiarkan ia terus berlarutan,
Kerna kedamaian dan ketenangan dambaan setiap insan,
Akan terus hilang dimamah nafsu amarah yang tdak punya nilai kemanusiaan....

Percayalah teman,
Sayangkan keturunan, bangsa dan negara adalah suatu tuntutan,
Namun jika terlalu memperjuangkannya tanpa meletakkan ISLAM dihadapan sebagai asas utama, maka tunggulah sangat kebinasaan.

Terima kasih teman..^_^

6 July 2012

AKHLAK SEORANG MUFTI


Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu pengetahuan yang mendalam dan wawasan yang luas adalah merupakan keperluan asasi bagi seorang mufti. Tetapi ilmu pengetahuan juga harus disertai dengan amal perbuatan, dan amal perbuatan juga mesti dilakukan dengan khusyuk dan ikhlas kepada Allah Taala. Kerana ilmu yang tidak diamalkan dan tidak akan menimbulkan khasyiah (takut kepada Allah) adalah ilmu yang tidak bermanfaat dalam pandangan Allah. Firman Allah bermaksud :



"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." - Surah Faathir:28

Sesungguhnya musibah yang menimpa kehidupan manusia adalah kerana disebabkan oleh kerosakan akal fikiran, tetapi musibah yang disebabkan oleh kerosakan hati manusia adalah lebih besar. Dan krisis yang melanda ummah bukanlah kerana krisis ilmu pengetahuan, tetapi pada hakikatnya adalah kerana krisis moral atau akhlak. Kerosakan dan kehancuran sendi-sendi agama-agama samawi yang datang sebelum Islam bukanlah disebabkan oleh para penganut yang bodoh dan jahil, tetapi adalah disebabkan oleh mereka yang berilmu pengetahuan, bahkan bertaraf ulama yang menjual ayat-ayat Allah untuk kepentingan kebendaan dan harta duniawi semata-mata.

Jika demikian, tidak hairanlah kita bila al Quranul Karim dengan tegas membidas orang-orang yang mengkhianati amanah ilmu pengetahuan, dengan cara memperjual-belikan ayat-ayat Allah dengan harta benda dunia yang fana, memperselindungkan kebatilan dengan selimut agama dan menyembunyikan hak serta kebenaran padahal mereka mengetahuinya disebabkan rosak dan condongnya hati mereka terhadap hawa nafsu.

Firman Allah Taala :



"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu), Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu." - Surah al Imran:187

Dalam ayat yang lain Allah Taala berfirman :



"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah diturunkan Allah Taala daripada al Kitab, kemudian mereka menjualnya dengan harga yang sedikit, sesungguhnya hasil yang mereka makan itu adalah api neraka. Allah Taala tidak akan bercakap kepada mereka di hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka. Mereka akan mendapat azab yang sangat pedih. Merekalah orang-orang yang telah menukar petunjuk (hidayah) dengan kesesatan, dan menukar keampunan dengan azab, alangkah beraninya mereka menerima azab neraka yang bersangatan dahsyatnya." - Surah al Baqarah:174

Di dalam al Quran kita dapati juga dua misalan yang paling buruk tentang orang-orang yang berilmu pengetahuan tetapi tidak mengamalkannya : Seperti seseorang yang telah diberi ilmu pengetahuan, malah kemudian melemparkan ilmu tersebut untuk mendapat sedikit kenikmatan dunia, perumpamaan mereka, "Laksana seekor anjing jika engkau bagi (sesuatu) ke atasnya ia akan menjulurkan lidah, dan bila engkau tinggalkannya ia (tetap) menjulurkan lidah juga". 

Begitulah perumpamaan Bani Israel yang telah diamanahkan Kitab Taurat, tetapi mereka mensia-siakan dan mencampakkannya, tidak diamalkan petunjuk-petunjuk dan ajaran-ajarannya. Al Quran juga mengumpamakan mereka :




"(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim." - Surah al Jumu’ah:5

Dari petunjuk ayat-ayat ini, maka para ulama muslimin telah memberi perhatian yang sangat serius tentang akhlak seorang mufti. Seorang mufti tidak cukup hanya memiliki ilmu pengetahuan yang mendalam dan wawasan hidup yang luas, tetapi juga ia dituntut untuk mempunyai akhlak yang mulia, bertaqwa, ikhlas dan budi pekerti yang luhur.

