BERSAMA SAYA

21 July 2012

SEDIKIT SANTAPAN BUAT KALIAN



Alhamdulillah syukur kehadrat Ilahi Tuan Pemilik seluruh perancangan diatas segala penyusunanNya. Hari yang kedua di bulan Ramadhan di dataran Mutah Jordan, jika di Malaysia, hari ini adalah hari pertama menyambut kedatangan Ramadhan.

Dalam kita menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh barakah dan pengharapan ini, jangan pula kita lupa sahabat dan saudara-saudara seaqidah kita yang sedang diuji, baik dengan peperangan dan ujian-ujian yang lain. Ambillah peluang untuk perbanyakkan doa terutamanya doa ketika hampir berbuka puasa bagi mendoakan kesejahteraan mereka dan kemenangan buat Islam. Namun walaubagaimanapun keadaan kita dan dimanapun kita semoga Allah merahmati kita semua.

Dr. Abdullah Fawwaz merupakan tenaga pengajar di Universiti Mutah Jordan dan beliau juga memegang jawatan sebagai Ketua Dekan Kuliah Syariah

Sedikit ringkasan yang saya ingin konsikan bersama kalian dari pengisian Ramadhan yang dianjurkan oleh persatuan pelajar disini dan disampaikan oleh Dr Abdullah Fawwaz, yang merupakan Ketua Dekan Kuliah Syariah, Universiti Mutah pada kami.

Saya dan teman-teman lain juga sempat bertanyakan beberapa soalan berkaitan Fiqh Mar’ah dan muasarah.

1.       Hukum bagi seorang wanita yang ingin mengambil pil ataupun sebarang jenis ubat bagi melambatkan kitaran haid diatas sebab ingin bersama menyempurnakan ibadah puasa adalah harus.

Namun, yang lebih baiknya (afdhol) adalah tidak mengambilnya, ini kerana adalah fitrah kejadian kaum hawa itu dengan adanya kitaran haid apatah lagi puasa itu dibenarkan untuk diqodhokan pada 11 bulan yang lain.

Begitu juga dengan hukum bagi wanita yang ingin mengambil ubat untuk menunaikan ibadah Umrah dan Haji. Wallahu A’lam.

2.       Kita di Jordan lebih awal sehari berpuasa berbanding Malaysia, persoalan yang timbul apakah hukum bagi kita yang berpuasa awal sehari bermusafir ke Malaysia dalam masa yang sama Malaysia berpuasa sebanyak 30 hari dan sekiranya kita turut berpuasa bermakna kita berpuasa sebanyak 31 hari.

Bilangan didalam bulan Islam hanyalah 29 atau 30 hari sahaja, jika berbalik pada permasalahan yang timbul, kita dibenarkan untuk berbuka dihari yang ke 31 dengan syarat cukup bilangan sebelumnya 30hari dan berbuka puasa itu tidak pula dijaharkan pada umum.

Jika bilangan cukup 30hari dan tidak melebihi 30hari maka wajib diatas kita untuk turut berpuasa hari yang ke 30 itu dan tiada pilihan baginya untuk tidak berpuasa walaupun pada asalnya bulan Islam itu samada 29 atau 30 hari.


Jika berlaku sebaliknya, iaitu yang bermusafir itu adalah dari Malaysia ke Jordan dan mereka berpuasa lewat sehari dari Jordan manakala di Jordan pula berpuasa hanya 29 hari dan hari yang ke 30 adalah raya, maka wajib bagi yg bermusafir itu untuk turut menyambut raya pada 1 syawal dan puasa bagi yang bermusafir dari Malaysia itu masih belum cukup 29 hari maka wajib ia menggantikan sehari lagi selepas 1 syawal, ini kerana haram berpuasa di 1 syawal...Wallahu A’lam.

3.       Hukum membaca Al Quran bagi seorang wanita yang haid sepakat Ulama, adalah haram kecuali pada keadaan-keadaan yang darurat seperti peperiksaan dan sebagainya.

Jemputan majlis khatam Al quran seumpamanya tidak dikira darurat, maka tetap tidak dibolahkan ia dari membaca Al Quran.


Bagi mereka yang menghafal Al Quran juga tidak dibolehkan mengulang hafalannya dengan lafaz sepanjang fatrah kedatangan haid ittifaq 4 mazhab kecuali imam ibnu taimiyah membenarkan mengulang dengan lafaz dan suara, adapun imam 4 mazhab mengharamkan dengan berdalilkan Rasul s.a.w melihat saidatina aisyah mengulang hafalan Al-Quran hanya dengan menggerakkan lidah,tanpa mendengar suara dan lafaz.Wallahu a’lam..

4.       Hukum bagi seorang wanita yang ingin bermusafir (bukan pada jalan maksiat) adalah harus dengan syarat ia selamat dari segalah fitnah.

Walaupun ada hadis yang menegah wanita dari bermusafir, namun jika dilihat pada zaman kita ini (muasarah) lebih selamat dan mudah dikawal keadaannya berbanding dulu yang agak sukar untuk berhubung dan sebagainya. Wallahu A’lam.

5.       Pada hukum asal seorang saksi lelaki menyamai dua orang saksi wanita. Namun, ada beberapa keadaan didahulukan saksi wanita berbanding saksi lelaki.

Antaranya adalah dalam isu menentukan nasab keturunan dan dalam menentukan seseorang wanita itu masih dara atau tidak. Ini adalah kerana didalam penentuan ini yang lebih berhak adalah sesame wanita.

Ini juga dijadikan hujjah bahawa Islam itu bukan hanya mengangkat darjat lelaki bahkan, Islam  juga mengangkat darjat wanita didalam beberapa keadaan. Wallahu A’lam.

6.       Hukum mengundi atau mencalonkan wanita sebagai ahli Parlimen atau sebagainya adalah harus dengan syarat ia tidak memudoratkan dan bukanlah dicalonkan sebagai Ketua sebuah Negara. Wallahu A’lam.


Sedikit perkongsian yang saya dapat konsikan bersama kalian, bagi yang turut sama dalam penyampaian tadi minta betulkan ya jika ada kesilapan dalam memahami penerangan Dr. tadi.

Semoga perkongsian yang sangat ringkas ini, bermanfaat buat kita semua… Wallahu A’lam.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...