BERSAMA SAYA

14 March 2011

Terkini, Mengharapkan Yang Terbaik.

Malaysia, 9,575 rogol bawah umur dalam 5 tahun


kanak-kanak dibawah umur yang tidak berdosa menjadi habuan si nafsu binatang-gambar hiasan
Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistik yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur. 

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004," katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Fong ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung jenayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan," katanya.

--Bernama



Kartun tsunami Berita Minggu cetus bantahan





















Akhbar Berita Minggu hari ini mencetuskan kontroversi apabila ia menyiarkan sebuah kartun mengenai kejadian tsunami di Jepun yang meragut nyawa ribuan rakyatnya.

Kartun lukisan Zoy yang disiarkan di muka dalam Berita Minggu - edisi 
hari Ahad Berita Harian - memaparkan superhero popular Jepun - Ultraman - lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, ramai rakyat Malaysia telah menyuarakan rasa kesal dan kemarahan mereka - melalui lamanweb sosial dan Twitter - terhadap Berita Minggu, malah ada yang menggesa supaya memboikot akhbar tersebut.

Satu laman petisyen online turut diwujudkan untuk membantah kartun tersebut, dan dalam beberapa jam sahaja, telah mengumpul 571 tandatangan.

Beberapa ahli politik dari kedua belah pihak turut mengecam kartun 
yang menurut mereka sebagai tidak sensitif.

Jepun, Korban mungkin lebih 10,000


Gelombang tsunami menghempas sebatang jalan di bandar Miyako, di timur laut Jepun selepas satu gempa berukuran 8.9 pada skala Richter menggegar Jepun, Jumaat lalu

TOKYO 13 Mac – Polis di Miyagi menjangkakan angka kematian di wilayah itu sahaja mungkin melebihi 10,000 orang, apabila bandar di timur laut Jepun itu musnah teruk akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda kelmarin.


Jangkaan itu juga dibuat berdasarkan penemuan lebih 600 mayat di sepanjang kawasan pantai Miyagi dan Iwate, lapor agensi berita Kyodo.
Jurucakap polis, Go Sugawara berkata, ketua polis wilayah itu memaklumkan pegawai bantuan kecemasan bahawa mangsa terbunuh dijangka melebihi 10,000 orang.


Ini berikutan kira-kira 10,000 penduduk di bandar Minamisanriku, Miyagi telah terputus hubungan.
Setakat ini, pihak berkuasa Jepun meletakkan angka kematian tsunami dan gempa bumi pada lebih 1,400 orang, tetapi jumlah itu dijangka meningkat.
Seorang pegawai perbandaran di bandar Futaba, wilayah Fukushima berkata, kira-kira 90 peratus rumah di tiga kawasan perumahan musnah selepas dilanda tsunami.


Agensi NHK melaporkan, kira-kira 390,000 penduduk telah meninggalkan rumah mereka dengan kebanyakannya mendapatkan perlindungan di lebih 1,400 tempat pemindahan sementara di sekolah-sekolah dan pusat komuniti.
Perdana Menteri, Naoto Kan hari ini menyatakan, Jepun sedang berhadapan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua apabila bilangan korban akibat bencana tersebut terus meningkat.


Beliau hari ini turut menggandakan jumlah askar yang dihantar ke kawasan terbabit kepada 100,000 orang ketika pekerja penyelamat sukar tiba ke kawasan terjejas ekoran keadaan jalan yang terputus hubungan. – Reuters/Dpa

Yaman, Lima maut pertempuran di Yemen


Seorang penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan semasa bantahan menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh selepas pertempuran berlaku di Sanaa, Yemen, 

SANAA 13 Mac - Seorang penunjuk perasaan maut hari ini akibat cedera ditembak dalam satu pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di bandar Aden.


Terdahulu, empat orang terbunuh dan beratus-ratus lagi cedera di beberapa bandar di negara ini semalam dalam pertempuran yang berlaku sejak bantahan bermula di negara ini pada Januari lalu.


Seorang lelaki ditembak mati di bandar Aden, dua orang lagi dibunuh di Sanaa dan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun pula maut di Mukalla.
Pertempuran turut dilaporkan di dua lagi bandar ketika protes terhadap pemerintahan Presiden Ali Abdullah Saleh bertukar menjadi ganas.
Di ibu negara, beratus-ratus polis melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah khemah penunjuk perasaan pada awal pagi bagi membendung demonstrasi bantahan daripada semakin meluas.


Penunjuk perasaan bertindak melempar batu dan melepaskan tembakan. Mereka yang cedera dibawa ke sebuah masjid yang dijadikan pusat perubatan sementara.


Doktor berkata, seorang kanak-kanak lelaki ditembak mati. Seorang lelaki turut ditembak mati ketika dia melihat satu pertempuran dari tingkap pejabatnya.
Kementerian Dalam Negeri menuduh penunjuk perasaan melepaskan tembakan selain mengatakan sebanyak 161 anggota polis turut cedera dalam kejadian itu.


Berpuluh-puluh penunjuk perasaan menjadi lemas apabila gas pemedih mata itu dilepaskan ke arah mereka dan kebanyakannya pengsan.
“Gas yang digunakan oleh polis itu ganjil. Ia menyebabkan kekejangan dan mengganggu sistem saraf,’’ kata seorang doktor yang membantu mereka yang cedera, Bashir al-Kahli.


Kementerian Dalam Negeri menafikan polis menggunakan sebarang gas saraf. – Reuters

Sudan, 34 maut pertemputan tentera, militia di Sudan


Seorang penunjuk perasaan memberanikan diri melempar batu ke arah polis yang mengawal


JUBA, Sudan 13 Mac - Sekurang-kurangnya 34 terbunuh apabila tentera awam militia yang menentang kerajaan selatan Sudan melancarkan satu serangan di sebuah bandar, lapor tentera dan pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Pertempuran antara Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA) dengan militia yang diketuai oleh seorang lelaki dikenali sebagai Kapten Olonyi itu bermula awal pagi semalam di luar ibu negara yang kaya dengan minyak, Upper Nile.
Jurucakap PBB, Hua Jiang berkata, tentera selatan Sudan berjaya menangkis serangan di Malakal dan sekurang-kurangnya 30 orang pemberontak dan empat orang askar kerajaan terbunuh. - AP

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...