Saidina Ali Ibn Abi Talib R.A pernah ditanya, "Sudikah beritahukan tentang ciri orang yang paling faqih". 

Lalu beliau menjawab, "Mereka ialah orang yang tidak pernah menyebabkan manusia berputus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah, dan tidak pernah sedikitpun membenarkan manusia untuk bermaksiat kepada Allah. Ketahuilah, tidak ada kebaikan pada ilmu pengetahuan tanpa didasari oleh pemahaman (yang benar), dan tidak ada kebaikan pada kefahaman sahaja tanpa didasari dengan warak (sikap memelihara diri dari dosa), dan tidak ada kebaikan bagi orang yang membaca tanpa pemahaman (yang benar)."

Imam Malik R.A berkata, "Seseorang tidak akan menjadi alim yang sejati sehingga ia melazimkan dirinya untuk mengamalkan apa yang diketahuinya, sebelum ia memerintahkan orang lain untuk mengamalkannya atau memberikan fatwa (tentang sesuatu) pada mereka, sehingga jika hal tersebut tidak disampaikan kepada mereka ia tidak akan menanggung dosa (kerana dia sudah mengamalkannya terlebih dahulu)."

Kemudian, bagaimana dengan orang yang melarang manusia dari melakukan satu perbuatan haram, sedangkan dia sendiri melakukannya, atau memfatwakan kepada orang untuk melakukan suatu perkara sedang dia sendiri meninggalkannya. Dalam konteks ini, Allah Taala menyelar Bani Israel dengan Firman-Nya :



"Adakah kamu sekalian memerintahkan manusia untuk berbuat kebaikan, tetapi kamu melupakan diri kamu sendiri (dengan tidak melakukan kebaikan), walhal kamu membaca al Kitab, apakah kamu tidak memiliki akal fikiran." - Surah al Baqarah:44

Di antara sikap yang menunjukkan ketaqwaan dan amanah seorang mufti adalah menasihatkan si penanya untuk pergi kepada orang yang lebih arif dari dirinya mengenai satu-satu kemusykilan, tanpa adanya rasa tidak selesa di dalam hati. Suatu masa Ummul Mukminin Aisyah pernah ditanya orang tentang hukum menyapu air di atas kedua khuf (kasut dari kulit), kemudian beliau berkata kepada si penanya, "Pergilah kepada Saidina Ali dan bertanyalah kepadanya, kerana dia lebih mengetahui tentang perkara ini daripada saya, sebab dia pernah bermusafir (berpergian jauh) bersama Rasulullah S.A.W."

Demikian juga, mufti yang amanah dan bertaqwa selalu menghubungi orang-orang yang berilmu pengetahuan dan menjemput mereka untuk bermesyuarat, untuk menambahkan keyakinan dan ketenangan jiwanya tentang satu-satu perkara, seperti yang sering dilakukan oleh Saidina Umar R.A dimana beliau sentiasa menjemput para ulama di kalangan Sahabat Nabi S.A.W untuk diajak bermesyuarat, bahkan terkadang beliau memohon pendapat dari orang yang paling muda diantara mereka seperti Abdullah Ibnu Abbas R.A, seperti katanya, "Apa pendapatmu (Wahai Abdullah), dan jangan merasa segan meskipun umurmu masih muda."

Juga, di antara keluhuran dan kemuliaan akhlak seorang mufti adalah sedia menerima dan memperbetulkan kesalahan dan kesilapannya yang telah lalu. Ini kerana kesediaan untuk memperbetulkan kesilapan dan kesalahan adalah lebih baik daripada berada berterusan dalam kesalahan. Dia tidak berdosa atas kesilapannya itu, kerana sudah dilakukan mengikut kaedah-kaedah ijtihad, bahkan dia mendapat pahala dari jerih payah ijtihadnya. Dia hanya akan berdosa jika kesalahan fatwanya itu sudah diketahui sejak mula, namun dia tetap bertahan kerana sombong, bongkak dan tidak mahu menerima pandangan orang lain, atau kerana malu akan sindiran manusia, padahal Allah Taala tidak pernah malu atas perkara yang hak.

