BERSAMA SAYA

20 April 2011

BUAT DAIE YANG BAKAL PULANG

Menanti seorang ustaz ustazah yang boleh bersama masayrakat di kampung

Sudah lama menyimpan niat untuk menulis tajuk ini, Alhamdulillah diberikan peluang keringanan jari-jari untuk menaip tajuk ini. Pulang bercuti  semester lepas, perkongsian bersama ahli jamaah masjid semasa pulang bercuti  baru ini amat bermakna dan  amat memberi pengajaran buat diri yang serba dhaif ini. Semoga pengalaman ini bermanfaat bersama.

Singgah di sebuah kedai kopi yang terletak tidak jauh dari teratap buruk saya, mengingatkan kembali enam tahun lalu  yang menjadi tempat persinggahan saya dan ayah sebelum keluar ke pasar borong untuk mencari barang-barang keperluan berniaga. Disitulah banyak kenangan yang mengajar saya cara bergaul dan mengambil hati orang-orang yang agak lama. Sedang dilamun cerita dulu, bahu saya di cuit.

‘Ustaz apa khabar? tidak kemana  hari ini ustaz? Mai la duduk minum dengan pakcik sekali’. Pelawa  seorang pelanggan kedai kopi tersebut yang  juga merupakan salah seorang ahli jamaah masjid yang berdekatan disitu. ‘Ah..!! Kali ini aku tidak dapat mengelak lagi’ bermonolog sendirian walaupun sebelum ini dapat mengelak setelah beberapa kali dipelawa . Pesanan yang sama seperti enam tahun dulu Nescafe panas dan Nasi Lemak Sotong  sudahpun dibuat. ‘Segan rasa pakcik panggil saya ustaz’, luahan hati kecil saya kepada pakcik. ‘Segan apa.? Mengaji dekat Jordan ustaz la tu’ balas pakcik kepada luahan saya tadi sambil tersenyum.

Sementara menunggu santapan yang dipesan tiba dimeja. Pakcik memulakan perbualan dengan pertanyaan demi pertanyaan kepada saya dan kebanyakan persoalan berbentuk pandangan. ‘Aduh.! Mencabarnya soalan, kat Jordan tak nak belajar betul-betul. Mujurlah balik bercuti bukan balik sebagai seorang graduit lagi’. Hati saya terus berbisik.  Terasa diri ini semakin kurang dan sangat kerdil dengan persoalan-persoalan yang keluar dari mulut pakcik. Saya cuba menjawab dan cuba menghuraikan satu persatu soalan yang di ajukan pada saya. ‘wallahualam’. Kata-kata ku setelah selesai menjawab soalan yang agak menguji tadi dengan harapan ianya tidak memesongkan.Habis dari soalan, saya memulakan dialog dengan soalan kepada pakcik.

‘Apa pandangan pakcik terhadap anak-anak kampung kita yang ramai dan telah menamatkan pengajian mereka di dalam bidang agama khususnya’. Saya bertanya seolah-olah ingin tahu apa yang akan keluar dari mulut pakcik dengan mengharapkan jawapan yang benar  dari hati. Perbualan terhenti seketika dengan kedua kami memandang kepada pembantu kedai yang membawa hidangan yang dipesan sebentar tadi.

‘Ustaz, sebenarnya persoalan ustaz memang da lama ada jawapannya, banyak kali cuba untuk berkongsi tapi tidak kesampaian’.  Terasa hairan dan tertanya-tanya apabila mendengar kata-kata pakcik. ‘Kalau pakcik tidak keberatan teringin sangat nak berkongsi mendengar pandangan pakcik’. Saya meneruskan pertanyaan menunjukkan kesungguhan ingin tahu.

‘Ustaz, kalau kita kira-kira lah, anak-anak kampung kita yang belajar diluar Negara dan sudahpun tamat dengan segulung ijazah hampir belasan orang’.  Saya mengangguk menandakan setuju. ‘Tapi pakcik sedikit tertanya-tanya kemanakah mereka yang selama ini kami menanti-nantikan kepulangan mereka yang suatu ketika dahulu kami menharapkan merekalah tempat rujukan kami untuk bertanyakan hukum-hakam dan tempat  berkongsikan masalah. 

