BERSAMA SAYA

27 May 2012

USTAZ ANHAR OPIR : REJAB YANG SEPATUTNYA


1. Hampir dua minggu menumpukan pengajian di akhir semester kedua tahun ini dengan ‘test’ yang tidak putus-putus bagi setiap mata pelajaran. Dan kita bertemu lagi dengan bulan Rejab tahun ini yang menandakan bahawa tidak lama lagi Ramadhan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam akan muncul.


2. Masih berulang persoalan setiap tahun tentang amalan dalam bulan Rejab di antara keaslian dan tokok tambah. Sebab itu kita dibanjiri dengan peringatan untuk melakukan ibadah itu dan ini sempena bulan ini, hatta penggunaan beberapa dalil yang disandarkan kepada nabi SAW tanpa sebarang usul periksa keaslian dan kesahehannya. SMS, e-mail, FB dan lain-lain medium digunakan untuk mengingatkan rakan agar melakukan pelbagai amalan dengan fadhilat yang juga pelbagai.

3. Kita sekarang bukan berada dalam zaman yang begitu sukar untuk memastikan kaslian sesuatu riwayat hadith nabi SAW atau ketepatan sumber pendapat para ulama’ mu’tabar. Ktab-kitab yang berkaitan yang boleh diyakini boleh dirujuk dengan mudah. Paling tidak pun kita boleh bertanya kepada ilmuan dalam bidang masing-masing. Sepatutnya kita lebih berhati-hati memetik kata-kata seseorang sebelum disebarkan kepada khalayak.

4. Ini kerana perkara yang berkaitan dengan amal ibadah perlu dipastikan dahulu dalilnya sebelum diamalkan. Kerana syarat sesuatu amalan itu diterima oleh Allah SWT selain daripada ikhlas ialah ia mesti bertepatan dengan syari’at. Sebarang amalan seperti puasa dan solat walaupun dalam kategori ibadat tetapi ia perlu dilakukan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syara’. 

5. Bulan rejab memang telah dipilih oleh Allah SWT sebagai salah satu daripada empat Bulan Haram yang disebut oleh Allah SWT menerusi firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 36 bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) di dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang haram (dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu di dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

6. Nabi SAW menjelaskan nama bagi empat bulan yang disebut dalam firman Allah SWT dalam ayat di atas, sabda nabi SAW ketika Haji Wada’ sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Bakrah RA bermaksud:
Sesungguhnya masa itu berjalan sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun mempunyai dua belas bulan, daripadanya empat yang haram, tiga berturut-turut iaitu Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram, manakala Rejab terletak di antara Jumada dan Sya’ban. (Riwayat al-Bukhari)

7. Salah satu daripada sebab dinamakan empat bulan ini sebagai Bulan-bulan Haram kerana diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini. Ini sebagaimana isyarat yang jelas menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 217 bermaksud:
Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan haram. Katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalang (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid al-Haram, serta mengusir penduduknya dari situ  adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

8. Namun bukan pula bermakna kita mengkhususkan amalan tertentu untuk bulan Rejab ini. Kerana selain daripada ia termasuk bulan-bulan Haram, tidak ada hadith saheh yang menyebut secara khusus akan fadhilat bulan Rejab melainkan satu hadith yang berstatus hasan sebagaimana diriwayatkan:
Bahawa nabi SAW lebih banyak berpuasa pada bulan Sya’ban, apabila ditanya tentang perkara tersebut, nabi SAW menjawab: Sesungguhnya ia adalah bulan yang ramai manusia leka daripadanya di antara Rejab dan Ramadhan. (Riwayat Tirmizi)

9. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa daripada hadith ini dapat difahami bahawa bulan Rejab mempunyai kelebihan, iaitu kedudukannya sebelum bulan Sya’ban yang merupakan sebelum bulan Ramadhan. Adapun menyandarkan kata-kata ‘Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku’ sebagai hadith nabi SAW, maka ia tidak benar bahkan palsu. Al-Syaukani (1250H) menegaskan:
Ia adalah hadith palsu, dalam sanadnya Abu Bakar bin al-Hasan al-Naqqash dan dia muttaham (dituduh), serta al-Kasaa’ie iaitu majhul (tidak diketahui) . (al-Maqdisi, al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, Dar al-Waraq, 1998M, jld 1, hlmn 100)

10. Banyak lagi yang disandarkan kepada nabi SAW tetapi tidak tepat dan kurang teliti. Antaranya juga ialah dakwaan yang mengatakan sebagai hadith nabi SAW iaitu‘Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan yang agung, barangsiapa yang berpuasa sehari daripadanya akan ditulis seperti berpuasa seribu tahun’. Imam al-Sayuti (911H) menyatakan:
Tidak benar kerana Harun bin ‘Antaroh meriwayatkan daripada orang-orang yang munkar. (al-Sayuti, al-La’ali’ al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1996M, jld 2, hlmn 98)  

11. Adapun berpuasa sunat Isnin dan Khamis serta tiga hari pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam bulan Rejab ia amalan yang disyari’atkan bukan sebab bulan Rejab. Tetapi kerana terdapat dalil umum yang menyebut tentang amalan ini pada setiap bulan tidak khusus dengan bulan tertentu sahaja. Begitu juga dengan sedekah, membaca al-Qur’an berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan sebagainya.

