BERSAMA SAYA

27 March 2011

ISU KEAIBAN PERIBADI DIJADIKAN MAINAN

VIDEO LUCAH DAN DOSA POLITIK
Dalam budaya manusia tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh. Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.
Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.
Samada PAS, UMNO dan PKR; ramai individu dalam parti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.
Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi s.a.w
“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim).

 Aib Peribadi
Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian.
Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama.
Firman Allah(maksudnya):
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).
Nabi s.a.w sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:
“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.
Bukan Bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”
Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):”Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat.
Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.
Firman Allah: (maksudnya)
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhanjaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan HisbahHisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf(menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.
Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan).
Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…
Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu. Mereka ini ada dalam UMNO, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 12).
Bangkit Generasi Baru!
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan ‘penonton bodoh’ yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakunkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

25 March 2011

TERUS KE ARAH MENCAPAI MISI DAN VISI





Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana masih mengurniakan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhamad SAW, para Sahabat, Tabi’in, Auliya’ dan para Syuhada’.

Firman Allah S.W.T

يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجات والله بما تعملون خبير

“Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan yang menimba ilmu pengetahuan”
(58:11  Al-Mujaadilah)

                Kita sedang menempuh dunia teknologi maklumat di mana arus perkembangan ilmu pengetahuan semakin berkembang pesat. Manusia berlumba-lumba untuk menimba sebanyak mungkin ilmu supaya dapat berjalan pantas seiring dengan ledakan dunia informasi. Lagi pula kemajuan sesebuah negara bergantung penuh kepada ramainya cendekiawan yang berada di dalamnya kerana hanya dengan kemahiran dan daya pemikiran yang tinggi sahaja akan dapat menghasilkan pembangunan dalam segala aspek kehidupan.

                Untuk mencapai matlamat tersebut, program Karnival Ilmu Mu’tah (KARIM)  justeru dirangka bagi menawarkan peluang yang berharga kepada para mahasiswa untuk mempertingkatkan kemahiran berfikir sejajar dengan kriteria sebagai seorang cendekiawan Islam. Dalam intipatinya, program ini cuba menjana generasi mahasiswa yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, yang menjadi sebahagian daripada penyelesai bukannya sebahagian daripada masalah.

pelancaran KARIM dengan pembukaan Ma'rod Kutub dan wacana Mahasiswa

antara aktiviti KARIM

pembukaan kuliah Tafsir oleh Dr Tolib

anta agenda yang utama sempena KARIM

pelbagai aktiviti yang disediakan sepanjang hari penutup KARIM

OBJEKTIF

1. Meningkatkan kemahiran berfikir dan kemahiran kepemimpinan di kalangan mahasiswa.
2. Membincangkan realiti yang melibatkan persatuan dan kerjaya mahasiswa Islam masa kini.
3. Memupuk kesedaran untuk mengembalikan kegemilangan tamadun Islam.
4. Menambah ilmu pengetahuan.

Semoga dengan wujudnya program seumpama ini dapat memberikan kesedaran dan dapat membentuk jiwa mahasiswa itu sendiri yang berketepatan dengan dasar, bukan sahaja ingin membentuk mahasiswa yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi bahkan mahasiswa yang peka dan mampu menyelesaikan masalah ummah tuntutan masakini.

Syabas dan jutaan ribuan terima kasih yang tidak terhingga buat Rasyidi Ali,Muhammad Syaukani Bin Ahmad Adnan, Nor ‘Aisyah bt Mohamed Rais dan seluruh yang terlibat didalam mencapai misi dan visi PERMATA sekaligus menjayakan program KARIM kali ini. Semoga Allah merahmati kalian.

17 March 2011

KENYATAAN DAN SIMPATI.

terus bersabar dan berjuang akh adam!


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam perjuangan dalam menuntut ilmu.

Dengan rasa penuh terkilan, saya mengucapkan syafakallahu lak, kepada Akhi Adam Bin Azis, Pelajar Universiti Mu'tah Tahun 1 yang dicederakan oleh kanak-kanak nakal di Mu'tah ini. Saya tertarik dengan katanya yang berbunyi 'inilah ujian dalam menuntut ilmu di tanah arab'. Mudah-mudahan akhi terus bersabar.

Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya mengharapkan teman-teman  ahli PERMATA agar sentiasa menjaga diri dengan baik, ini adalah antara salah satu perkara yang dianggap kecil tetapi besar kemungkinan akan memberi kesan lainnya pula, tidak dinafikan memang ia yang sering berlaku di bumi tempat kita belajar ini. Dan banyak kes yang sebelum ini terjadi, maka dengan itu beberapa perkara cuba saya tekankan semula.

Memetik kata pepatah 'sediakan payung sebelum hujan' samalah dengan apa yang sering saya ingatkan dalam kenyataan Biro Kebajikan dan Tempatan PERMATA(Layari ini), betapa pentingnya keselamatan kita di luar negara ini. Kecilnya masalah yang kita pandang tidak menjanjikan kecilnya juga mafsadah yang dibawa. Ingatlah Nyamuk yang kecil sentiasa dipandang enteng berbanding harimau yang kita selalu geruni. Namun, nyamuk terbukti berjaya memangsakan jutaan penduduk dunia dengan denggi yang boleh membawa maut, berbanding harimau yang besar lagi garang.

Sebagai inzar atau peringatan kita bersama, sekali lagi saya mengharapkan teman-teman sering cakna apa-apa jua permasalahan yang berlaku terhadap kita semua selaku pelajar penuntut ilmu di Luar Negara ini. Keselamatan menjadi tanggungjawab kita semua, sebagai contoh utama peranan Murokib itu sudah menjadi satu jalan kemaslahatan supaya akhwat kita sering dilindungi, dan murokib itu satu Ibadah. Usah jemu mencari ibadah.

Sekiranya selepas ini, segeralah laporkan jika ada permasalahan yang terjadi pada saya atau teman-teman AMT dan ALT PERMATA yang lainnya, Mudah-mudahan Allah memberkati segala usaha kita dalam menuntut ilmu, seteruskan menjadikan kita kuat dan mampu menjadi pelajar luar negara yang terbaik penuh keizzahannya. 


Muhammad Hussin Mohd Fauzi-Medan Syuhada' Mu'tah.

14 March 2011

Terkini, Mengharapkan Yang Terbaik.

Malaysia, 9,575 rogol bawah umur dalam 5 tahun


kanak-kanak dibawah umur yang tidak berdosa menjadi habuan si nafsu binatang-gambar hiasan
Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur. 

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004," katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Fong ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan," katanya.

--Bernama



Kartun tsunami Berita Minggu cetus bantahan





















Akhbar Berita Minggu hari ini mencetuskan kontroversi apabila ia menyiarkan sebuah kartun mengenai kejadian tsunami di Jepun yang meragut nyawa ribuan rakyatnya.

Kartun lukisan Zoy yang disiarkan di muka dalam Berita Minggu - edisi 
hari Ahad Berita Harian - memaparkan superhero popular Jepun - Ultraman - lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan rasa kesal dan kemarahan mereka - melalui lamanweb sosial dan Twitter - terhadap Berita Minggu, malah ada yang menggesa supaya memboikot akhbar tersebut.

Satu laman petisyen online turut diwujudkan untuk membantah kartun tersebut, dan dalam beberapa jam sahaja, telah mengumpul 571 tandatangan.

Beberapa ahli politik dari kedua belah pihak turut mengecam kartun 
yang menurut mereka sebagai tidak sensitif.

Jepun, Korban mungkin lebih 10,000


Gelombang tsunami menghempas sebatang jalan di bandar Miyako, di timur laut Jepun selepas satu gempa berukuran 8.9 pada skala Richter menggegar Jepun, Jumaat lalu

TOKYO 13 Mac – Polis di Miyagi menjangkakan angka kematian di wilayah itu sahaja mungkin melebihi 10,000 orang, apabila bandar di timur laut Jepun itu musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda kelmarin.


Jangkaan itu juga dibuat berdasarkan penemuan lebih 600 mayat di sepanjang kawasan pantai Miyagi dan Iwate, lapor agensi berita Kyodo.
Jurucakap polis, Go Sugawara berkata, ketua polis wilayah itu memaklumkan pegawai bantuan kecemasan bahawa mangsa terbunuh dijangka melebihi 10,000 orang.