Para ulama salaf, jika mereka berfatwa, kemudian baru diketahui bahawa fatwanya itu salah, maka mereka akan memaklumkan kesalahan itu kepada khalayak ramai (orang awam) sambil berkata, "Fatwa saya pada hari ini adalah salah", dan mereka tidak peduli dengan apa yang bakal diperkatakan oleh orang ramai.

Di antara akhlak mufti adalah berfatwa dengan apa yang diketahuinya dan berpegang teguh atas fatwanya itu, meskipun boleh menyebabkan kemarahan siapa sahaja, termasuk para penguasa dan pemimpin kerajaan. Kerana apa yang dicarinya hanyalah keredhaan Allah Taala, bukan manusia yang akan kembali menjadi tanah ditelan bumi.

Para imam dan ulama besar terdahulu selalu memfatwakan perkara-perkara yang mengikut ijtihad mereka adalah hak dan kebenaran, meskipun ia bercanggah dengan pendapat dan keinginan penguasa dan pemimpin kerajaan. Mereka berpegang teguh dengan fatwa-fatwa tersebut meskipun harus berdepan dengan ancaman penguasa yang berupa seksaan, penjara atau buang negeri. Tetapi mereka tetap teguh dan bersabar dalam memperjuangkan hak dan kebenaran sesuai dengan agama Allah Taala. Imam Ibn Taymiyyah, misalnya, telah diseksa dan dipenjara berkali-kali selama hidupnya kerana fatwa-fatwanya yang bercanggah dengan kehendak dan keinginan penguasa pada zamannya, sehingga beliau meninggal dunia di dalam penjara. Meskipun ancaman dan seksaan datang silih berganti, tetapi ulama seperti Imam Ibn Taymiyyah tidak pernah menyerah dalam memperjuangkan agama Allah dan tidak mahu menarik kembali fatwa-fatwanya itu, sehingga beliau pernah berkata, "Penjara bagiku adalah khalwat (beribadah kepada Allah), dibuang negeri bagiku adalah hijrah, dibunuh bagiku adalah mati syahid".

Sebelum memulakan kerja-kerja fatwa seorang mufti hendaklah mendekatkan diri kepada Allah Taala, memohon dan meminta petunjuk dan pertolongan dariNya agar mendapat pandangan yang hak dan benar, memohon dijauhkan dari silap dan kesalahan serta ketergelinciran baik ia disampaikan melalui pena mahupun lisan, meminta dipelihara dari dorongan hawa nafsu dan bisik rayu iblis. Baik juga jika dia memulakan perbicaraannya dengan membaca doa yang disebut oleh para Malaikat ketika Allah mempersembahkan kepada mereka makhluk yang bernama Adam.



"Mereka (para Malaikat berkata); Maha Suci Engkau (Ya Allah). Tidak ada apa-apa ilmu pada kami, kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana." - Surah al Baqarah:32

Para ulama salaf telah menyusun beberapa kitab yang menjelaskan syarat-syarat, kewajipan-kewajipan dan adab serta ketertiban yang mesti dimiliki oleh seorang mufti. Di antara kitab-kitab tersebut ialah :
  • "Sifat al Fatwa wa al Mufti wa al Mustafti", karangan Allamah Sheikh Ibn Hamdan al Hanbali.
  • "Al Ahkam fi Tamyiz al Fatawa wa al Ahkam", karangan Imam al Qarafi al Maliki.
  • "Al Faqih wa al Mutafaqqih", karangan Imam Hafiz Abu Bakr al Khatib al Baghdadi.
  • "I'lamul Muwaqqa'in ila Rabb al 'Alamin", karangan Ibn Qayyim al Jawziyah. Dan kitab ini merupakan salah satu kitab yang paling lengkap dan terkenal di seluruh dunia intelektual Islam dalam perkara ini.
Sudah sewajarnya, seseorang yang menampilkan diri untuk berfatwa memiliki dan memahami kitab-kitab tersebut, terutama sekali kitab yang keempat, supaya ia memiliki bekalan yang cukup dan pengetahuan yang luas agar dapat berjalan dengan sempurna dibawah pimpinan cahaya hidayah Allah Taala.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...