12. Persoalannya ialah apabila mengkhususkan satu-satu amalan untuk bulan Rejab sahaja yang tiada dalil padanya. Ia seperti berpuasa penuh sebulan Rejab, jika dilakukan bermakna kita telah mengkhususkannya. Begitu juga solat pada Khamis pertama bulan Rejab yang dikenal sebagai solat al-Raghaib, maka ia termasuk mengkhususkannya. Maka sebarang amalan yang dikhususkan pada bulan Rejab perlu dipastikan dahulu sandaran dalilnya, jika tiada maka sebenarnya ia tidak disyari’atkan.

13. Kesimpulannya, Rejab merupakan salah satu daripada empat Bulan Haram yang mempunyai fadhilat kedudukan yang hampir dengan Sya’ban dan Ramadhan. Ia sepatutnya sama dengan bulan-bulan lain tanpa sebarang pengkhususan ibadah tertentu tanpa sebarang dalil. 


Anhar Opir
6 Rejab 1433H
Sweileh, Amman

22 May 2012

BUATMU PEJUANG UMMAH


Syabab itu, syabab jundullah,
Syabab itu, syabab gagah,
Syabab itu tidak takut rebah
Syabab itu tidak takut kalah,

Syabab ini, 
Kalau cita dan cintanya jundi,Minda pasti berisi,
Langkah pasti bervisi, mara pasti berani, undur pasti berstrategi,
Kerna, tiada takut pada jundi, tiada kalah pada jundi.

Syabab ini, 
kalau cita dan cintanya untuk Allah,
Sendanya pasti ukhwah,
Bicaranya pasti dakwah,
Tawanya pasti tarbiyah,

Mindanya bebas belenggu logika,
Lisannya bersih dosa auta,
Dadanya melaut lumat ilmu dan fakta,
Jiwanya terpatri kukuh aqidah,
Jasadnya tepu duka, ampuh cela.

Kita, malulah kita,
Malulah, andai berjirankan Jaafar, masih lagi segan bergelar kudung,
Malulah, andai bertemankan Ibnu Rawahah, masih leka mengecup putung,
Malulah, andai sedang di samping Zaid Harithah, masinh tunggul dan dungu ditampar nafsu sarakah,

Kita, syabab hari ini... 
Pemuda Dasawarsa Milenia,
Beratapkan tarbiyah, berlantaikan ukhwah, bersarungkan syariah,
Kita melangkah megah ke medan dakwah,
Hidup mati hanya kerana ALLAH,andai ditakdir rebah,
SYAHID lah menjadi penyudah.




11 May 2012

FATWA SEMPIT YANG MEMUNDURKAN

Minggu lepas saya tidak menulis. Saya agak sibuk melayan rombongan Ahli Majlis Fatwa Perlis yang melawat UK dan Sepanyol. Rombongan disertai SS mufti negeri dan beberapa ahli fatwa yang lain. DYTM Raja Muda Perlis sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) mengetuai delegasi.

Sebagai bekas mufti Perlis dan masih menjadi ahli MAIPs. Saya yang berada di UK ini mengambil peranan bersama rombongan di sini dan Sepanyol. Seperti biasa, Raja Muda Perlis akan mengenakan jadual yang agak ketat kepada ahli-ahli rombongan beliau. Lawatan, perjumpaan dan perbincangan di sana dan sini. 

Setiap ahli diberikan tugasan menganalisa tempat yang dilawati ataupun perjumpaan yang diadakan. Kemudian dibentangkan. Saya melihat banyak manfaat yang jika dihayati akan berperanan dalam pembentukan fatwa.


NONESebenarnya, kembara dan memerhati perbezaan budaya dan latar manusia adalah penting sebelum seseorang meletakkan sesuatu penilaian ataupun hukum. Ramai orang melawat tempat orang lain, tetapi hanya asyik melihat bangunan dan pemandangan cantik sahaja tanpa mempelajari perbezaan budaya dan adat manusia.

Dalam fatwa, memahami latar budaya dan adat amatlah penting. Mengetahui latar isu sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan adalah satu kemestian. Hanya kebelakangan ini apabila munculnya golongan literalis, terutama di beberapa negara Teluk, mereka membidaahkan apa yang disebut sebagai Fiqh al-Waqi' atau understanding the reality in the light of jurisprudence, ataupun fikah berdasarkan realiti.

