BERSAMA SAYA

30 October 2011

QORBAN : AGIHAN DAN UPAH


1. Ibadah korban marupakan salah satu daripada syi’ar Islam. Ia dilakukan sebagai ibadah tahunan pada mana-mana hari daripada Hari Raya Aidil Adha dan tiga hari Tashriq (11, 12 dan 13 haribulan) dalam bulan Zul-Hijjah. Ibadah ini mempunyai kaitan dengan sejarah pengorbanan nabi Ibrahim AS dan anaknya nabi Ismail semata-mata kerana menjunjung perintah Allah SWT. Peristiwa ini juga diabadikan sebagai manasik haji dengan pensyariatan melontar jamarat di Mina bagi para hujjaj simbolik pertentangan di antara manusia dan syaitan. 


 2. Sebab itu salah satu hikmah pensyariatan ibadah korban ialah sebagai memperingati nabi Ibrahim AS ketika mendapat wahyu dalam mimpinya bahawa nabi Ibrahim menyembelih anaknya nabi Ismail. Mimpi para nabi adalah wahyu dan wahyu wajib dilaksanakan. Firman Allah SWT dalam surah al-Soffat ayat 102-107 bermaksud:
Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat salam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang ang sabar. Setelah kedua-duanya berserah (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;

3. Nah lihatlah pengorbanan seorang ayah dan pengorbanan seorang anak dalam melaksanakan perintah Allah Azza wa Jalla. Melaksanakan perintah Allah SWT juga disebut sebagai ujian. Akhirnya Allah SWT menerima pengorbanan nabi Ibrahim AS dan anaknya yang ikhlas. Oleh itu, salah satu yang sangat penting dalam melakukan ibadah korban ini ialah keikhlasan dan ketakwaan.Elakkan daripada bermegah-megah dan riya' dalam ibadah korban yang dilakukan. Tidak menjadi halangan untuk melaksanakannya setiap tahun jika ada kemampuan, juga tiada masalah untuk berkorban dengan jumlah yang banyak jika punyai kelebihan harta, tetapi pastikan keikhlasan dan ketakwaan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37 bermaksud:
Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

4. Tanpa membahaskan hukum ibadah korban sama ada sunat atau wajib bagi yang mampu, ibadah korban ini mempunyai fadhilat yang sangat besar di sisi Allah SWT. Selain bagi orang yang melakukan ibadah korban ini dan perlaksaannya yang dilakukan pada hari raya, ibadah ini menjadikan orang ramai khususnya faqir miskin bergembira pada Hari Raya Aidil Adha ini kerana mendapat bahagian daging korban. Sehingga hari Tashriqdikenal juga sebagai hari makan dan minum. Diriwayatkan nabi SAW bersabda tentang hari Tashriq sabdanya bermaksud:
Hari-hari Tashriq adalah hari-hari (untuk) makan dan minum serta mengingati Allah Azza wa Jalla. (Riwayat Muslim)

5. Terdapat hukum hakam feqh yang perlu dilihat dalam ibadah korban ini. Antaranya yang berkaitan dengan mereka yang ingin melakukan ibadah korban ini sebagaimana yang telah dituliskan dengan ringkas dalam catatan yang lalu. Begitu juga yang berkaitan dengan binatang korban dan syarat-syaratnya yang juga perlu diperhalusi agar korban yang bakal dilakukan diterima oleh Allah Azza wa Jalla bukan seperti nasib korban Qabil anak nabi Adam AS. Terdapat dua perkara yang perlu juga diambil berat dalam melaksanakan ibadah korban ini, iaitu berkaitan dengan agihan dan upah kepada pelaksana sembelihan korban.  

Agihan daging korban
6. Jika ibadah korban yang dilaksanakan dengan niat nazar maka hukum ibadah korban ini adalah wajib. Bagi ibadah korban kategori ini maka tuannya tidak boleh mengambil apa sahaja daripada binatang korbannya daripada daging, kulit dan sebagainya. Dia juga tidak boleh menjual mana-mana bahagian daripada sembelihan korbannya.

7. Jika orang yang bernazar telah memakan atau menjual korban nazarnya ini, maka dia perlu membayar semula nilainya itu dengan bersedekah kapada faqir miskin, kerana korban nazar adalah milik Allah Azza wa Jalla sepenuhnya.  