Terkadang hati ini di ganggu syaitan dengan teringatkan berapa banyak duit yang telah dilaburkan untuk anak-anak kampung ini yang ingin belajar agama diluar. Bukan apa kadang-kadang kami orang-orang tua ni teringin sangat untuk duduk bersama  anak-anak muda seperti ustaz, anak-anak kami tidak ada yang jadi ustaz ustazah, kami pula dulu tidak berpeluang nak mengaji agama seperti sekarang’. Luahan hati pakcik membuatkan saya mula rasa sebak.

sekadar hiasan

‘ Alhamdulillah suka dapat menjadi ma’mum kepada anak-anak kampung sendiri.  Tapi bagi kami kan lebih elok kalau selepas solat anak-anak yang mengimamkan kami dapat memberikan sedikit masa bersama jemaah yang lain tambahan pula macam kami yang separuh abad ini, terkadang sedikit hairan melihat ustaz-ustaz yang selesai solatnya terus menuju ke pintu dan bergegas pulang ke rumah masing-masing siang harinya sibuk dengan mengajar disekolah, hari minggunya sibuk dengan keluarganya dan mereka lebih banyak masa diluangkan dengan sesama mereka, itu belum yang dihantar ke luar lagi, kalau nak jumpa di kedai kopi mungkin agak kurang sesuai untuk ustaz-ustaz  duduk bersembang dengan ahli jemaah di sini’. Sambil tersenyum pandangan serta sindiran berbentuk gurauan mula  diberikan. ‘Mungkin mereka sibuk kot pakcik. Insyaallah nanti adalah ustaz-ustaz yang mesra rakyat tu’. Saya cuba memujuk pakcik dengan sedikit gurauan. ‘Bila tu.? Takpa pakcik tunggu ?’. Sambil tersenyum pakcik membalas  gurauan ku tadi.

’ Minta jasa baik ustaz lah wakil kami untuk sampaikan pada sahabat-sahabat yang masih belum bergelar graduan untuk lebih bersedia bersama masyarakat pulang nanti. Apa yang penting boleh duduk bersama masyarakat’. Cadangan yang diberikan dengan terselah seribu pengharapan diwajah tuanya.


Perbualan saya bersama pakcik di kedai kopi tadi membuatkan saya berfikir sepanjang hari yang sebelum ini tidak pernah terdetik lansung untuk fikirkan perkara seumpama ini. ‘ Betul ke apa yang pakcik tu cakapkan. Tak kan teman-teman saya yang sudahpun tamat pengajian bersikap sedemikian atau benar belaka apa yang pakcik tu luahkan’. Suara hati kecilku meronta-ronta bertanya.
Bagi saya ini merupakan perkara baru yang perlu saya sampaikan tambahan pula ia pesanan dari salah seorag ahli jamaah dan saya menganggap ianya adalah satu amanah buat saya.

Semoga pulang dengan pengharapan

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ
ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk".[al-Nahl:125]

Ayat di atas jelas menunjukkan kita bahawa didalam menyampaikan dakwah tidak dapat tidak mestilah mengikut seperti yang disebut ‘ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِdan cara kita bersama dengan masyarakat setempat juga termasuk didalam apa yang disebut dengan hikmah dan pelajaran yang baik.

Selaku mahasiswa seharusnya kita cakna dengan perkara-perkara seumpama ini walaupun ada yang menganggap ianya agak remeh yang bukan hanya sekadar ghairah ingin menghabiskan silibus pengajian tetapi peka dengan isu-isu semasa dan kehendak masyarakat setempat khususnya. Terkadang ada golongan yang bergelar mahasiswa ini terlalu ghairah menghabiskan silibus pengajian university dan pulang ke tanah air dengan mengeluarkan fatwa-fatwa tanpa memahami kesesuaian masyarakat setempat ‘syok sendiri’ yang akan menyebabkan banyak kekeliruan dan mungkin menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan masyarakat yang juga akan menyebabkan masyarakat semakin jauh dengan golongan-golongan Ustaz Ustazah.

‘alah…benda-benda remeh macam tu tak perlu belajar nanti balik pandaila tu’, ‘Masa belajar kita belajar jela jangan fikir benda-benda remah macam tu’. Inilah antara jawapan-jawapan yang selalu diberi apabila disarankan mengenai kepentingan softskill yang perlu ada oleh setiap mahasiswa khususnya yang berkelulusan agama di dalam bersama masyarakat.