Kejumudan yang seperti itu boleh menatijahkan fatwa yang menyusahkan dan tidak kena pada tempatnya. Golongan yang menentang fatwa berasaskan latar realiti ini kononnya kerana menganggap hukum Allah semua sama di setiap tempat, zaman dan individu. 

Pada asasnya, kenyataan itu mungkin betul jika setiap tempat, zaman dan individu mempunyai keadaan dan latar yang sama. Namun realitinya dunia sentiasa berubah. Budaya dan masalah di setiap zaman dan tempat juga tidak sama. 

Nabi SAW sendiri dalam pelbagai hadis memberikan jawapan yang berbeza-beza bagi satu soalan yang sama disebabkan latar penyoal dan keadaan semasa. Sebab itu kita dapati jawapan Nabi SAW bagi soalan seperti "apakah amalan yang terbaik?" dan "berikan pesanan untukku" berbeza-beza berdasarkan latar penyoal.


Demikianlah hukum agama dalam Islam ini. Terdapat perkara yang tetap tidak boleh berubah seperti solat, puasa, haji dan yang seumpamanya. Namun terdapat banyak hukum yang berkait dengan latar keadaan manusia terutama yang membabitkan urusan muamalat seperti urusan jual-beli, sewaan, riba, pakaian, pergaulan dan seumpamanya. 

Al-Imam Ibn Qayyim dalam karyanya yang terkenal I'lam al-Muwaqqi'in meletakkan satu bab Taghaiyur al-Fatwa wa Ikhtilafuha bi Hasbi Taghaiyur al-Azminah wa al-Amkinah wa al-Ahwal wa al-Niyyat wa al-‘Awaid (perubahan fatwa dan perbezaannya berdasarkan perubahan zaman, tempat, keadaan, niat dan adat).


Fahami budaya

Justeru, para ulama Usul Fikah menegaskan hal ini sejak dahulu. Kata al-Imam al-Qarafi (meninggal 684H): 

"Jika kita keluar dari satu negeri ke negeri yang lain yang adat (kebiasaan) mereka berbeza dengan adat negeri kita maka kita berfatwa berdasarkan adat negeri mereka dan bukan adat negeri kita. 

"Demikian juga jika seseorang datang dari negeri yang adatnya berbeza dengan adat negeri kita, maka kita tidak boleh berfatwa melainkan dengan adat negerinya bukan adat negeri kita." (Al-Ihkam fi Tamyiz bain al-Fatawa wa al-Ahkam, hlm 218, Syria: al-Matbu'at al-Islamiyyah).

Bahkan al-Imam al-Qarafi sekali lagi dalam karyanya al-Furuq dengan tegas menyebut: 

"Jangan sepanjang hidupmu jumud dengan baris-baris ayat dalam kitab. Apabila datang seseorang dari negeri yang iklim (budaya) berbeza denganmu meminta fatwa, jangan engkau hukum berdasarkan keadaan negerimu. 

"Hendaklah kamu tanya keadaan negerinya dan nilai serta fatwalah berdasarkan keadaan itu. Bukan keadaan negerimu dan apa yang tertulis dalam kitab-kitab. Inilah kebenaran yang nyata. Jumud dengan petikan-petikan (kitab) pasti satu kesesatan dalam agama, kejahilan terhadap maksud para ulama Islam dan golongan salaf yang lampau."

Inilah yang kita lihat kepada sesetengah fatwa ulama zaman ini yang tidak mengikuti keadaan semasa. Tidak memahami realiti baru umat Islam dan perubahan dunia. Ada yang begitu literal sehingga mengambil fatwa-fatwa muamalat dan siasah dari para ulama yang dangkal tentang hal politik dan berada dalam iklim yang berbeza serta kepentingan yang tersendiri.

Inilah yang berlaku kepada golongan literalis di Barat yang memetik fatwa-fatwa muamalat dan politik dari negara-negara Teluk seakan wahyu yang boleh diubah. Apa kurangnya juga di negara kita apabila ada yang menganggap semua fatwa dalam kitab dahulu, ataupun dari ulama dokongan mereka itu sesuai untuk semua keadaan tempat. 

Ada pula yang memetik fatwa sempit tertentu kononnya mengundi dalam pilihan raya itu haram sebab zaman sahabat tiada pilihan raya!
Al-Imam Ibn ‘Abidin (meninggal 1252H) menyebut dalam Nashr al-‘Uruf

"Kebanyakan hukum berbeza disebabkan perbezaan zaman, perubahan keadaan, suasana darurat ataupun kerosakan di mana jika hukum itu kekal seperti sebelumnya akan menyebabkan kesusahan dan mudarat kepada manusia. 

