BERSAMA SAYA

28 March 2012

MAHASISWA & KEPIMPINAN


Mahasiswa Hari Ini, Pemimpin Hari Esok

 Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

              "Katakanlah: apakah kamu pernahll Kami jelaskan kepada kamu tentang orang-orang yang pekerjaan mereka di dunia ini ialah (pekerjaan) yang sia-sia, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah bekerja dengan sebaik-baiknya".

            "Mereka itu ialah orang-orang kufur terhadap ayat Tuhan mereka dan (kufur terhadap pertemuan dengan Allah. Sebab itu (nilai) pekerjaan mereka jatuh hapus) dan Kami pun tidak akan memberikan apa-apa pertimbangan nilai terhadap (usaha) mereka pada hari kiamat kelak".                                                        
(Surah Al-Kahfi: ayat 103-105)

Muqaddimah

Kepimpinan mahasiswa telah diberikan satu pentakrifan sebagai kepimpinan yang diasaskan atas rasa tanggungjawab untuk menjaga kemaslahatan umum. Ia juga diertikan sebagai medan latihan sebelum terjun ke medan yang sebenar. Apa pun yang mahu saya perkatakan adalah kepimpinan mahasiswa yang sifatnya adalah sukarela. Sekalipun ianya terpaksa tetapi tuntutan tanggungjawab seolah-olah memaksa sesiapa sahaja yang diberikan amanah untuk melaksanakannya.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala yang bermaksud:

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”
(Surah al-Ahzab, ayat 36)

Di alam mahasiswa ini ramai yang berpendapat bahawa keterlibatan didalam sesebuah badan persatuan ataupun organisasi merupakan satu faktor yang menyebabkan kemerosotan akademik dan hanya menganggap di alam mahasiswa ini hanya perlu menumpukan sepenuhnya pada pembelajaran di universiti semata-mata dan ada dikalangan mahasiswa apabila membicarakan mengenai isu berpesatuan di waktu pengajian mereka akan menjawab ‘waktu belajar kita belajar lah nanti bila pulang Malaysia kita belajar lah pula cara beorganisasi’ namun begitu, saya menganggap bahawa pemikiran sebegitu yang ada pada segolongan mahasiswa adalah tidak tepat. Secara amnya apabila dikaitkan dengan berpesatuan atau berorganisasi ia secara tidak lansung mengaitkan dengan pembelajaran cara memimpin ataupun ‘softskill’.

Saya teringat semasa berdiskusi (TDI) bersama ahli kumpulan yang hangat membincangkan mengenai pentinganya keterlibatan mahasiswa didalam sesebuah badan pesatuan ataupun organisasi dan hasil dari perbincangan kami adalah tidak wajar sekiranya ada dikalangan mahasiswa yang menganggap dengan keterlibatan mereka didalam persatuan ataupun organisasi dapat menjejaskan komitmen pada pembelajaran.

Kita selaku mahasiswa perlu lebih keterhadapan dan perlu akur bahawa golongan mahasiswa ini sebenarnya adalah sebahagian dari kelompok masyarakat, masyarakat sekadar melaburkan mereka sementara dalam suatu tempoh antara tiga ke lima tahun akhirnya golongan mahasiswa ini akan kembali ke dalam kelompok masyarakat untuk memberi hasil bakti. Oleh itu, untuk menjana mahasiswa yang mempunyai jiwa yang besar sememangnya kita memerlukan mahasiswa yang serius dalam memikirkan persoalan semasa.

Walaupun kami sebulat suara bersetuju, pentingnya keterlibatan mahasiswa didalam sesebuah badan organisasi namun, untuk menjadi mahasiswa yang bergelar pimpinan tidak dapat tidak mestilah mempunyai sifat-sifat seorang peminpin dan ini adalah antara sifat-sifat yang mesti ada pada seorang peminpin.

Mahasiswa Adalah Warna-warni Sesebuah Masyarakat dan Negara

Kepimpinan yang membudayakan ilmu

Kepimpinan mahasiswa seharusnya berasaskan kepada tadisi ilmu. Tidak hairanlah ia adalah syarat wajib dalam mewujudkan cirri kepimpinan ‘al-qaidul-mufakir’(pemimpin-pemikir) yang mempunyai pandangan bernas dan berjiwa besar.Kepentingan ilmu pengetahuan yang dipelajari dan dihayati mestilah dijadikan batu asas yang akan membentuk kita dalam mewujudkan pembaharuan diri yang lebih kuat. Ilmu pengetahuan dan pendidikan yang tinggi biarlah menjadi asas ke arah pembinaan insan yang lebih berkualiti tinggi.

