BERSAMA SAYA

27 April 2012

BUAT AYAHANDA YB DATO' SERI

Saya tujukan buat YB Dato' Seri di Kementerian Pengajian Tinggi.

Saya mulakan coretan ini, dengan sedikit cerita ringkas mengenai keseluruhan organisasi mahasiswa yang wujud di Jordan. Majlis Perwakilan Mahasiswa Jordan ( MPMMJ ), merupakan persatuan induk mahasiswa di Jordan yang mempunyai lebih 2000 orang ahli rasmi. Empat buah zon di Jordan iaitu Irbid , Mu’tah, Mafraq dan juga Amman merupakan tempat terletaknya penempatan utama mahasiswa Malaysia disini.

Empat buah persatuan dibawah MPMMJ yang dibentuk bagi mewakili setiap zon iaitu Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid ( PERMAI ), Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu’tah ( PERMATA ), Persatuan Mahasiswa Malaysia Mafraq ( PRISMA ), Persatuan Penuntut Malaysia Amman ( PPMA )

Selain 4 buah Persatuan Zon, sebanyak 14 buah Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) juga turut ditubuhkan dibawah MPMMJ bagi mewakili anak negeri masing-masing termasuk Sabah dan Serawak. Persatuan anak negeri ini, yang ditubuhkan di Jordan bagi tujuan memudahkan urusan permohonan zakat, pimjaman dan urusan-urusan yang melibatkan jabatan dan yayasan di bawah negeri.

                                          

Dato' Seri,

Tidak dapat dinafikan, apa sahaja bentuk organisasi yang wujud baik kecil atau besar, ia sangat memerlukan kewangan bagi segala pergerakan dan urusannya. Jadi, MPMMJ yang menaungi 4 buah persatuan zon dan 14 Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN ) ini juga tidak terkecuali dalam organisasi yang memerlukan kewangan bagi meneruskan serta melancarkan segala pergerakannya.

Apatah lagi, MPMMJ dan segala organisasi dibawahnya ini ditubuhkan atas dasar kesedaran sosial yang tinggi untuk membantu menjaga kebajikan ahli dan membantu melicinkan segala urusan yang berkaitan antara mahasiswa dengan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Jordan, Kedutaan Besar Malaysia ke Jordan, Education Malaysia Jordan, Universiti- universiti, Kementerian Luar Jordan ( urusan visa ) dan hal-hal yang berkaitan dengan mahasiswa.

Saban tahun, angka pelajar yang diluluskan oleh KPT ke Jordan semakin meningkat, persatuan akan melantik ahli jawatan kuasa pelaksana bagi menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru, mereka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan gerak kerja sambutan pelajar baru, mereka bertungkus lumus menyedia dan mencari rumah untuk penginapan adik-adik baru, mereka berusaha menyediakan pengangkutan bagi menyambut ketibaan di lapangan terbang, kadang-kadang mereka tidak tidur malam memikirkan kewangan dalam melaksanakan gerak kerja ini, bermula dari sebelum tibanya pelajar-pelajar baru ke Jordan sehingga selesainya mereka menerima visa pelajar dan apa sahaja urusan mereka yang berkaitan dengan pejabat-pejabat awam samada Malaysia atau Jordan akan dibantu oleh persatuan pelajar disini yang semuanya memerlukan kewangan untuk melicinkan segala pergerakan, mereka sesekali tidak pernah menuntut bayaran dari penat lelah mereka.


Kerja-kerja persatuan tidak hanya tertumpu pada yang baru semata-mata, siapa sahaja yang bergelar pelajar disini, mereka akan dibantu oleh persatuan. Kadang-kadang pihak persatuan terpaksa meninggalkan kelas untuk menyelesaikan masalah visa pelajar, kadang-kadang tidak tidur malam bila mendapat panggilan mengenai kecurian dan kadang-kadang betengkar dengan tuan rumah hanya untuk mempertahankan harga sewa rumah. Ini semua, adalah ingin memastikan nasib anak-anak Malaysia yang sama menuntut disini terjaga.