“Melahirkan Mahasiswa yang mempunyai shaksiah yang tinggi dan mampu menterjemah ilmu bertepatan dengan kehendak masyarakat masakini” Ayuh.! Teman-teman kita bersama menyahut dasar PERMATA ini.

4 April 2011

' Kualiti Juara Inspirasi Bersama'


Logo KARISMA IV yang bertemakan 'Kualiti Kejuaraan Inspirasi Bersama'

Logo KARISMA IV

Setinggi-tinggi kesyukuran buat  Pemilik seantero alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kerana masih lagi dikurniakan nikmat kehidupan dan kesempatan menikmati  iman dan islam.

Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk mengisi ruangan blog yang hampir menerima kunjungan si labah-labah. Saya rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan tahniah buat pengarah KARISMA ke-IV dan seluruh AJK perlaksana program yang bertungkus lumus membanting tulang di dalam menjayakan program seumpama ini. Tidak dilupakan juga, ucapan syabas dan tahniah buat  atlet-atlet yang mewakili mantiqah masing-masing, antaranya PPMA (zon Amman),PRISMA (zon Mafraq), PERMAI (zon Irbid) dan PERMATA (zon Mutah) serta seluruh ahli yang turut membantu secara langsung atau tidak langsung. Semoga Allah memberkati usaha kita bersama.

Pengalaman dua hari bersama,banyak mengajar saya mengenali erti persahabatan  sepanjang perjalanan mahupun di medan perlawanan. Hati ini bertambah teruja apabila disentuh dengan  murninya ukhuwah bersukan terutama ketika bersama skuad Bola Sepak Mutah. Syabas di atas kemenangan yang kalian perolehi sekali gus mengekalkan kejuaraan enam kali berturut-turut. Percayalah, kejuaraan ini bukanlah satu kebetulan tetapi adalah ketentuan-Nya. Bertambah terharu apabila gandingan  usaha, toleransi dan semangat berpasukan wujud pada setiap atlet dan tidak dilupakan juga, buat penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan yang padu kepada pemain.

Bergambar bersama Dato' Abdul Rahim, Dato' Duta selepas bergelar juara.


Skuad Bola Sepak Mutah bersama Piala Pusingan Duta


Kredit buat Ketua dan Timb Biro BKDS PERMATA yang menjadikan tema ‘Kami Datang Kerana Ukhwah’ sebagai tema pada KARISMA kali ini, telah menjadikan keakraban sebagai hadiah utama. Oleh yang demikian, mampu saya katakan bahawa ukhuwah yang terbina lebih kukuh dipatri. Masih terbayang suasana perjalanan pulang ke Mu’tah, kami terkesiap dengan khabar bayaran pengangkutan yang masih lagi tertangguh. Keadaan agak merunsingkan ketua kontijen, bayaran mencecah JD 1440 dengan kadar tukaran semasa RM 6048, perlu dilunasi kepada pemandu bas. Namun, setelah khabar tersebut diwara-warakan, ramai yang menghulurkan bantuan hatta melebihi kecukupan. Semoga hubungan persahabatan di antara kita terus mekar dan sentiasa di redhai-Nya.

KARISMA ke-IV , bertemakan ‘Kualiti Juara Inspirasi Bersama’ adalah antara program yang terbaik  di seluruh Jordan  dan  seterusnya  Mu’tah akan menjadi tuan rumah KARISMA ke-V dan saya mengharapkan agar ianya lebih cemerlang.

Sekali lagi ucapan jutaan terima kasih buat penganjur yang sudi menerima kami sebagai tetamu di Irbid, seterusnya seluruh wakil mantiqah lain yang turut serta dan tidak dilupakan juga buat seluruh ahli PERMATA serta HELWANIS yang menjadi kebanggaan Mu’tah dengan prestasi akhlak yang dipamerkan sepanjang program KARISMA kali ini. Kalian adalah yang terbaik, semoga kalian terus menjadi permata.

Semoga dengan pertemuan ini, dapat menambahkan lagi kasih persahabatan di antara kita dan seterusnya mendapat keredhaan daripada Pemilik hati, Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...