Tidak dapat tidak, kepimpinan yang membudayakan ilmu saja yang mempunyai kemampuan menguruskan perubahan. Perubahan yang tidak terurus dengan baik menyebabkan kecelaruan pada organisasi dan struktur kepimpinan mahasiswa itu sendiri.

Mahasiswa dan pemikiran

Pimpinan mahasisawa harus turun kelapangan ummat mendepani isu ummah dan menjadi jurubicara ummah. Justeru itu, mahasiswa seperti ini adalah daripada mahasiswa yang mempunyai arus pemikiran yang bebas dari penjajahan pemikiran.

Pimpinan mahasiswa perlu menoleh kembali sejarah perjuangan, mengamati dan menganalisis cabaran semasa serta membentuk visi dan misi masa depan.


“Hanya mahasiswa yang mempunyai visi dan misi masa depan saja yang akan sedar betapa pentingnya nilai perpaduan, toleransi, budaya dan tradisi ilmu, memahami adabul ikhtilaf (berbeza pandangan), faham menguruskan perubahandan musyawarah bagi merealisasikan Islam sebagai membawa rahmat ke seluruh alam.


Kuatkan Jati Diri

Pengaruh sekeliling yang sering berubah dan bermacam ragamnya, mestilah ditangani dengan sebaiknya, hal ini penting agar suasana dan pengaruh sekeliling yang tidak begitu sesuai dan selari dengan konsep kehidupan berpesatuan dapat di tangani dengan sebaiknya. Kita perlu bekerja keras untuk menyekat gejala-gejala negatif sambil berusaha dengan bersungguh-sungguh menyuburkan nilai-nilai yang selaras dengan dasar yang ditentukan oleh setiap organisasi,

Perubahan globalisasi dan kemajuan teknologi dunia yang berlaku hari ini bukanlah penyebab untuk kita menerima apa saja yang datang adalah sebagai pembaharuan. Pembaharuan tidak semestinya menjadikan asas untuk membelakangkan kehidupan beragama. Kita perlu mempertahankan nilai-nilai kehidupan beragama yang betul lagi sempurna. Pengaruh pembaharuan bukanlah bererti ia perlu ditolak kesemuanya, namun perkara yang baik dapat dijadikan sandaran akan tetapi yang kurang baik mesti kita hindarkan.

Berjiwa Besar

Sifat berlapang dada dengan setiap kemungkinan yang mendatang, harus ada pada diri setiap pemimpin dan yang dipimpin. Apatah lagi didalam skop dimensi perbincangan yang lebih luas yang melibatkan banyak pihak. Mungkin saja cadangan dan tindakan kita selaku pemimpin dan ahli tidak diterima oleh pihak lain. Jadi, ketika itu kita selaku kepimpinan harus berjiwa besar sepertimana kita bersedia untuk memberikan cadangan dan idea maka seharusnya juga bersedia jika ianya ditolak.


Bahkan, seharusnya menerima apa jua bentuk keputusan yang terhasil dari perbincangan walaupun, ianya perkara yang kita kurang setuju dengannya. Percayalah itulah yang terbaik buat semua dan ia juga adalah antara adab terbesar didalam sesuatu mesyuarat serta perbincangan.

Namun, dalam masa yang sama juga harus tetap dengan pendirian sendiri, di samping tidak menyempitkan ruang ke arah kemajuan, yang penting untuk dipelihara adalah sensitiviti agama. Jika sensitiviti kita tumpul maka ia akan menghakis rasa cemburu. Jika ini terhakis maka akan mudahlah segala pengaruh negatif mencorakkan kehidupan dan pemikiran kita.

Inilah senario yang memerlukan penelitian dan penghayatan serius, isu-isu sedemikian inilah memerlukan indivi-individu yang berpendidikan agama dan berpandangan jauh agar sesebuah organisasi itu lebih sempurna dan keterhadapan.

