BERSAMA SAYA

27 May 2012

USTAZ ANHAR OPIR : REJAB YANG SEPATUTNYA


1. Hampir dua minggu menumpukan pengajian di akhir semester kedua tahun ini dengan ‘test’ yang tidak putus-putus bagi setiap mata pelajaran. Dan kita bertemu lagi dengan bulan Rejab tahun ini yang menandakan bahawa tidak lama lagi Ramadhan yang dinantikan oleh seluruh umat Islam akan muncul.


2. Masih berulang persoalan setiap tahun tentang amalan dalam bulan Rejab di antara keaslian dan tokok tambah. Sebab itu kita dibanjiri dengan peringatan untuk melakukan ibadah itu dan ini sempena bulan ini, hatta penggunaan beberapa dalil yang disandarkan kepada nabi SAW tanpa sebarang usul periksa keaslian dan kesahehannya. SMS, e-mail, FB dan lain-lain medium digunakan untuk mengingatkan rakan agar melakukan pelbagai amalan dengan fadhilat yang juga pelbagai.

3. Kita sekarang bukan berada dalam zaman yang begitu sukar untuk memastikan kaslian sesuatu riwayat hadith nabi SAW atau ketepatan sumber pendapat para ulama’ mu’tabar. Ktab-kitab yang berkaitan yang boleh diyakini boleh dirujuk dengan mudah. Paling tidak pun kita boleh bertanya kepada ilmuan dalam bidang masing-masing. Sepatutnya kita lebih berhati-hati memetik kata-kata seseorang sebelum disebarkan kepada khalayak.

4. Ini kerana perkara yang berkaitan dengan amal ibadah perlu dipastikan dahulu dalilnya sebelum diamalkan. Kerana syarat sesuatu amalan itu diterima oleh Allah SWT selain daripada ikhlas ialah ia mesti bertepatan dengan syari’at. Sebarang amalan seperti puasa dan solat walaupun dalam kategori ibadat tetapi ia perlu dilakukan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syara’. 

5. Bulan rejab memang telah dipilih oleh Allah SWT sebagai salah satu daripada empat Bulan Haram yang disebut oleh Allah SWT menerusi firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 36 bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) di dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang haram (dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu di dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

6. Nabi SAW menjelaskan nama bagi empat bulan yang disebut dalam firman Allah SWT dalam ayat di atas, sabda nabi SAW ketika Haji Wada’ sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Bakrah RA bermaksud:
Sesungguhnya masa itu berjalan sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun mempunyai dua belas bulan, daripadanya empat yang haram, tiga berturut-turut iaitu Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram, manakala Rejab terletak di antara Jumada dan Sya’ban. (Riwayat al-Bukhari)

7. Salah satu daripada sebab dinamakan empat bulan ini sebagai Bulan-bulan Haram kerana diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini. Ini sebagaimana isyarat yang jelas menerusi firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 217 bermaksud:
Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan haram. Katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalang (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid al-Haram, serta mengusir penduduknya dari situ  adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

8. Namun bukan pula bermakna kita mengkhususkan amalan tertentu untuk bulan Rejab ini. Kerana selain daripada ia termasuk bulan-bulan Haram, tidak ada hadith saheh yang menyebut secara khusus akan fadhilat bulan Rejab melainkan satu hadith yang berstatus hasan sebagaimana diriwayatkan:
Bahawa nabi SAW lebih banyak berpuasa pada bulan Sya’ban, apabila ditanya tentang perkara tersebut, nabi SAW menjawab: Sesungguhnya ia adalah bulan yang ramai manusia leka daripadanya di antara Rejab dan Ramadhan. (Riwayat Tirmizi)

9. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa daripada hadith ini dapat difahami bahawa bulan Rejab mempunyai kelebihan, iaitu kedudukannya sebelum bulan Sya’ban yang merupakan sebelum bulan Ramadhan. Adapun menyandarkan kata-kata ‘Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku’ sebagai hadith nabi SAW, maka ia tidak benar bahkan palsu. Al-Syaukani (1250H) menegaskan:
Ia adalah hadith palsu, dalam sanadnya Abu Bakar bin al-Hasan al-Naqqash dan dia muttaham (dituduh), serta al-Kasaa’ie iaitu majhul (tidak diketahui) . (al-Maqdisi, al-Fawa’id al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, Dar al-Waraq, 1998M, jld 1, hlmn 100)

10. Banyak lagi yang disandarkan kepada nabi SAW tetapi tidak tepat dan kurang teliti. Antaranya juga ialah dakwaan yang mengatakan sebagai hadith nabi SAW iaitu‘Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan yang agung, barangsiapa yang berpuasa sehari daripadanya akan ditulis seperti berpuasa seribu tahun’. Imam al-Sayuti (911H) menyatakan:
Tidak benar kerana Harun bin ‘Antaroh meriwayatkan daripada orang-orang yang munkar. (al-Sayuti, al-La’ali’ al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah, Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1996M, jld 2, hlmn 98)  

11. Adapun berpuasa sunat Isnin dan Khamis serta tiga hari pada 13, 14 dan 15 haribulan dalam bulan Rejab ia amalan yang disyari’atkan bukan sebab bulan Rejab. Tetapi kerana terdapat dalil umum yang menyebut tentang amalan ini pada setiap bulan tidak khusus dengan bulan tertentu sahaja. Begitu juga dengan sedekah, membaca al-Qur’an berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan sebagainya.

12. Persoalannya ialah apabila mengkhususkan satu-satu amalan untuk bulan Rejab sahaja yang tiada dalil padanya. Ia seperti berpuasa penuh sebulan Rejab, jika dilakukan bermakna kita telah mengkhususkannya. Begitu juga solat pada Khamis pertama bulan Rejab yang dikenal sebagai solat al-Raghaib, maka ia termasuk mengkhususkannya. Maka sebarang amalan yang dikhususkan pada bulan Rejab perlu dipastikan dahulu sandaran dalilnya, jika tiada maka sebenarnya ia tidak disyari’atkan.

13. Kesimpulannya, Rejab merupakan salah satu daripada empat Bulan Haram yang mempunyai fadhilat kedudukan yang hampir dengan Sya’ban dan Ramadhan. Ia sepatutnya sama dengan bulan-bulan lain tanpa sebarang pengkhususan ibadah tertentu tanpa sebarang dalil. 


Anhar Opir
6 Rejab 1433H
Sweileh, Amman

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...