BERSAMA SAYA

5 February 2012

PERTAMA : TERUS KE ARAH MEREALISASIKAN GENERASI ULUL ALBAB



SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah s.w.t yang menganugerahkan nikmat agung iaitu iman dan Islam kepada hambaNya,yang mengurniakan kesenangan dan kebahagiaan kepada insan yang taat mahupun ingkar.Selawat dan salam ke atas Nabi s.a.w serta para sahabat.

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua warga MPPMJ yang dikasihi.
Segalanya bermula dengan sinar kebenaran Islam yang tersebar semenjak zaman kekasih tercinta Rasulullah s.a.w. Kehidupan masyarakat semakin teratur dan tersusun dengan kedatangan  pembawa rahmat ke seluruh alam. Segala yang gelap beransur cerah,yang hitam berubah wajah,yang duka bertukar bahagia. Manusia menemui matlamat sebenar kehidupan.

Tetapi semua itu bukan diperoleh dengan percuma. Setiap kegembiraan yang dirasai dibayar dengan darah dan air mata. Rasulullah s.a.w dan para sahabat menggenggam bara api kebenaran dan menggadaikan jiwa raga demi menegakkan syariat Islam di muka bumi. Mereka memperjuangkan segala yang ada demi melihat Islam terus berkembang subur sehingga ke zaman kita pada hari ini.

Kini,giliran kita menyambung rantai-rantai perjuangan yang diwariskan dari generasi ke generasi. Apakah kita sanggup untuk melihat sahaja rantai azimat dihulurkan itu tanpa menjadi salah satu sambungan daripadanya? Jika demikian,bagaimanakah perasaan Rasulullah s.a.w serta para sahabat Baginda seandainya mereka menyaksikan tindakan kita yang berpeluk tubuh? Sedangkan mereka mengenangkan nasib kita di saat-saat kematian mereka?
Seandainya jalan perjuangan itu mudah,sudah tentu ramai yang ingin menyertainya. Tetapi jalan itu dipenuhi duri yang menyakitkan dan sukar untuk dilalui. Maka beruntunglah mereka yang tergolong dalam kalangan orang yang sedikit seperti yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w :

"بدأ الإسلام غريبا ، وسيعود غريبا ، فطوبى للغرباء"

Islam bermula sebagai sesuatu yang asing dan akan kembali asing,maka berilah khabar gembira
 kepada orang-orang yang terasing
(Hadis riwayat Muslim)

Zaman globalisasi kini menyaksikan perbezaan manhaj perjuangan dari masa ke masa. Corak perjuangan berubah mengikut keadaan semasa yang sentiasa bergerak. Salah satu cabaran yang kita hadapi kini adalah fahaman hedonisme iaitu fahaman bahawa keseronokan adalah matlamat utama dalam hidup. Hedonisme kini telah menular di kalangan remaja bukan saja di dalam negara malaysia, malah masalah ini telah menjadi masalah di peringkat global dan masih lagi dipandang enteng oleh pihak-pihak berkuasa.

 Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur tetapi mestilah mengikut garis-garis yang telah ditetapkan oleh syariat. Apa yang kita lihat pada masa kini adalah pengaruh media massa dan hiburan yang melalaikan amat mempengaruhi anak muda yang menjadi aset utama dalam ketamadunan sesebuah masyarakat.

Kita dapat menyaksikan kesan-kesan hedonisme sangat menakutkan. Anak muda tidak tahu arah tujuan hidup mereka. Setiap hari dipenuhi dengan pengisian hiburan yang melekakan daripada mengingati Allah. Arak,judi,zina,merompak menjadi perkara yang biasa dalam hidup mereka. Islam mereka hanya pada nama. Seandainya dahulu pemuda-pemuda Islam dikagumi dan kerana kehebatan dan keberanian mereka dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah,tetapi kini,dari sudut manakah yang harus kita bangga-banggakan terhadap pemuda?

Pada zaman mehnah dan tribulasi kini,kita tidak dapat lagi mengikut manhaj dakwah terdahulu secara total memandangkan zaman berubah mengikut arus global. Kita harus kreatif dan fleksibel dalam pembawakan dakwah agar dapat diterima oleh masyarakat umum. Kuasa hiburan dan media massa mempengaruhi masyarakat daripada segenap lapisan. Oleh itu,kita sebagai agen yang membawa panji-panji Islam tidak harus ketinggalan dalam memanfaatkan peluang dengan menyelitkan unsur dakwah dalam segenap  ruang yang ada.



Justeru itu,sebagai sebuah badan yang responsif,Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ) terpanggil untuk menghidangkan kepada anda semua sebuah perbahasan bertemakan Media dan Hiburan : Urgensi dan Cabaran Semasa dalam Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan (PERTAMA) kali ke-6. Persidangan ini membawakan kepada anda semua kupasan yang menarik dan terkini oleh panel-panel jemputan khas dari dalam dan luar negara. Penganjuran persidangan mahasiswa ini selari dengan visi dan misi MPPMJ sebagai persatuan induk untuk memperkasa peranan mahasiswa muslim daripada pelbagai aspek selari dengan tuntutan arus perdana.

Setinggi-tinggi penghargaan buat Kedutaan Malaysia dan Education Malaysia Jordan (EMJ) atas sokongan material dan moral yang padu dalam menjayakan persidangan ini. Tidak lupa buat barisan kepimpinan yang turut bekerjasama serta jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus memastikan persidangan berjalan dengan baik,juga buat entiti yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam penganjuran kali ini.

Dengan ini,saya menyeru diri saya dan juga teman-teman agar kita menggunakan peluang ini dengan semaksima mungkin dan mengaplikasikan manfaat yang diperoleh pada paras paling optimum. Buat sekalian mahasiswa Jordan,jangan ketinggalan untuk mengikuti perkembangan arena semasa. Bersamalah kita menjadi sambungan kepada rantai perjuangan Baginda s.a.w dan membela agama Allah di atas muka bumi.Ayuh, rapatkan saf-saf perjuangan dakwah agar kita menjadi pemuda yang kembali dibangga-banggakan!

SELAMAT BERSIDANG!

MOHAMMAD HUSSIN MOHD FAUZI
PRESIDEN,
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR MALAYSIA JORDAN (MPPMJ)
SESI 2011/2012

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...