"Sedangkan kaedah-kaedah syarak itu dibina atas meringankan, memudahkan dan menghalang mudarat dan kerosakan. Oleh itu, uruf (kebiasaan) berubah dan berbeza disebabkan perbezaan zaman. 

"Jika berlaku uruf yang baru, maka mufti pada zaman kita hendaklah berfatwa berdasarkan uruf itu dan hendaklah berbeza dengan apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab. Maka golongan yang terkemudian yang menyanggahi apa yang tertulis dalam kitab-kitab mazhab dalam perkara-perkara yang pernah dibahaskan dahulu, sebenarnya tidak menyanggahinya melainkan disebabkan perubahan zaman dan uruf. 

"Mereka tahu, jika tuan punya mazhab berada pada zaman mereka akan memberikan pendapat yang sama. Maka mufti hendaklah memberikan fatwa berdasarkan uruf zamannya sekalipun menyanggahi ulama terdahulu."


Ikuti perkembangan

Maka bagi golongan ulama pada zaman ini, di mana dunia teknologi berkembang begitu pesat, penting untuk mereka melihat hukum hakam syarak dan pendekatan agama luar dari kerangka kitab yang mereka baca. Mereka mesti mampu untuk keluar dari kerangka petikan-petikan hukum yang lampau yang mempunyai konteks yang berbeza. 

Masyarakat di Eropah umpamanya dalam hukum-hakam muamalat dan siasah tidak boleh terikat dengan fatwa-fatwa Arab Saudi ataupun Malaysia yang tidak luas dalam hal-hal seperti itu. Latar keadaan juga berbeza. Apatah lagi jika sesuatu fatwa mempunyai pengaruh budaya dan politik tertentu. 

Maka malang, jika mereka yang belajar di negara-negara Teluk cuba menegaskan agar wanita di negara lain turut memakai pakaian hitam seperti wanita Teluk. Itu hanya adat mereka yang bukan warisansalaf untuk dihayati. Demikian juga memakai purdah amat tidak sesuai untuk difatwakan di Barat ini. 

Bahkan al-Imam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) menyebut dalamIqtida Sirat al-Mustaqim tentang keadaan Muslim yang berada di negara bukan Muslim: 

"Sekiranya Muslim berada di negara musuh, ataupun negara kufur yang tidak musuh maka dia tidak disuruh untuk berbeza dengan mereka dari segi penampilan zahir kerana itu akan memudaratkan. 

"Bahkan digalakkan ataupun diwajibkan menyertai mereka di sudut penampilan zahir jika itu terdapat kemaslahatan agama seperti untuk dakwah mereka kepada Islam dan memerhati keadaan dalam mereka untuk dimaklumkan kepada orang Muslim ataupun menghalang bahaya mereka terhadap orang Muslim ataupun selainnya yang merupakan niat yang baik."


Maka, pentafsiran hadis-hadis Nabi SAW dan penukilan fatwa terutama yang membabitkan soal muamalat dan politik hendaklah dilihat dalam kerangka teks dan konteks. Bukan kerana sesuatu nas hadis itu tidak sesuai, tetapi latar keadaan yang telah berubah. Ia memerlukan ijtihad baru dalam kerangka yang baru. 

Kata Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam al-Madkhal al-Fiqh al-‘Am 

"Betapa banyak hukum yang dahulunya perungkai dan penyelesai masalah yang berkesan dalam suasana zaman tertentu, namun selepas beberapa generasi ia tidak lagi mencapai maksudnya. 

"Mungkin memberikan kesan yang sebaliknya disebabkan perubahan keadaan, pendekatan dan akhlak... di atas asas ini diletakkan kaedah fikah (berbunyi) tidak dinafikan perubahan hukum disebabkan perubahan zaman."


Kembara dan memerhati suasana orang serta memahami budaya mereka amatlah penting. Ramai yang mencerca Barat dan mereka yang tinggal di Barat, tetapi tidak memahami latar budaya dan falsafah mereka dalam kehidupan. 

Lebih buruk lagi, ada yang ingin mengenakan fatwa sempit di negaranya kepada umat di Barat ini. 

Lebih buruk ada yang ingin mengenakan hukum-hakam syarak yang dirumuskan oleh ulama untuk umat yang hidup di kurun-kurun yang lalu kepada umat yang hidup di kurun teknologi dan segala kecanggihan dan perubahan cara fikir dan budaya hari ini. 

Maka, penting untuk memahami realiti sebelum berfatwa, jika tidak kita akan menjadi fatwa itu literal yang sempit dan memundurkan umat.



NONEPROF MADYA DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis dan zamil di Universiti Oxford. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.





LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...