8. Bagi yang melakukan ibadah korban secara pilihan (tatowwu’) bukannya nazar pula, maka yang melakukan korban boleh makan daging korbannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud:
Dan Kami jadikan unta sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang, makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.

9. Al-Qurtubi (671H) ketika membicarakan ayat ini menyatakan:
Makanlah sebahagian daripadanya, merupakan perintah dengan maksud sunat. Dan semua para ulama’ menyatakan galakan kepada seseorang agar makan daging korbannya, dan padanya ganjaran dan menurut perintah. (al-Qurtubi, Jami’Li Ahkam al-Qur’an)

10. Nabi SAW juga menyuruh untuk memakan daging korban sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Waqid bahawa nabi SAW bersabda:
Maka kamu semua makanlah (daging korban), dan simpanlah, dan sedekahkanlah. (Riwayat Muslim)

11. Dia juga boleh menyimpan atau sedekahkan kepada faqir miskin. Tiada halangan juga untuk dia hadiahkan kepada rakan-rakannya walaupun mereka daripada kalangan orang berada. Mana-mana bahagian daripada binatang korbannya juga, seperti bulu dan kulit binatang boleh dimanfaatkan oleh yang berkorban. Dalam Mazhab Shafie dicadangkan agar diagihkan kepada tiga bahagian, iaitu satu bahagian untuk yang berkorban, satu bahagian lain untuk sedekah kepada faqir miskin, dan satu bahagian lagi untuk hadiah kepada rakan-rakannya. Imam al-Nawawi (676H) berkata:
Dan dia (Imam Shafie) berkata dalam (pendapat) baru: Dia (yang melakukan korban) makan satu pertiga, dihadiahkan satu pertiga, dan sedekahkan satu pertiga. (al-Nawawi, al-Majmu’, Dar al-Fikr, Beirut,  jld 8, hlmn 306)

12. Pemberian daging korban kepada faqir miskin adalah atas dasar pemilikan berbeza dengan rakan-rakan yang berada atas dasar hadiah. Maka orang yang berada tidak boleh menjual daging korban yang dia dapat. Adapun pemilikan kepada faqir miskin membolehkannya dia menjual daging korban yang dia perolehi. Di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji menyebut:
Dan sesungguhnya apa yang diberikan kepada orang kaya daripadanya (daging korban) adalah atas dasar hadiah untuk dimakan, mereka tidak boleh menjualnya. Manakala apa yang diberikan kepada orang faqir adalah atas dasar pemilikan, maka dia boleh memakannya atau melakukan apa sahaja yang dia kehendaki. (al-Feqh al-Manhaji ‘ala Mazhabi al-Imam al-Shafie, Dar al-Mustafa, Dimasyq, hlmn 140)

Upah korban
13. Bagi yang mengupah orang lain untuk menyembelih dan melapah binatang korbannya, maka upahnya tidak boleh daripada mana-mana bahagian binatang korbannya. Ia hendaklah daripada harta yang lain dan bukannya binatang korban. Diriwayatkan daripada Ali RA katanya:
Rasulullah SAW telah menghantar kepadaku unta korban, sabdanya: Jangan engkau berikan kepada penyembelih walau sedikitpun daripadanya. (Riwayat Ahmad)

14. Begitu juga bagi yang melakukan korban tidak boleh menjual kulit binatang korbannya, kerana dia telah meniatkannya untuk Allah SWT. Apabila demikian keadaannya maka dia tidak boleh mengambil sebarang ganti daripadanya yang boleh mengurangkan nilai korbannya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiada korban baginya. (Riwayat al-Baihaqi)

15. Menjual kulit binatang korban boleh menafikan korban seseorang. Maka rugilah dan sia-sia ibadah korbannya. Al-Shaukani (1255H) menyatakan:
Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa dagingnya (binatang korban tidak boleh dijual, begitu juga dengan kulitnya. (al-Shaukani, Nailu al-Autor)

16. Kesimpulannya, hidupkanlah syi’ar ibadah korban ini bagi yang mampu dengan menjaga hukum hakam yang berkaitan dengannya. Semoga korban kita diterima oleh Allah SWT.


Anhar Opir
2 Zul-Hijjah 1432H
Sweileh, Amman

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...