Dato' Seri,

Saban tahun juga, kepimpinan persatuan sering menjadikan isu kewangan sebagai salah satu agenda perbincangan utama mereka, mereka yang pulang ke Malaysia samada dari barisan kepimpinan mahupun dikalangan ahli biasa akan diminta untuk membawa pulang bersama proposal dana kewangan untuk meminta belas ihsan dari syarikat-syarikat di Malaysia bagi mencapai target jumlah wang pengurusan tahunan. 

Setiap persatuan zon pula memerlukan peruntukan tahunan, lebih RM 30000 bagi kos pengurusan, kos sewaan rumah persatuan yang menjadi tempat utama aktiviti-aktiviti yang dianjurkan persatuan, kelas-kelas tambahan dan mesyuarat. Ini tidak termasuk kos program-program tahunan yang dianjurkan oleh persatuan.

Kos sara hidup disini sangat tinggi, untuk melaksanakan sesebuah program juga memerlukan bajet yang besar, memakan belanja belasan ribu dan kadang-kadang mencecah puluhan ribu ringgit, yuran ahli dikutip sebagai salah satu inisiatif bagi merialisasikan program-program yang telah dirancang oleh persatuan, pihak kepimpinan juga ada yang menggunakan duit poket sendiri demi menjayakan sesuatu program yang dirancang, terima kasih buat Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ), diatas sumbangan kepada program-program anjuran persatuan pelajar disini.

Namun, pihak persatuan masih membutuhkan wang pengurusan bagi memastikan persatuan pelajar disini terus dapat digerakkan seiring dengan dasar penubuhannya. Kepimpinan pelajar disini sentiasa memikirkan cara untuk menjana ekonomi tetapi pergerakan disini sangat terbatas, tambahan pula memerlukan modal yang besar. Pihak persatuan juga, ada membuka koperasi dan meniaga kecil-kecilan itupun, masih belum memadai untuk menampung keperluan wang pengurusan tahunan.

Disini, kami tidak seperti persatuan-persatuan mahasiswa didalam negara yang lebih mudah untuk menjana ekonomi persatuan berbanding kami di luar ini. Disini juga, lebih sukar untuk mendapatkan sumbangan dan peruntukan dari syarikat-syarikat besar di Malaysia jika dibandingkan dengan persatuan pelajar didalam Malaysia yang boleh berhubung terus dengan mereka.

Hanya JD 200 ( RM 850 )dibekalkan di awal sesi kepimpinan oleh EMJ sebagai wang pengurusan tahunan kepada persatuan, saya rasa amat sedikit jika dinisbahkan dengan keseluruhan jumlah yang diperlukan oleh sesebuah persatuan induk itu untuk bergerak.

Walaupun, hanya sejumlah itu yang dibekalkan sebagai wang pengurusan kepada sesi kepimpinan lepas, Alhamdulillah, dengan usaha yang keras dan letih jerih seluruh kepimpinan terutamanya Jabatan Perbendaharaan dan Biro Ekonomi membolehkan persatuan tetap dapat digerakkan tetapi tidaklah serancak sepertimana yang dirancang oleh kerana kadar kewangan yang sangat terhad.

                        

Dato' Seri,

Sepanjang tempoh memegang jawatan sebagai Presiden MPMMJ selama setahun, saya hanya dapat menunaikan solat Jumaat sebanyak 13 kali sahaja di tempat saya Mu’tah, ini bermakna minggu-minggu yang lain, saya akan berada diluar kawasan penempatan saya bagi menghadiri mesyuarat dan jemputan program-program yang dianjurkan samada di peringkat Zon mahupun BKAN. Mungkin perkara yang sama buat seorang Presiden dan barisan kepimpinan lepas dan baru.

Purata setiap kali perjalanan bagi seorang jika menaiki bas dari Mu’tah ke zon lain adalah sebanyak JD 20 ( RM 85 ), untuk sampai ke suatu zon pula mengambil masa selama empat hingga lima jam dan kadang-kadang saya menyewa kereta untuk ke sana, sewa sebuah kereta adalah JD 60 (RM 255 ) dan lebih singkat masa perjalanannya.