Ini berikutan kira-kira 10,000 penduduk di bandar Minamisanriku, Miyagi telah terputus hubungan.
Setakat ini, pihak berkuasa Jepun meletakkan angka kematian tsunami dan gempa bumi pada lebih 1,400 orang, tetapi jumlah itu dijangka meningkat.
Seorang pegawai perbandaran di bandar Futaba, wilayah Fukushima berkata, kira-kira 90 peratus rumah di tiga kawasan perumahan musnah selepas dilanda tsunami.


Agensi NHK melaporkan, kira-kira 390,000 penduduk telah meninggalkan rumah mereka dengan kebanyakannya mendapatkan perlindungan di lebih 1,400 tempat pemindahan sementara di sekolah-sekolah dan pusat komuniti.
Perdana Menteri, Naoto Kan hari ini menyatakan, Jepun sedang berhadapan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua apabila bilangan korban akibat bencana tersebut terus meningkat.


Beliau hari ini turut menggandakan jumlah askar yang dihantar ke kawasan terbabit kepada 100,000 orang ketika pekerja penyelamat sukar tiba ke kawasan terjejas ekoran keadaan jalan yang terputus hubungan. – Reuters/Dpa

Yaman, Lima maut pertempuran di Yemen


Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan semasa bantahan menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh selepas pertempuran berlaku di Sanaa, Yemen, 

SANAA 13 Mac - Seorang penunjuk perasaan maut hari ini akibat cedera ditembak dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di bandar Aden.


Terdahulu, empat orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera di beberapa bandar di negara ini semalam dalam pertempuran yang berlaku sejak bantahan bermula di negara ini pada Januari lalu.


Seorang lelaki ditembak mati di bandar Aden, dua orang lagi dibunuh di Sanaa dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun pula maut di Mukalla.
Pertempuran turut dilaporkan di dua lagi bandar ketika protes terhadap pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh bertukar menjadi ganas.
Di ibu negara, beratus-ratus polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah khemah penunjuk perasaan pada awal pagi bagi membendung demonstrasi bantahan daripada semakin meluas.


Penunjuk perasaan bertindak melempar batu dan melepaskan tembakan. Mereka yang cedera dibawa ke sebuah masjid yang dijadikan pusat perubatan sementara.


Doktor berkata, seorang kanak-kanak lelaki ditembak mati. Seorang lelaki turut ditembak mati ketika dia melihat satu pertempuran dari tingkap pejabatnya.
Kementerian Dalam Negeri menuduh penunjuk perasaan melepaskan tembakan selain mengatakan sebanyak 161 anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.


Berpuluh-puluh penunjuk perasaan menjadi lemas apabila gas pemedih mata itu dilepaskan ke arah mereka dan kebanyakannya pengsan.
“Gas yang digunakan oleh polis itu ganjil. Ia menyebabkan kekejangan dan mengganggu sistem saraf,’’ kata seorang doktor yang membantu mereka yang cedera, Bashir al-Kahli.


Kementerian Dalam Negeri menafikan polis menggunakan sebarang gas saraf. – Reuters

Sudan, 34 maut pertemputan tentera, militia di Sudan


Seorang penunjuk perasaan memberanikan diri melempar batu ke arah polis yang mengawal


JUBA, Sudan 13 Mac - Sekurang-kurangnya 34 terbunuh apabila tentera awam militia yang menentang kerajaan selatan Sudan melancarkan satu serangan di sebuah bandar, lapor tentera dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Pertempuran antara Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA) dengan militia yang diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai Kapten Olonyi itu bermula awal pagi semalam di luar ibu negara yang kaya dengan minyak, Upper Nile.
Jurucakap PBB, Hua Jiang berkata, tentera selatan Sudan berjaya menangkis serangan di Malakal dan sekurang-kurangnya 30 orang pemberontak dan empat orang askar kerajaan terbunuh. - AP

8 March 2011

Terus Dengan Objektif Berkebajikan Mutah Charity Dinner 1432H

Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah Jordan (PERMATA) merupakan sebuah persatuan yang menjalankan khidmat kebajikan kepada hampir 400 pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan dan merupakan sebuah persatuan yang berada di bawah naungan Education Malaysia Jordan (EMJ). Menyedari akan hakikat tanggungjawab untuk menjaga kebajikan semua ahli PERMATA, maka  Mutah Charity Dinner telah dianjurkan semata-mata untuk mengumpul dana bagi biro Kebajikan dan Penempatan (BKP) yang merupakan salah satu biro di bawah seliaan PERMATA dan berperanan penting untuk menjaga kebajikan semua mahasiswa yang berada di Mu’tahJordanProgram ini merupakan satu-satunya program yang didasari oleh PERMATA dan perlaksanaannya adalah bertepatan dengan hasrat dan misi PERMATA itu sendiri.