Tenang Dengan Segala Yang Mendatang

Apabila membicarakan mengenai kepimpinan mahasiswa matang sifat tenang menghadapi segala yang mendatang adalah salah satu sifat yang tidak dapat dinafikan akan pentingnya pada seorang kepimpinan khususnya didalam membuat keputusan.Andaikata  didalam kepimpinan tidak mempunyai sifat sedemikian ia akan menampakkan kurangnya kematangan sesebuah organisasi itu dan sekali gus akan mudah dipandang rendah oleh orang yang dipimpin seterusnya akan berlakunya kecelaruan didalam kepimpinan mahasiswa itu sendiri.

Bersifat tenang didalam kepimpinan dan tidak mudah melatah perlu dimiliki oleh setiap kepimpinan sebagai contoh sekiranya ada kritikan dari ahli-ahli yang dipimpin walaupun kadang-kadang yang dikritik tidak berasaskan kepada fakta tetapi kepimpinan haruslah tenang dan tidak mudah melatah didalam menhadapi kebarangkalian tersebut bukannya diam kerana takut ataupun mengalah tetapi kerana matang dan mencari penyelesaian.

Keikhlasan Dalam Memimpin

Akhirnya antara sifat-sifat kepimpinan yang mesti ada pada seorang peminpin adalah sifat ikhlas.Keikhlasan merupakan satu faktor penting didalam menjalankan tanggungjawab kepimpinan. Kepimpinan mahasiswa seolah-olah  memaksa diri untuk membahagikan kepentingan diri dengan orang ramai. Masa perlu dibahagikan, kewangan juga perlu dikorbankan dan kehendak diri diketepikan untuk memastikan amanah kepimpinan dapat dilangsaikan dengan baik.

Semua itu berhajat kepada ikhlas. Mana mungkin pengorbanan yang ditagih tersebut mampu untuk dilunaskan sekiranya tidak dipasakkan dalam hati sifat ikhlas. Justeru, sifat keikhlasan didalam diri seorang pemimpin seharusnya diukir kemas dan rapi didalam hati.

Hati-hati dalam meniti lorong berduri kepimpinan. Jangan sampai susah payah dan pengorbanan yang dibuat langsung tiada hasilnya kerana tidak didasarkan kepada keikhlasan. Keikhlasan juga adalah ubat dan penawar kepada keletihan kerana keyakinan bahawa setiap pekerjaan yang ikhlas dilaksanakan akan di nilai.

Yang paling penting ikhlas perlu didahulukan setiap langkah dan setiap pekerjaan kita seharian kerana tugas kepimpinan ini akan semestinya dilihat dan diperkatakan samada positif ataupun negatif.

Mahasiswa Bukan Sahaja Dengan Segulung Ijazah
Kesimpulan

Dengan persediaan mahasiswa yang bergelar pemimpin, kita akan mampu melahirkan sebuah masyarakat yang akan mendaulatkan Islam. Kita mesti konsisten didalam mewujudkan sebuah masyarakat remaja dan belia yang bernilai dan berpengetahuan tinggi dengan kemampuan untuk menjadi ‘mata rantai’ yang dapat menyambung perjuangan agama.

Golongan mahasiswa, dengan gandingan serta gabungan tenaga dan fikiran yang mantap perlu dioptimakan. Barisan pendakwah mesti diperkukuhkan dengan ukhuwwah, mahabbsh dan tajarrud ilaLlah (ketulusan niat semata-mata kerana ALlah). Kelompok pimpinan mahasiswa serta ahli yang berdedikasi amat memerlukan keazaman,kesabaran serta kesungguhan dalam penyusunan dan perlaksanaan bagi merealisasikan golongan mahasiswa yang mampu untuk mencapai cita-cita seperti yang dirancangkan.

Setiap ruang, yang kecil atau besar menanti dan mengharapkan sumbangan golongan mahasiswa yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Bilik-bilik besi dan medan-medan pertempuran di seluruh pelusuk dunia menjadi saksi atas pengorbanan sekian ramai pejuang Islam yang tidak dikenali yang tidak pernah mendapat apa-apa anugerah kehormatan duniawi. Jika pejuangan bukan kerana Allah, nescaya hidup dan usaha mereka menjadi sia-sia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...