Selalunya, mesyuarat dan jemputan akan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan yang lain, yang masing-masing memerlukan jumlah kewangan yang sama demi memenuhi tuntutan sebagai pimpinan bagi menghadiri ke suatu majlis atau mesyuarat. Mereka sesekali tidak pernah menuntut kos perjalanan.

Tempoh setiap sesi kepimpinan adalah setahun, faktor jarak antara pimpinan menyebabkan sukar untuk bertemu bagi membincangkan sesuatu isu oleh sebab itu, telepon bimbit adalah pilihan utama sebagai alat komunikasi sesama pimpinan. Kos penggunaan kad tambah nilai juga tidak pernah dituntut oleh mereka.

Semenjak tiba di Jordan pada tahun 2009, saya telah menanam satu cita-cita ingin membawa kedua ibubapa saya menunaikan umrah dengan hasil simpanan saya sendiri, Alhamdulillah, hasil usaha yang sedikit di bumi barakah ini, target itu hampir tercapai. Namun, oleh kerana bajet kewangan saya yang sangat meningkat, 2/3 dari simpanan saya, telah saya dahulukan. Saya yakin, sekiranya ditanya pada pimpinan yang lain, mungkin setiap mereka juga mempunyai kisah yang tersendiri. Apapun, mohon doa semoga cita-cita saya yang tidak seberapa ini, dapat dicapai.

                        

Dato' Seri,

Kami masih mahasiswa walau bergelar pimpinan, kami masih mengharapkan ibu dan ayah sebagai sumber kewangan, kami masih memerlukan kewangan untuk memenuhi tuntutan harian, kami masih memerlukan sejumlah kos untuk menamatkan pengajian, dan apa yang penting kami adalah aset Negara yang bakal pulang berkhidmat pada masyarakat dan anak-anak watan, kami bakal mencorakkan masa depan Negara yang kehadapan, kami juga adalah generasi yang bakal menggantikan tampok kepimpinan bagi memimpin sebuah Negara idaman.

Kami sesekali tidak pernah menuntut gaji bulanan, kami tidak minta bonus bulanan, kami juga tidak minta menjadi jutawan, kami juga tidak mengharapkan sebarag jawatan, apa yang kami harapkan adalah wang pengurusan bagi memudahkan segala urusan, tidak lain dan tidak bukan hanyalah semata-mata untuk menjaga kebajikan aset-aset Negara yang bakal pulang menjadi tauladan.

Saya menulis, bukan semata-mata hasil pemerhatian tapi dari pengalaman, saya simpati kepada mereka yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kadang-kadang kewangan, saya sangat berharap ia tidak menjadi isu tahunan buat pimpinan persatuan, saya yakin harapan yang sama ingin disampaikan oleh seluruh pimpinan persatuan dibawah naungan.

Saya tidak pandai menulis, apatah lagi hendak bermadah pujangga, namun, harapan kami sangat besar semoga coretan yang serba kekurangan ini, sampai kepada Ayahda Dato Seri dan jika tidak keberatan, moga dapat dipertimbangkan juga kelulusan kewangan buat anak-anak warganegara 1 Malaysia disini agar kepimpinan persatuan pelajar sesi ini, tidak terasa beban dalam berkhidmat, letih dalam menyumbang dan terbantut perancanagan dek kerana kesempitan kewangan.

Tiada apa yang diharapkan, melainkan ingin melihat sesi kepimpinan mahasiswa kali ini, menjadi terus maju mengorak langkah mengatur strategi bagi membentuk modal insan yang bakal pulang menabur jasa bakti dan lebih keterhadapan didalam menjana jatidiri sebagai seorang pimpinan Negara pada masa akan datang.



Exco PERMATA 09/10
Presiden PERMATA 10/11
Presiden MPPMJ 11/12


1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...