OBJEKTIF

1.      Mengumpul dana bagi melicinkan pergerakan Biro Penempatan dan Kebajikan PERMATA
2.      Mendedahkan kepada mahasiswa/wi Mu’tah peri pentingnya kebajikan dan ramai orang yang perlu dibantu
3.      Merapatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan mahasiswa Malaysia Mu’tah

Sekali tengok tentu tertanya-tanya logo apa ni. Logo rasmi program 
Mutah Charity Dinner 1432H

Menu utama buat peserta

Iklan yang menarik

Antara acara menarik dan menu utama yang dimasukkan didalam iklan

Ayuh.! teman-teman kita sama-sama menjayakan program ini sambil menghulurkan sedikit sumbangan buat teman yang memerlukan.Semoga dengan adanya program-program seumpama ini juga dapat membentuk dan melatih diri kita menjadi sebagai seorang mukmin sejati yang sentiasa berkongsi dan menginfaqkan sedikit ni'mat dari ni'mat-ni'matNYA yang bayak.

Saya mewakili kepimpinan PERMATA mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga buat Ustaz Syafiq, Ustazah Syarifah,Ustaz Syahir,Ustazah Masturina, AJK perlaksana program ini dan seluruh ahli yang sentiasa memberikan sokongan kepada PERMATA.Semoga keberkatan dan keredhoan Allah mengiringi setiap perancangan kalian.

2 March 2011

Takziah & Semoga Diberikan Ganjaran Serta Ketabahan Seperti Tabahnya Para Syuhada Mutah



Assalamualaikum buat semua warga Mu’tah .
Sekali lagi kita dikhabarkan dengan berita mengenai kematian, tetapi kali ini melibatkan tiga orang bapa dalam masa seminggu ini.Dengan ini dimaklumkan bahawa ayahanda kepada Saudara Muhammad Adil  Bin Kamil yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 Feb  2011, Ayahnda Saudari Siti Fatimah Binti Abdul  Khalil pada 1 Mac 2011 manakala Ayahnda Saudari Ummi Kalthum Binti Ismail  pada 2 Mac 2011  Sehubungan dengan itu, pihak PERMATA merakamkan ucapan takziah dan semoga Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan dihimpunkan bersama golongan orang-orang yang soleh. Semoga Allah memberikan ganjaran dan kekuatan buat kalian sepertimana kuatnya para syuhada Mutah..

Oleh yang demikian,saya ingin mengambil kesempatan mengajak ahli PERMATA untuk   bermuhasabah diri dalam  mengingati hakikat kehidupan. Sebagaimana baginda Nabi Muhammad s.a.w. telah berwasiat kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir ataupun sebagai pengembara.” (Matan Ar-Baien,Imam nawawi)

Tambahan pula, Ibnu Umar pernah berkata: “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati”.(Matan Ar-Baien,Imam nawawi)

Maka, wasiat tersebut mengingatkan kita bahawa hakikat musafir  di dunia ini pasti ada penghujungnya  Justeru,  apakah persiapan  yang telah kita lakukan untuk bertemu Allah S.W.T pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Nabi bersabda kepada utusan anak perempuan baginda yang menyampaikan berita kematian cucu baginda, lalu baginda bersabda  : Pulanglah kepadanya dan khabarkan  sesungguhnya Allah berhak mengambil dan memberi kepunyaanNya, setiap perkara sudah ada ajalnya disisi Allah, maka suruhlah dia bersabar dan mengharap ganjaran kepada  Allah.(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saya sekali lagi  mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PERMATA, ingin merakamkan jutaaan takziah dan berharap agar kalian dan seluruh ahli keluarga dapat bersabar atas  ketentuan Allah S.W.T ini. Semoga Allah S.W.T melimpahi rahmat ke atas roh ayahanda beliau dan mudah-mudahan ayahanda beliau ditempatkan bersama roh para solihin dengan izin Allah S.W.T,  InshaAllah. Al-Fatihah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...