BERSAMA SAYA

18 February 2011

LAU KUNTA BAINANA YA RASULULLAH, WAHAI KEKASIH ALLAH…


Suasana sejuk musim syita' masih lagi dirasai sekitar Mu'tah Bumi Syuhada' ini, Alhamdulillah masih lagi, diri ini diberi kekuatan iman dan Islam untuk menjadi khalifah di atas muka bumi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Tetapi hati ini masih terkenang dan cintakan Kekasih Pilihan Allah itu.

12 Rabiulawal tahun Gajah, bersamaan dengan 20 April 571 M merupakan tarikh yang bersejarah yang mana lahirnya seorang putera Abdullah dan Aminah yang telah merubah peradaban seluruh dunia ISLAM.Lahirnya seorang Nabi terakhir, Nabi junjungan Muhamad S.A.W. yang membawa rahmat ke seluruh alam. 

Sebagaimana Firman ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Maksudnya:
'Dan kami tidak mengutus engkau Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam'.

Setiap tahun, setiap kali menjelangnya hari Kelahiran Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam atau dikenali sebagai Maulidur Rasul, semua umat ISLAM di seluruh dunia akan menyambutnya. Tidak ketinggalan di Jordan mahupun di tanahair kita di Malaysia. Kebetulan pula pada tahun ini, jatuhnya pada bulan Februari 15 Februari 2011. Sehari selepas Valentine Day yang disambut oleh remaja yang mengagungkan cinta manusia dek kerana ceteknya ilmu pengetahuan. 

Jadi pada tahun ini, marilah sama-sama kita menyambut Hari Kekasih namun bukan sang kekasih tetapi pada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sollallahu Alaihi Wassalam, Tujuan sambutan ini dilakukan adalah bukan untuk memuja Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam, tetapi sebaliknya bagi mengingati segala pengorbanan Baginda kekasih Allah itu, yang lebih utama adalah untuk mencontohi Akhlak serta segala Sunnah yang ditinggalkan kepada kita.

Sama kita hayati sebagaimana dalam firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21 :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya :
'Sungguh telah ada pada diri Rasulullah S.A.W. itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat ALLAH dan kedatangan Hari Kiamat yang banyak mengingati ALLAH'.

Diriwayatkan, ketika ditanya kepada Saidatina Aishah Radhiallahu Anha, apakah akhlak Rasulullah?, Aishah menjawab: 'Akhlak Rasulullah ialah al-Quran'.

Maksud sabda Rasulullah: 'Sesungguhnya Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam itu diutus untuk menyempurnakan Akhlak yang terpuji.

Pembaca yang dirahmati ALLAH sekalian,

Masih ingatkah kita kisah terakhir Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam. Disaat baginda terlantar sakit untuk menghadapi sakaratulmaut. Malaikat Jibril dan Malaikat Izrail telah bersama-sama menemui Baginda untuk menjalankan tugasnya. Namun baginda masih sempat untuk bertanya kepada Malaikat Jibril.

Mari kita singkapi dan hayati.

Jibril, jelaskan apa hakku di hadapan ALLAH S.W.T nanti?
Tanya Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam dengan suara yang amat lemah ketika mana jibril mendatangi baginda.“Pintu-pintu langit telah terbuka, para Malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganMu.” Kata Jibril.

Tapi itu tidak ternyata membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

Engkau tidak senang mendengar khabar ini?tanya Jibril lagi.
“Khabarkan padaku bagaimana nasib Ummatku kelak?”.

Jangan khuatir Ya Rasulallah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa saja kecuali Umat Muhammad telah berada di dalamnya,”kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat.

Perlahan Ruh Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam ditarik, kelihatan badan Kekasih Allah itu bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.
“Jibril, betapa sakitnya sakaratulmaut ini?” perlahan Rasulullah mengaduh.
Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku Jibril, sehingga kau palingkan wajahmu Jibril”?tanya Rasulullah kepada Malaikat pengantar wahyu itu.
“Siapakah yang sanggup melihat kekasih ALLAH direnggut ajal,” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahan lagi.
“Ya Allah, dahsyatnya maut ini,timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada Umatku”.

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
Bibirnya bergetar seakan ingin membisikkan sesuatu. Saidina Ali Karramallahu Wajhah segera mendekatkan telinganya. “Usshiikum Bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah Solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu”.

Di luar pintu tangisan mulai mendengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.
“Ummati Ummati Ummati”

Kekasih ALLAH telah pergi buat selamanya…allah allah allah..
Sahabat-sahabat menangisi pemergian Baginda .Kehilangan yang amat-amat dirasai oleh mereka pada zaman tersebut. Betapa sayangnya Rasulullah Sollallahu Alaihi Wassalam pada Umatnya sehingga di saat terakhir kematian, baginda masih menyebut dan mengingati nasib Umat-umatnya. 

Namun kita sebagai umatnya sekarang adakah mampu untuk menyayangi Baginda sepertimana Baginda menyayangi kita?. Adakah kita telah mengamalkan Sunnah yang telah ditinggalkan oleh Baginda? Bagaimana kehidupan remaja-remaja kita di luar sana? Siapa yang kita agungkan, siapa kekasih kita? Dan kita sendiri sebagai pelajar Mahasiswa yang bakal memegang Ijazah Syariah, apa yang telah kita lakukan untuk kita menolong sahabat-sahabat kita di luar sana yang amat-amat memerlukan. Persoalan yang ditinggalkan untuk sama-sama kita fikirkan.


Sahabat-sahabat, adik beradik, dan pembaca sekalian. Ana menyeru pada diri ana sendiri dan semua supaya kita sama-sama mengamalkan Sunnah, ikutan yang ditinggalkan oleh Baginda terutamanya pada bulan Rabiulawal ini. Sabda Rasulullahi Sollallahu Alaihi Wassalam dalam hadis riwayat Abu Daud bermaksud: “Aku memberi jaminan bahawa orang yang berakhlak mulia akan bersamaku di syurga yang paling tinggi.”

Namun ikutan itu bukan hanya dilakukan pada bulan ini sahaja, namun setiap masa dan setiap nafas dalam kehidupan seharian. Mari kita sama-sama mengutip Roh Perjuangan dalam diri Baginda untuk kita jadikan sebagai panduan dalam meneruskan kehidupan dalam masa yang sama menjadikan Sirah, Sunnah Nabi sebagai ikutan. Perjuangan perlu diteruskan, kerana kita adalah rantai-rantai perjuangan, bukan pemula dan pengakhirannya. Generasi kita yang menentukan masa depan sesebuah negara terutamanya untuk Tanah Air tercinta.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...